Utusan Online - Sukan |
Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT Oleh AIZAWATI AHMAD keadaan sehari sebelum perlawanan akhir Piala FA kelmarin apabila kira-kira 15,000 penyokong Kelantan dan Johor DT cuba mendapatkan tiket di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil. Kesukaran mendapatkan tiket menyebabkan sesetengah penyokong tertipu dengan tawaran 'pihak ketiga' yang menawarkan jualan tiket secara mudah. KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak harus dipersalahkan dalam kes peminat yang gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim kelmarin kerana mereka membuat pembelian menerusi pihak ketiga. Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram berkata, FAM tidak pernah mewujudkan 'pihak ketiga' dalam urusan penjualan tiket, sebaliknya ia dikendalikan sepenuhnya oleh persatuan bola sepak negeri (FA) dan FAM sendiri. "Contohnya bagi penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA tempoh hari, FAM menyerahkan 30,000 tiket kepada FA Kelantan dan 30,000 lagi tiket kepada FA Johor. "Sepatutnya penyokong mendapatkan tiket menerusi FA negeri masing-masing. "FAM juga membuka lapan kaunter tiket di Stadium Bukit Jalil pada hari perlawanan dan saya sendiri turun memantau penjualan tiket di sana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. Beliau diminta mengulas mengenai insiden penyokong Johor DT yang mengalami kerugian sebanyak RM162,600 setelah menjadi mangsa penipuan 'pihak ketiga' yang mendakwa boleh membekalkan sebanyak 3,165 tiket perlawanan akhir Piala FA. Sehubungan itu, Sivasundram menasihatkan penyokong supaya lebih berhati-hati membeli tiket mana-mana perlawanan, khususnya perlawanan utama. "Kalau boleh jangan minta rakan belikan tiket untuk anda, penipuan mungkin berlaku. Saya nasihatkan penyokong beli sendiri di kaunter yang sah bagi mengelak kejadian tidak diingini. "FAM tidak boleh dipersalahkan jika ada individu yang ditipu pihak tidak bertanggungjawab dan insiden tersebut perlu dilaporkan kepada pihak berwajib," katanya. Menurut Sivasundram, FAM akan melakukan kajian secara terperinci bagi memastikan insiden sama yang menimpa penyokong, tidak berulang lagi. "Kita akan cuba melakukan beberapa penambahbaikan agar insiden sama tidak berulang dan FAM juga akan bertindak tegas bagi mengelak ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba meraih kesempatan dalam kekalutan yang berlaku," tegasnya. |
'Atasi masalah penyokong sukar beli tiket' Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) mahu kaedah penjualan tiket perlawanan tumpuan dikaji semula untuk mengatasi kekecohan seperti yang berlaku pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini. Tengku Abdullah percaya kekalutan peminat untuk mendapatkan tiket dapat diperhalusi oleh Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin. Kata Tengku Abdullah, masalah tiket tidak sepatutnya dialami oleh penyokong untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi seperti pada perlawanan akhir Piala FA yang melibatkan pertembungan Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. "Saya harap masalah penyokong sukar mendapatkan tiket seperti yang berlaku baru-baru ini dapat diselesaikan. "Kita juga tidak mahu ada penyokong yang tertipu untuk mendapatkan tiket," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini, semalam. Jualan tiket untuk perlawanan akhir Piala FA musim ini mencetuskan kekecohan dalam kalangan penyokong Kelantan dan Johor DT. Khamis lalu, kekecohan tercetus di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selepas penyokong Kelantan berang apabila mengetahui tiket perlawanan habis dijual dalam tempoh lima minit. Mereka berang kerana setelah ada yang beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan tiket, namun hampa. Situasi sama juga berlaku di sini apabila kira-kira 2,000 penyokong Johor DT kecewa selepas gagal membeli tiket perlawanan akhir Piala FA kerana habis dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Tengku Abdullah turut mengucapkan tahniah buat Kelantan dan Johor DT beraksi pada pentas akhir Piala FA, kelmarin yang dimenangi Red Warriors 1-0. "Saya harap semua pihak dapat menerima keputusan perlawanan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan