Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lions XII hampiri kejuaraan

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Apakah hari ini gelaran Liga Super 2013 akan menjadi milik Lions XII yang melayan kunjungan pasukan kedua tercorot Felda United di Stadium Jalan Besar, Singapura?

Andai Lions XII menang dalam perlawanan kedua terakhir liga hari ini, bermakna Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) boleh mengucapkan selamat tinggal kepada trofi Liga Super.

Melainkan Felda mampu mencipta keajaiban di Jalan Besar, segala-galanya akan kembali berubah.

Setakat ini, Lions XII berada di puncak liga dengan 40 mata dan masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang keramat mereka, melainkan seri menentang Johor DT pada 21 Jun lalu.

Selangor pula berkongsi 36 mata dengan Johor DT, dan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu memiliki kelebihan bolos paling sedikit.

Jika dilihat dari segi kedudukan liga, tidak ada masalah buat Lions XII untuk memungut mata penuh seterusnya dinobatkan sebagai juara liga, namun Felda United sudah pasti tidak mahu kekal di tangga kedua tercorot yang akan menyebabkan mereka terhumban ke Liga Perdana musim depan.

Selasa lepas, Felda telah menunjukkan sedikit usaha untuk terus kekal di Liga Super selepas berjaya mengikat Johor DT 1-1, jadi perkara yang sama juga boleh berlaku di Stadium Jalan Besar hari ini, yang akan mengheret penentuan juara liga dibawa pada perlawanan terakhir, Sabtu ini.

Selangor bukan sahaja mahu menduduki tempat kedua liga yang membolehkan mereka beraksi di Piala AFC musim depan, mereka sudah tentu mempunyai cita-cita lebih besar dan menghalang trofi Liga Super terlepas ke pasukan jemputan.

"Saya seorang yang percaya kepada keajaiban. Orang nampak Lions XII sangat kuat dan mustahil untuk dikalahkan, tetapi saya rasa tidak mustahil Felda boleh buat kejutan kerana mereka sangat terdesak sekarang dan mahu mengelak daripada tersingkir dari Liga Super musim depan. Lagipun, Lions XII pasti lebih tertekan kerana mereka begitu menginginkan kemenangan.

"Bagi Selangor, saya tidak mahu pemain turun ke padang dengan terlalu memikirkan apa yang akan terjadi dalam satu lagi pertarungan di Jalan Besar, sebaliknya saya mahu mereka turun dengan memikirkan kita ada dua lagi misi penting untuk diharungi, menentang T-Team dan kemudian Johor DT. Kita harus menang kedua-dua perlawanan kerana kalau tidak muncul juara sekalipun, sekurang-kurangnya kita kena duduk nombor dua.

"Tahun lalu kita sekadar menghuni tangga ketiga, jadi sudah tentu kita kena memperbaiki kedudukan itu dan berada di tempat yang lebih baik," kata Irfan yang turut tidak dapat menggunakan Mohd. Bunyamin Umar and S. Veenod akibat dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, Johor DT harus melupakan kekecewaan tewas kepada Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu, mereka harus pandang ke depan dan berharap dapat menewaskan pasukan tangga tercorot Negeri Sembilan yang sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Menurut penolong jurulatih Johor DT, Ismail Ibrahim, baki dua perlawanan Liga Super sangat penting buat mereka sekarang, sasaran mereka adalah mampu berada di kedudukan terbaik liga untuk melayakkan diri ke Piala AFC 2014

"Kami berharap dua lagi perlawanan Liga Super (termasuk hari ini) dapat berakhir dengan kemenangan dan pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya," katanya.

Hamidin cadang pengadil profesional

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Hamidin (kiri) dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN, Datuk Azzuddin Ahmad mengucapkan tahniah antara satu sama lain dalam satu majlis di Wisma FAM, dekat Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Setiausaha Agung baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan mencadangkan kepada jawatankuasa pengadilan badan induk itu tentang perlunya mengadakan pengadil profesional.

Menurut Hamidin, perkara tersebut akan diusulkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu pada masa akan datang selepas mengambil kira pandangan daripada presiden badan bola sepak negeri untuk mewujudkan pengadil profesional.

"Jadi pengadil ini akan berkhidmat sepenuh masa dan dibayar oleh FAM. Kita perlu perubahan, tidak boleh berada di takuk lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Kualiti pengadilan sepanjang kempen Liga Malaysia lantang dikecam sejak kebelakangan ini termasuk oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyebabkan beliau digantung enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, di samping didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, Mac lalu.

"Lima atau enam negara sudah mempunyai pengadil profesional, jika perkara ini baik untuk bola sepak negara kita, jadi kita perlu buat dan pengadil yang ada sekarang ini akan dikekalkan.

"Pengadil profesional ini boleh mengadili perlawanan mustahak. Mungkin pada awal ini kita boleh menggunakan 10 hingga 20 pengadil profesional kerana sekarang kita hanya menggunakan pengadil amatur yang mana ada di antara mereka yang bekerja sebagai guru, pegawai dan beberapa lagi kerjaya lain," katanya.

Pengadil profesional telah digunakan di beberapa negara dalam saingan domestik mereka seperti di England, Perancis, Itali, Mexico dan Brazil. Hamidin juga mencadangkan bahawa umur untuk pengadil dan gaji mereka juga perlu diselaraskan mengikut standard profesional.

Katanya, FAM perlu mencari idea baharu dan berharap Jawatankuasa Pengadilan FAM memperhalusi cadangan tersebut walaupun perkara tersebut masih belum boleh memastikan corak pengadilan di Malaysia berubah serta-merta.

"Setiap manusia memang melakukan kesilapan tetapi kalau setahun ada isu tentang pengadilan 10 hingga 20 kali jadi untuk tahun depan kita mungkin mampu mengurangkannya kepada dua atau tiga kali kesilapan, ia sudah cukup baik malah di England juga pengadil sering melakukan kesilapan.

"Pengadil yang ada kita perlu pertingkatkan corak pengadilan mereka, perubahan ini perlu dilihat dari sudut global, kita hendak melihat bagaimana negara lain buat. Ia akan mewujudkan satu persaingan sihat," katanya.

Ditanya pengadil profesional tersebut bakal ditawarkan kepada pengadil yang sedia ada atau tidak, Hamidin berkata, mereka akan mencadangkan tawaran ini dibuka kepada pengadil amatur sekarang dan juga yang baharu.

"Situasi bola sepak sekarang tidak seperti 20 tahun lalu, pengadil memainkan peranan mustahak, jika kerap melakukan kesilapan ia akan membawa kepada imej bola sepak dan FAM sendiri. Saya sudah tekankan kepada pengadil bahawa keputusan yang mereka buat di atas padang sangat penting," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan