Utusan Online - Sukan |
Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei kecewa selepas tewas kepada pasangan Taiwan dalam saingan Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH KUALA LUMPUR - Turun dengan status pilihan pertama dan diuar-uarkan tidak akan berdepan masalah untuk menjuarai Kumpulan C, Malaysia sebaliknya bermula dengan langkah sumbang selepas diaibkan 2-3 oleh Taiwan dalam aksi pembuka tirai Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Kekalahan pasangan No. 3 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kepada beregu No. 26 dunia, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin membuka laluan kepada hari malang skuad negara, yang kini perlu mengalahkan Jerman dalam perlawanan kedua esok untuk melayakkan diri ke suku akhir. Malah, jika Malaysia masih mengidamkan untuk muncul juara kumpulan, sekali gus mendapat undian lebih baik di suku akhir nanti, mereka harus berdoa Jerman berjaya melakar kejutan ke atas Taiwan apabila kedua-dua pasukan berentap hari ini. Dalam perlawanan semalam, kedua-dua mata Malaysia disumbangkan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Hanya beberapa minggu selepas dikejutkan oleh pasangan muda senegara, Goh V Shem-Lim Khim Wah dalam final Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Kien Keat-Boon Heong terus mempamer prestasi buruk apabila tunduk 18-21, 18-21 kepada Sheng Mu-Chia Hsin. Malah, tindakan Kien Keat yang terus memasuki gelanggang ketika jurulatih mereka, Tan Kim Her dan Paulus Firman tampil untuk memberi nasihat turut menimbulkan tanda tanya. Tiada masalah apa, ia bukan perkara besar. Hubungan Paulus dan Kien Keat okey," tegas ketua jurulatih beregu, Kim Her ketika ditanya mengenai situasi tersebut. Hasrat untuk melihat kejutan dalam perseorangan wanita juga tidak kesampaian. Sonia Cheah nyata bukan tandingan pemain No. 9 dunia, Tai Tzu Ying apabila kalah mudah 7-21, 13-21. Chong Wei bagaimanapun memberi sedikit harapan selepas merapatkan kedudukan 2-1 dengan menundukkan Yang Chih Hsun 21-8, 21-13 dalam masa 24 minit. Kemenangan itu bagaimanapun tidak cukup untuk menyelamatkan pasukan negara daripada diaibkan selepas gandingan wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas 17-21, 19-21 dalam aksi sengit menentang Cheng Wen Hsing-Hsieh Pei Chen. Peng Soon-Liu Ying tidak mengecewakan apabila menang 25-23, 21-11 ke atas Lu Ching Yao-Lai Chia Wen, namun begitu kemenangan itu tidak dapat menawar duka penyokong Malaysia. Biarpun kecewa dengan kekalahan tidak diduga pasukan negara, namun Chong Wei sebagai ketua pasukan tetap berusaha menaikkan semangat rakan-rakannya dan mahu mereka memberikan tumpuan kepada perlawanan kedua. Saya harap pemain tidak berputus-asa dan terus memberi tumpuan pada perlawanan yang bakal dihadapi kerana cabaran kita belum berakhir lagi. Ini adalah kejohanan berpasukan bukannya kejohanan individu kerana itu penting buat kami memberikan sokongan antara satu sama lain," katanya. |
Keyakinan menjunam, Boon Heong rela digugur Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT AKSI Tan Boon Heong (depan) dan Koo Kien Keat ketika berdepan Lee Sheng Mu-Tsai Chia Tsin semalam. Beregu No. 3 dunia ini kalah mengejut 18-21, 18-21 untuk membuka laluan kepada kekalahan 3-2 Malaysia kepada Taiwan. KUALA LUMPUR - Tan Boon Heong mengakui, dia rela digugurkan daripada pertemuan menentang Jerman dalam perlawanan kedua Piala Sudirman esok kerana keyakinannya kini jatuh menjunam ekoran kekalahan mengejut kepada pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Shin semalam. Turun dengan reputasi sebagai pasangan No. 3 dunia, Koo Kien Keat-Boon Heong tumpas 18-21, 18-21 dalam masa 31 minit. Kekalahan tersebut turut menyebabkan Malaysia memulakan kempen Kumpulan C dengan diaibkan 3-2 oleh Taiwan, sekali gus memilih jalan sukar untuk melangkah ke suku akhir selaku juara kumpulan. Sekarang bukan masa untuk membuktikan sesuatu selepas tewas. Bagi saya mereka yang mempunyai keyakinan tinggi layak untuk beraksi menentang Jerman. Keyakinan saya sudah semakin menurun dan semua terserah kepada jurulatih (untuk membuat percaturan) apabila beraksi menentang Jerman nanti," kata Boon Heong. Semalam, Kien Keat-Boon Heong menunjukkan aksi goyah sejak awal permainan, biarpun secara psikologi mereka memegang kelebihan kerana pernah mengalahkan Sheng Mu-Chia Hsin dalam pertemuan terakhir di Terbuka Hong Kong, tahun lalu. Biarpun menunjukkan prestasi tidak menentu sejak akhir-akhir ini, beregu utama negara itu tetap menjadi taruhan ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her untuk berdepan Taiwan kerana rekod mereka pernah mengalahkan pasangan No. 26 dunia itu, selain pengalaman luas beraksi dalam kejohanan berpasukan. Namun melihat kekalahan yang tidak dijangkakan semalam, Kim Her mungkin membuat rombakan dengan menurunkan sama ada pasangan No. 7 dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong atau juara Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Lim Khim Wah-Goh V Shem. Kien Keat dan Boon Heong tidak fokus dalam perlawanan ini dan nampak tertekan sekali. Kami akan fikirkan sama ada mereka akan diturunkan menentang Jerman atau tidak, keputusan belum dibuat kerana jurulatih akan bermesyuarat esok," kata Kim Her. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan