Kosmo Online - Sukan |
Posted: Langkah Safee bermulaOleh WAN FAKHRUL BAKAR SAFEE (kiri) mendukung anaknya ketika mendaftar masuk di KLIA sebelum berangkat ke Jakarta, semalam. Turut kelihatan bapanya, Mohd. Sali (tengah). BEKAS penyerang Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam untuk memulakan kariernya sebagai pemain import kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya. Menurut Safee, 27, dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi cabaran baru beraksi di liga luar setelah lapan musim beraksi di Liga Malaysia sejak 2003. Selain cabaran hebat dalam saingan ISL, Safee turut perlu menghadapi cabaran di luar padang iaitu media Indonesia yang seringkali dianggap cukup ekstrem. "Saya sudah bersedia. Sebab itulah saya memilih Zakaria Ab. Rahim sebagai pengurus peribadi untuk beliau membantu saya dalam menghadapi media di sana (Indonesia). "Saya juga cuba elakkan keluarga saya menjadi tumpuan. "Tapi jika mereka tetap ekstrem berhubung perkara itu, saya perlu menyiapkan diri untuk menghadapinya," kata Safee ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam. Turut mengiringi pemergian Safee ke Jakarta ialah bapanya, Mohd. Sali Mian, ibunya, Maripah Hussain, isterinya, Sabarina Yusof, dua anaknya, Nur Syaza Syaqina dan Nur Syasya Sofirna serta Zakaria. Safee yang bakal turun beraksi untuk perlawanan pertama pusingan kedua ISL menentang Persib Bandung pada 7 Mac depan berkata, dia akan berusaha keras bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama Pelita Jaya. "Pelita Jaya membariskan ramai pemain muda kerana konsep kelab ini lebih kepada pembangunan. Jadi, kehadiran saya ini dianggap sebagai ikon. "Selain menyasarkan nisbah satu gol setiap perlawanan, saya juga berharap dapat membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan dalam liga," jelasnya. Pelita Jaya kini menghuni tangga tercorot di kalangan 15 pasukan yang beraksi di ISL selepas tamat saingan pusingan pertama. Safee mengikat kontrak selama setahun sehingga 31 Januari 2012 bersama Pelita Jaya. | ||
Zakaria bantu Safee di Indonesia Posted: Zakaria bantu Safee di IndonesiaZAKARIA (kanan) akan bertindak sebagai pengurus media Safee. NAMA Zakaria Ab. Rahim sebelum ini cukup dikenali sebagai pengurus pasukan skuad Liga Super Selangor sejak Jun 2008 hingga Disember 2009. Kini, Zakaria kembali tetapi bukan lagi bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sebaliknya bertindak sebagai pengurus peribadi kepada penyerang baru Pelita Jaya, Mohd. Safee Mohd. Sali. Menurut Zakaria, perkara pertama yang menjadi keutamaannya sebaik memulakan langkah di Indonesia semalam ialah memikat pihak media di negara jiran itu. "Di Indonesia cukup mudah. Selagi seseorang pemain itu mempamerkan prestasi baik dan menunjukkan sikap mesra, dia akan dihormati serta diminati ramai tak kira kawan atau lawan. "Ternyata sanjungan terhadap seseorang pemain di Indonesia cukup hebat. Jadi Safee perlu sentiasa mengekalkan tahap persembahan dan kecergasannya sepanjang baki 13 perlawanan yang perlu dihadapi Pelita Jaya. "Sasaran Safee ialah untuk membawa Pelita Jaya ke kedudukan lebih baik daripada tangga tercorot ketika ini dan jika berjaya, Safee tidak akan menghadapi masalah di Indonesia. "Malah dia juga akan disanjung pula oleh peminat-peminat di Indonesia," kata Zakaria ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam. Zakaria turut menjelaskan bahawa dia bukanlah ejen yang terlibat dalam urusan perpindahan Safee dari Selangor ke Pelita Jaya sebaliknya hanya berperanan sebagai pengurus peribadi yang mengatur perjalanan karier pemain itu. "Memang ketika menjadi pengurus Selangor sebelum ini, saya telah berusaha untuk mendapatkan tempat di kelab luar buat Safee. Tapi perpindahan ke Pelita Jaya ini diuruskan sendiri oleh FAS dan tiada ejen terlibat. "Peranan saya lebih kepada menjaga Safee untuk berhadapan dengan pihak media supaya dia tidak terjebak dengan kontroversi serta menjaga hubungannya dengan para penyokong dan peminat. "Kita juga mahu menjadikan Safee sebagai pemain yang benar-benar profesional iaitu dengan mendapatkan ruang untuk dia menjadi duta produk dan mendapat tajaan peribadi," jelas Zakaria. | ||
Posted: Arfy tunai janji sumbang emasDaripada AZIZUL FAHMI
KORAT, Thailand – Bintang dalam pembikinan, Mohd. Arfy Qhairant Amran (gambar) telah melunaskan janjinya untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011. Tampil dalam saingan final acara pecut individu lelaki junior di Velodrom Kompleks Sukan Korat semalam, kayuhan bertenaga Arfy ternyata sukar ditandingi pelumba sensasi Jepun, Nagao Kenta. Arfy yang disebut-sebut sebagai jelmaan jaguh keirin negara, Mohd. Azizulhasni Awang mengesahkan emas berada dalam genggamannya apabila dia mengungguli saringan pertama dengan catatan masa 11.233 saat dan saringan kedua (11.586s). Pingat gangsa acara tersebut dimenangi rakan senegara Kenta, Tanaka Koji yang menyingkirkan pelumba Korea Selatan, Kim Ji-sin selepas menang saringan pertama dengan catatan masa 11.705s dan saringan kedua (11.700s). Bagi Arfy, tiada apa yang lebih menggembirakan dirinya selain daripada menyumbang emas 'keramat' buat skuad junior negara pada ACC kali ini. "Selepas skuad junior negara hanya mampu meraih enam pingat perak setakat ini akhirnya saya dapat juga menghadiahkan emas. Sudah pasti, saya cukup gembira dengan kejayaan ini selepas saya kempunan meraih pingat dalam acara keirin. "Mungkin ada rahmat di sebalik kegagalan saya menempatkan diri dalam saingan final acara keirin. Saya bersyukur kerana apa yang saya idamkan selama ini menjadi kenyataan," kata Arfy ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat semalam. Arfy berkata, dia mula berasa yakin untuk membawa pulang pingat emas selepas berjaya memenangi saringan pertama. "Ketika memasuki saringan kedua, keyakinan saya semakin tinggi dan dalam masa yang sama, saya sedar pelumba Jepun itu (Kenta) berada dalam situasi tertekan kerana dia perlu menang dalam saringan kedua untuk mengheret perlumbaan ke saringan penentuan (ketiga). "Apa pun, saya mahu berterima kasih kepada Azizulhasni kerana dia banyak mengajar dan membantu saya ketika kami melihat video rakaman melibatkan lawan saya itu (Kenta) malam tadi," jelas Arfy yang lebih dikenali dengan gelaran Maq. Kejayaan memenangi pingat emas semalam juga dianggap cukup bermakna buat pelumba berusia 18 tahun ini selepas dia gagal meraih sebarang pingat dalam acara yang sama pada ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu. "Saya mahu hadiahkan kejayaan ini juga kepada kedua ibu bapa saya (Ruzaidi Abd. Rahman dan Rohaidati Abu) kerana mereka banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya selama ini. "Tidak lupa juga, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya (Othman Rashid) serta cikgu (Suod Hussain) dan semua pihak yang banyak membantu saya sehingga saya mampu berada sampai ke tahap ini," katanya yang menyambar gangsa acara keirin pada ACC 2010. Arfy menambah, kejayaannya itu diharap dapat membuka peluang kepadanya untuk diserapkan dalam skuad elit seterusnya dapat menjalani latihan bersama barisan pelumba senior negara. "Apabila dapat berlatih bersama skuad elit, saya harap dapat memperbaiki skil kayuhan dan mampu mempelajari teknik-teknik baru," jelasnya. Sementara itu, jurulatih, Suod Hussain sudah mampu tersenyum sebaik sahaja melihat Arfy menjelmakan emas sulung buat skuad junior negara. "Alhamdulillah... emas yang kita cari dalam beberapa hari sebelum ini dapat juga dicapai. Walaupun emas ini hadir pada hari terakhir (acara trek) tetapi ia sudah cukup melegakan saya," jelas Suod. Mengulas mengenai prestasi Arfy pada ACC 2011, Suod berkata: "John Beasley (ketua jurulatih negara) sendiri beritahu saya bahawa Arfy mempunyai masa depan yang cukup cerah. Kini kita ada seorang lagi pelumba muda yang mampu menggegar arena antarabangsa suatu hari nanti." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan