Utusan Online - Sukan |
Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Rajagobal PETALING JAYA - Sejarah bagaikan tercipta pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam apabila Datuk K. Rajagobal menjadi orang pertama berjaya keluar daripada perbicaraan tanpa dikenakan sebarang hukuman dan masih kekal menjadi pengendali Harimau Malaya sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini. Senjata terakhir yang berjaya menyelamatkan Rajagobal daripada digantung enam bulan serta didenda RM8,000 adalah pita rakaman sidang akhbar semasa perlawanan Malaysia dan Arab Saudi 17 Mac lalu yang dibawanya berjaya mempengaruhi semua ahli Jawatankuasa Tatatertib bahawa tiada sebarang kes yang boleh dikenakan. Pengerusinya, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, setelah mendengar kembali rakaman kenyataan Rajagobal dalam sesi pembelaan, mereka sepakat yang jurulatih berusia 56 tahun itu tidak ada mengkritik dasar FAM dalam soal penggunaan pemain import di saingan Liga Malaysia. ''Jawatankuasa memutuskan bahawa tiada kes terhadap Rajagobal dan berpuas hati yang dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian setelah memperhalusi pita yang diberi oleh Rajagobal pada sesi pembelaan. ''Kita juga telah bertanya secara satu sama satu dengan Rajagobal dan dia menafikan segala kenyataannya dalam keratan akhbar. ''Dalam hal ini, mungkin apa yang diperkatakan dalam akhbar itu disalah tafsir... Itu lebih baik anda bertanyakan kepada pemberita yang membuat artikel berkenaan," katanya ketika ditemui selepas sesi perbicaraan di Wisma FAM, semalam. Walaupun tidak dikenakan sebarang tindakan, Rajagobal enggan memberikan sebarang komen. Dalam pada itu, Taufek juga menasihatkan kepada Rajagobal agar berhati-hati membuat kenyataan pada masa akan datang walaupun dia mempunyai kebenaran daripada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia) untuk memberi sebarang komen selepas mana-mana perlawanan. ''Tidak salah membuat kenyataan tetapi saya mahu selalu mengingatkan kepada dia iaitu di bawah Kod Tatatertib 4.5.8, kita memang bagi kebenaran kepada jurulatih bagi kenyataan kepada media. ''Sebarang kata-kata yang berbentuk permusuhan dan kritikan perlu dielakkan dan jika dia didapati bersalah, dia boleh didakwa mengikut Perkara 18.3 iaitu melanggar polisi FAM, " katanya. Bagi kes berlainan, dua pemain Selangor iaitu Afiq Azmi dan Abdul Shukur Jusoh masing-masing digantung dua perlawanan ekoran kontroversi pergaduhan semasa perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang ATM, 25 Januari lalu. Shukur didenda RM2,000 ekoran tindakannya yang enggan keluar padang selepas menerima kad merah sehingga perlawanan terhenti selama 1 minit 35 saat sementara Afiq hanya didenda RM1,000 kerana cuba mencetuskan pergaduhan. |
Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI John Beasley bersama Josiah Ng (kiri) dan Azizulhasni yang berjaya menempa nama di pentas dunia dalam acara trek. KUALA LUMPUR - Jika hendak memastikan sukan berbasikal di Malaysia terus berkembang maju, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) harus memperhalusi segala perkara yang dibangkitkan oleh ketua jurulatih negara, John Beasley. Jurulatih dari Australia itu tidak berselindung tentang program pembangunan sukan ini yang agak perlahan selepas tujuh tahun, walaupun dia berjaya menggilap bakat pelumba tempatan seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin Menurut Beasley, dia berada di Malaysia selama tujuh tahun, namun mengakui berasa kecewa terutama dari segi pembangunan akar umbi dan perkembangan acara lebuh raya. "Saya juga risau dengan struktur program pembangunan berbasikal kerana hanya sekolah sukan sahaja yang menjadi pembekal utama atlet yang bertaraf antarabangsa untuk bersaing di kejohanan besar," katanya kepada media selepas sesi taklimat PKBM dan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam. Beasley memberi contoh sukan bola sepak di mana pemain sudah pasti perlu dipilih daripada pasukan negeri atau kelab untuk mewakili skuad kebangsaan tetapi berbasikal tidak mempunyai kaedah seperti itu, ia seolah-olah seperti piramid terbalik, tanpa asas yang kukuh. "Sebelum saya meninggalkan negara ini sudah tentu saya mahu melihat satu struktur yang kukuh terutama di bahagian asasnya yang melibatkan peringkat akar umbi. Kontrak saya bakal berakhir tahun depan, namun saya masih berasa komited sehingga Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro. "Saya memang banyak mendapat tawaran dari negara lain, namun saya tidak memikirkan soal wang kerana saya gembira di sini dengan mempunyai ketua-ketua dari MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang bagus," katanya. Taklimat tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad dan Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustafa. Beasley dalam pada itu mendakwa, wujud musuh dalam selimut dalam badan tersebut yang menggagalkan usahanya untuk melonjakkan lagi sukan berbasikal di negara ini. Dalam pada itu, menurut Naim, beliau mengambil serius perkara yang disampaikan oleh Beasley itu dan akan membawa perkara tersebut kepada Exco PKBM bagi sebarang tindakan lanjut. "PKBM sama sekali tidak mahu individu yang membuat keputusan sendiri mengetepikan keputusan asal. Pada asalnya kita telah membuat keputusan A tetapi menjelang perlumbaan yang dilaksanakan ialah keputusan B. Perkara ini perlu dikaji dengan terperinci dan tindakan akan diambil jika perlu. "Keputusan memilih atlet untuk beraksi di mana-mana kejohanan akan diputuskan jawatankuasa pemilihan PKBM berdasarkan cadangan pihak jurulatih," katanya. Pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di India, baru baru ini terdapat individu dalam PKBM yang tidak sependapat sehingga menimbulkan masalah sekali gus dilihat sebagai mencabar penilaian yang dilakukan Beasley sebagai ketua jurulatih. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan