Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Skuad Malaysia kembali dihormati

Posted: 30 Dec 2010 10:18 AM PST

KEJAYAAN menjulang Piala Suzuki AFF kelmarin dicapai dengan jalan yang penuh berliku dan mendebarkan membuktikan bola sepak tempatan kini sudah terjaga daripada lena serta melepasi zaman kegelapan.

Mereka kini sudah mengembalikan maruah dan reputasi negara untuk kembali digeruni di rantau Asia Tenggara selepas dipersendakan sejak sedekad sebelum ini tanpa sebarang pencapaian yang membanggakan.


Negara di rantau ini seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Myanmar dan Vietnam seharusnya tunduk hormat kepada Harimau Malaya yang kembali mengaum gagah membaham mangsa dengan memenangi Piala Suzuki AFF untuk kali pertama dan pingat emas Sukan Sea 2009 yang membabitkan pemain bawah 23 tahun.

Nyata Harimau Malaya yang terbaik di Asia Tenggara di peringkat senior dan bawah 23 tahun walaupun dibarisi kebanyakan pemain muda berusia 19 dan 21 tahun.


Kesukaran mencapai kejayaan ini sebenarnya bermula sebelum kejohanan berlangsung secara rasmi lagi dengan kecederaan melanda sebahagian besar tonggak utama memeningkan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal.


Bermula di barisan pertahanan, Aidil Zafuan Adha Abd Radzak, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Nasriq Baharom, Azmi Muslim diikuti barisan tengah Mohd Bunyamin Omar, S Chanturu, Baddrol Bakhtiar serta penyerang utama, Mohd Zaquan Adha sehingga tiada sebarang harapan diletakkan untuk muncul juara buat kali pertama.

Namun ia bukanlah halangan besar kepada Rajagobal untuk meneruskan 'sentuhan magis' bagi mencipta sejarah baru bola sepak negara apabila menaruh kepercayaan kepada pemain muda dan senior untuk menggalas cabaran edisi kelapan ini.


Pertaruhan paling tinggi adalah menggunakan dua pemain pertahanan tengah yang masih mentah jika dibandingkan dengan semua pasukan lain dengan menggandingkan Mohd Muslim Ahmad (21) dan Mohd Fadhli Shas (19).

Kepercayaan diberikan dibalas pemain dengan mempamerkan peningkatan di tengah padang ketika menentang Thailand dan Laos selepas dimalukan Indonesia 5-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.


Mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus mempamerkan kematangan di dalam permainan manakala pemain senior seperti Mohd Safee Sali kembali dihormati apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.


Malah corak permainan skuad kebangsaan dirancang Rajagobal sememangnya menarik untuk ditonton sama ada ketika menyerang atau bertahan dan kini mereka mampu untuk menjaringkan gol melalui serangan balas, sesuatu yang jarang dilihat sejak kebelakangan ini.


Ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang, keampuhan Mohd Muslim dan Mohd Fadhli di pertahanan tengah, rempuhan Mahali Jasuli, kematangan Mohd Asraruddin Putra Omar, ketenangan Amar Rohidan, kebijaksanaan Mohd Safiq Rahim, larian pantas S Kunalan dan Mohd Amirulhadi, kelicikan Norshahrul Idlan Talaha, kerajinan Mohd Safee serta barisan pemain simpanan yang bersedia untuk diturunkan adalah kunci kejayaan pada kejohanan ini.


Pemain negara sudah lengkap dari segi fizikal dan kemahiran untuk berdepan dengan pemain berpengalaman dari negara lain termasuk ketika menyingkirkan juara bertahan, Vietnam di peringkat separuh akhir dan Indonesia semalam.


Ketahanan mental pula adalah yang terbaik diberikan terutamanya di final kedua di Gelora Bung Karno kelmarin dengan kehadiran 95,000 penyokong fanatik Sang Garuda di dalam stadium dan puluhan ribu lagi di luar stadium untuk menggerunkan mereka.


Suasana bising dan nyanyian lagu patriotisme Indonesia setiap minit nyata tidak menggerunkan Harimau Malaya yang hampir mencatatkan kemenangan di gelanggang keramat lawan itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2004 dengan kemenangan 2-1.


Apa pun kejayaan memberi petanda baru sinar bola sepak Malaysia selepas dikatakan malap sebelum ini dan momentum itu berterusan untuk beberapa kejohanan besar yang menanti terutamanya kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang bermula Februari depan.


"Kami mempunyai perancangan empat tahun untuk menjadi salah satu pasukan digeruni di Asia.


"Untuk itu kami memberi peluang kepada pemain muda seawal 17 tahun untuk beraksi di dalam kejohanan tertinggi sebagai pendedahan," kata pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal, kelmarin.


Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut menjelaskan Malaysia kini mempunyai sekumpulan 50 hingga 60 pemain muda yang dikumpulkan untuk bermain bersama di dalam satu tempoh masa dan disediakan mewakili negara bila tiba masanya.


Mungkin salah satu faktor kejayaan kerana larangan pemain import di dalam Liga Malaysia sejak beberapa tahun ini sehingga membolehkan lebih ramai pemain tempatan kerap bermain dan memberikan kesan yang positif apabila mereka mewakili negara.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

5,000 sambut wira kita

Posted: 30 Dec 2010 10:13 AM PST

KEPULANGAN wira bola sepak negara yang menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki di sambut hampir lima ribu peminat yang memenuhi segenap ruang di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Sambutan luar biasa peminat itu sememangnya tidak disangka, apa lagi mereka menanti kepulangan pemain yang menaiki pesawat penerbangan MAS sejak jam 12 tengahari biarpun pesawat hanya tiba jam 3.40 petang.


Bermula jam 1.30 petang, balai ketibaan mula sesak dan bingit dengan laungan lagu-lagu patriotik seperti 'Inilah Barisan Kita' dan 'Fikirkan Boleh'.

Selain peminat yang hadir sendiri ke KLIA, beberapa kelab penyokong seperti Ultras Malaya, Kelab Penyokong Proton FC dan pasukan penyokong yang di bawa khas oleh Nike.


Sebaik kelibat pemain dan jurulatih, K Rajagobal kelihatan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mereka mula bersorak dan melaungkan nama setiap pemain.


Malah semua wartawan yang hadir di KLIA gagal mendapatkan sebarang komen daripada pemain dan jurulatih kerana mereka terus dikerumuni peminat lelaki, wanita dan juga kanak-kanak.

Pemain dan jurulatih kemudian diarak peminat ke pentas kecil di balai ketibaan sehingga menjadikan keadaan agak mencemaskan apabila peminat berasak-asak dan saling tolak-menolak untuk mendekati pemain.


Tidak kurang juga peminat yang tidak henti-henti melaungkan nama Rajagobal sebagai 'Datuk Rajagobal, Datuk Rajagobal'.

Ketika di atas pentas, pemain dikawal rapi polis hingga menghalang pandangan peminat, sekali gus menimbulkan kekecohan apabila ada di kalangan mereka yang melaungkan kata-kata kurang menyenangkan terhadap anggota keselamatan itu.


"Kami mahu tengok pemain, bukan nak tengok polis," jerit sekumpulan peminat yang diikuti dengan laungan yang dialun berlagu 'Polis! Turun! Polis! Turun!'.


Peminat diam seketika apabila doa selamat dibacakan dan mereka kembali berpesta sejurus selepas itu sambil mengalunkan lagu 'Terima Kasih, Hei Rajagobal," alunan yang cukup merdu didengar.


Tidak puas hanya seketika dapat menatap wajah wira negara, peminat terus mengiringi pemain menuju ke bas yang membawa mereka ke Wisma FAM.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan