Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Rajagobal bawa 'pita penyelamat'

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

K. Rajagobal

KUALA LUMPUR - Jika Datuk K. Rajagobal mengharapkan sesuatu yang boleh menghalangnya daripada dihukum Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, mungkinkah pita rakaman semasa sidang akhbar Malaysia dan Arab Saudi, 17 Mac lalu mampu menyelamatkannya?

Seperti 'sediakan payung sebelum hujan', tindakan Rajagobal pasti membuatkan keputusan perbicaraan hari ini berdepan teka-teki sama ada beliau bersalah atau tidak.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak mengesahkan, Rajagobal akan membawa pita rakaman sebagai bahan bukti paling penting untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

''Semasa perbicaraan esok, Rajagobal difahamkan akan membawa pita rakaman sendiri sebagai bahan bukti untuk tujuan pembelaan dirinya.

''Pita itu membabitkan rakaman sidang akhbar semasa perlawanan Malaysia dan Arab Saudi. Kita akan meneliti segala bukti sebelum menjatuhkan hukuman.

''Mungkin kes akan memakan sedikit masa tetapi kita akan pastikan keputusan tetap dicapai (bersalah atau tidak), " katanya.

Rajagobal, 56, didakwa atas Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai pengambilan pemain import dalam Liga Malaysia yang menjejaskan kualiti penyerang tempatan.

Jika bersalah, beliau boleh digantung enam bulan serta denda RM8,000.

Fokus pemain tak lari

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh Maszureen Hadzman
sukan@utusan.com.my

Ong Beng Hee hanya memberi tumpuan kepada misi memburu kejuaraan dan bukan keadaan di Islamabad.

KUALA LUMPUR - Walaupun isu keselamatan di Islamabad menjadi topik hangat dan mendorong jurulatih negara, Peter Genever menarik diri daripada skuad, namun jaguh skuasy negara, Ong Beng Hee dan Low Wee Wern akan berlepas ke ibu negara Pakistan itu tanpa rasa takut.

Turun dengan reputasi juara empat kali, Beng Hee menegaskan, fokusnya untuk mencari kejuaraan Asia kelima tidak sedikitpun terjejas hanya kerana disajikan dengan isu keselamatan dan pengeboman menjelang Kejohanan Asia, 1-5 Mei ini.

Malah tegasnya, faktor Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bertindih dengan hari terakhir pertandingan juga bukan satu masalah buatnya,

"Sungguhpun keselamatan di sana agak merisaukan, ini sama sekali tidak memberi tekanan buat saya. Saya sudah bersedia dan yang penting saya perlu menikmati perlawanan sebaik mungkin.

"Mengenai pilihan raya, kami (pemain) tiada pilihankerana keputusan untuk ke Islamabad sudah dibuat sebelum tarikh PRU-13 diumum, jadi kami perlu meneruskan keputusan untuk beraksi.

"Kejohanan ini juga penting buat kami untuk membawa nama Malaysia, jadi saya harap semua pihak faham dengan kedudukan kami," kata Beng Hee.

Beng Hee, 33, ketika ditanya mengenai keputusan Genever enggan menyertai pasukan ke Islamabad berkata, jurulatih kelahiran England itu mungkin tidak biasa dengan senario di Asia.

"Saya adalah orang Asia, jadi saya tidak rasa takut untuk bermain di Pakistan tetapi dia (Genever) mungkin tidak biasa dengan semua keadaan ini, jadi dia berasa keselamatannya sedikit terancam dan ini adalah haknya (untuk tarik diri).

"Sejujurnya, ketiadaan Genever tidak langsung mematahkan semangat kami untuk beraksi cemerlang.

"Saya akan memberikan permainan terbaik. Saya tidak meletak harapan terlalu tinggi dan jika dapat merangkul kejuaraan, ia satu bonus,"kata juara 2002, 2004, 2006 dan 2008 itu lagi.

Selain Beng Hee, cabaran Malaysia dalam saingan lelaki pada Kejohanan Asia 2013 akan turut dipikul penyandang juara, Mohd. Nafiizwan Adnan dan Muhamad Asyraf Azan.

Pemain No. 7 dunia, Wee Wern pula menjadi sandaran utama untuk membawa pulang kejuaraan wanita ekoran ketiadaan pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan turut diiringi Delia Arnold serta Zulhijjah Azan.

Ditanya mengenai kebimbangan beberapa jurulatih mengenai keadaan di Islamabad, Wee Wern hanya berkata: "Saya lebih berminat untuk memberi tumpuan untuk mencari kemenangan dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai keadaan di sana."

Keselamatan di Islamabad mencetus kebimbangan selepas keadaan tidak begitu stabil menjelang pilihan raya Pakistan pada 11 Mei depan.

Beberapa kejadian pengeboman yang berlaku dan mengorbankan banyak nyawa, selain gempa bumi yang melanda negara jiran, Iran antara sebab yang mendorong Genever untuk tidak menyertai pasukan ke Islamabad.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan