Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Fokus 90 minit

Posted: 28 Dec 2010 11:02 AM PST

WALAUPUN sudah membaham Sang Garuda di Stadium Nasional, perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno adalah detik penentuan sebenar buat Harimau Malaya untuk kembali digeruni dan dihormati di rantau Asia Tenggara.

Pemain perlu diingatkan bekalan selesa tiga gol dimiliki hasil kemenangan final pertama pada Ahad lalu bukanlah jaminan untuk skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal mencipta sejarah dengan menjulang buat kali pertama Piala Suzuki AFF.


Justeru barisan pemain kebangsaan diketuai Mohd Safiq Rahim perlu fokus untuk mengharungi baki 90 minit perlawanan dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan itu walaupun salah satu misi mereka untuk membalas dendam selepas dimalukan 5-1 di peringkat awal sudah dilunaskan.

Tumpuan 100 peratus diperlukan untuk aksi di gelanggang keramat Indonesia yang bakal menempatkan lebih 85,000 penyokong skuad Merah Putih itu amat diperlukan, terutamanya pemain muda yang gugup pada penampilan pertama ketika menentang Indonesia sebelum ini.


Sebarang provokasi dilakukan penyokong Indonesia seperti ejekan, cemuhan, cacian, kain rentang yang menghina Malaysia termasuk pancaran laser yang mungkin berlaku tidak perlu dihiraukan kerana ia bagi menjejaskan tumpuan dan aksi di tengah padang.


Berdasarkan prestasi semasa tidak mustahil pemain muda negara dapat mencatatkan kemenangan dan seterusnya meranapkan terus impian Indonesia yang memerlukan sekurang-kurangnya empat gol untuk menafikan kemenangan Malaysia, itupun sekiranya skuad kebangsaan tidak menjaringkan gol tambahan pada perlawanan itu.

Semua kelebihan kini memihak kepada Malaysia selepas mengharungi laluan berliku di peringkat kumpulan termasuk terpaksa bertungkus lumus menyingkirkan juara bertahan, VIetnam dengan agregat 2-0 di peringkat separuh akhir.


Ketiadaan dua tonggak utama di sebelah kanan, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mahali Jasuli malam ini akibat penggantungan kad kuning juga tidak dilihat menjadi masalah besar kepada Rajagobal yang mempunyai beberapa pemain simpanan berwibawa untuk menggalas tugas itu.

Malaysia dijangka tidak mengamalkan corak bertahan sepenuhnya kerana bakal memberikan kesan negatif kepada pasukan termasuk kemungkinan gol awal dijaringkan lawan yang bakal mencetuskan semangat pemain dan penyokong lawan.


Beliau juga mungkin sekali-sekala akan mengharapkan serangan balas pemain sayap, S Kunalan dan Mohd Ashaari Samsuddin serta kemampuan Mohd Safee Sali memegang bola untuk merencanakan serangan ke kubu lawan.


"Saya tidak datang untuk mencari seri tapi untuk menjaringkan gol dan memberikan permainan menarik untuk ditonton," katanya yang tidak berasakan perlawanan itu akan berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.


Ketika ditanya taktik lawan, Rajagobal meramalkan Alfred Riedl akan mengarahkan anak buahnya mencari gol awal.


"Saya tidak akan bertahan saja, malah kami juga mempunyai penyerang yang baik untuk serangan balas ke atas lawan.


"Ketiadaan Mohd Amirul dan Mahali juga tidak memberikan masalah kerana sebelum ini pun terdapat beberapa pemain utama saya juga mengalami kecederaan dan pengganti mereka dapat mengisi posisi ditinggalkan itu," katanya selepas mesyuarat pengurus pasukan semalam yang dihadiri 100 wartawan Malaysia dan Indonesia.


Rajagobal turut mengakui tugas sukar kerana sokongan fanatik penyokong lawan, namun pemain perlu fokus di atas padang dan mengikut strategi yang ditetapkan.


Cabaran Indonesia pula dianggap mustahil untuk mencari empat gol sekiranya Malaysia mengamalkan corak bertahan seperti perlawanan separuh akhir kedua menentang Vietnam di Stadium MyDinh sebelum ini yang berkesudahan seri tanpa jaringan.


Misi sukar itu ditambah kecederaan penjaga gol utama, Markus Harison Rihihina yang cedera dada kanan yang mungkin tidak cergas selain ketiadaan Yongky Ari Bowo di barisan serangan akibat kecederaan.


Terdahulu Indonesia turut meratapi kehilangan pemain sayap lincah, Oktovianus Maniani yang menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning termasuk satu kad kuning ketika aksi di Bukit Jalil Ahad lalu.


Berita itu bagaimanapun tidak seharusnya melekakan pemain kebangsaan kerana jentera serangan Indonesia yang diketuai oleh Cristian Gonzales masih mampu menggugat terutamanya melalui gandingannya bersama Ifran Haarys Bachdim yang tidak beraksi pada perlawanan akhir pertama kerana tidak cergas sepenuhnya.


Selain itu Malaysia harus berhati-hati dengan penyerang veteran Indonesia, Bambang Pamungkas yang boleh menjadi 'duri dalam daging' dan pemusnah kepada pasukan kebangsaan jika tidak dikawal rapi kerana pengalamannya ketika beraksi bersama Selangor suatu masa dulu sudah cukup untuk dia memahami rentak permainan pemain Malaysia.


Apa pun semuanya terpulang kepada pemain yang menyedari ini peluang terbaik Malaysia untuk mencipta sejarah sebagai juara baru Piala Suzuki AFF.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tekad Safee

Posted: 28 Dec 2010 11:01 AM PST

EMPAT gol yang dijaringkan setakat ini nyata masih belum memuaskan hati penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali.

Malah penyerang berusia 26 tahun berazam mahu meledak lebih banyak gol sekiranya mendapat peluang ketika beraksi di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta malam ini.


"Tumpuan utama adalah untuk mencipta kemenangan buat pasukan dan anugerah sebagai penjaring terbanyak adalah satu bonus kepada diri saya," katanya.

Dia optimis peluang menjaringkan gol itu akan hadir bagi menutup mulut penyokong fanatik Indonesia di gelanggang mereka sendiri, sekali gus membuktikan dua gol dijaringkannya pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil bukannya sekadar nasib.


Bagaimanapun, Mohd Safee pantas menaruh harapan yang rakan sepasukan lain seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safiq Rahim dapat membuka peluang untuk dirinya terus menghampakan penyokong Indonesia di gelanggang mereka sendiri.


Namun seperti pemain lain, Mohd Safee juga menyedari baki 90 minit adalah tempoh sukar untuk mereka harungi di depan kira-kira 85,000 penyokong fanatik skuad Garuda itu.

"Kami harus berwaspada setiap masa kerana mereka mampu menjaringkan jumlah jaringan besar dalam satu perlawanan seperti ketika menewaskan kita dengan 5-1 dan Laos, 6-0 pada peringkat kumpulan awal bulan ini.


"Selain itu berbanding Malaysia yang dibarisi pemain muda, Indonesia menampilkan pemain berpengalaman yang mungkin dapat mencorak hala tuju perlawanan itu," katanya.

Dia bagaimanapun menambah ia bukanlah satu kelebihan besar buat Indonesia malah pengalaman berdepan dengan penyokong fanatik di Indonesia dan Vietnam sebelum ini sudah mematangkan pemain kebangsaan.


Mohd Safee bakal dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan sekiranya penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang sudah menjaringkan tiga gol gagal bolosi gawang Malaysia yang dikawal penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan