Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tidak terjejas tanpa Misbun

Posted:

Tidak terjejas tanpa Misbun

Tidak terjejas tanpa Misbun

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya persediaan pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bagi menghadapi Olimpik 2012 tidak akan terjejas, walaupun tidak lagi mendapat sentuhan sifunya, Datuk Misbun Sidek.

Menurutnya, ini kerana prestasi konsisten yang dipamerkan Chong Wei sepanjang tidak mendapat bimbingan Misbun, sudah memadai sebagai petanda bahawa pemain itu berada pada tahap terbaik.

Katanya, walaupun tidak lagi bersama sebagai jurulatih, Misbun masih boleh untuk mencurahkan pandangan kepada Chong Wei, bagi memperbaiki apa juga aspek yang dilihat sebagai kelemahan pemain tersebut.

"Saya melihat sepanjang kemelut yang melanda sejak tiga bulan Misbun meletak jawatan, dia (Misbun) masih memberikan nasihat dan kata-kata semangat kepada Chong Wei.

"Saya juga percaya dalam syarat yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Misbun, pastinya tidak ada menyatakan jurulatih itu tidak boleh untuk terus rapat dengan pemain No.1 dunia itu,'' katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia di Bukit Jalil, semalam.

Sabtu lalu, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM membuat keputusan bahawa Misbun akan membimbing sekumpulan pemain pelapis yang belum dikenal pasti manakala Chong Wei kekal di bawah bimbingan Tey Seu Bock dan Rashid Sidek sehingga tamat Sukan Olimpik London 2012.

Dalam pada itu, Shabery menggangap pemilihan Misbun yang diberi tanggungjawab melatih skuad pelapis sebagai suatu yang positif ke arah pembangunan sukan badminton negara.

Katanya, kembalinya Misbun ke BAM juga adalah petanda yang baik buat persatuan itu bagi meneruskan perancangan pembangunan seterusnya.

"Tugas membimbing skuad pelapis adalah satu tanggungjawab yang sungguh besar dalam usaha melahirkan lebih ramai jaguh badminton negara.

"Ini juga bukan tugas mudah buat Misbun yang perlu berusaha untuk melahirkan pemain berprestasi tinggi bagi mengisi kekosongan yang ada.

"Kita serahkan susunan atau percaturan ini kepada BAM dan kita tidak mahu campur tangan malah saya juga percaya Misbun mampu melakukannya,'' jelas Shabery.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Manassero wajar jadi contoh

Posted:

Manassero wajar jadi contoh

Manassero wajar jadi contoh

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my


Pemain golf negara Danny Chia melakukan pukulan di lubang ke 11 pada hari ke tiga Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2011 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini, minggu lalu.


KUALA LUMPUR - Penganjuran edisi ke-50 kejohanan golf Maybank Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin memang menakjubkan, bermula dengan penyertaan ramai bintang dunia, kedatangan lebih sekali ganda penonton dan kemenangan sensasi bintang remaja Itali, Matteo Manassero menjadikan ia penutup paling sempurna.

Kejayaan Manassero mencipta rekod juara termuda, dua hari sebelum meraikan hari jadi ke-18 adalah kemuncak kejohanan paling hebat. Apatah lagi dia mengetepikan nama-nama besar yang menjadi tumpuan di awal kejohanan seperti pemain No. 1 dunia, Martin Kaymer, juara Masters, Charl Schwartzel, juara Terbuka Britain, Louis Oosthuizen dan pemain No. 9 dunia, Roy McIlroy.

Cerita kemenangan Manassero yang baru bergelar profesional 11 bulan lalu dan catatan 16 bawah par 272 yang dilakukan untuk menewaskan pencabar terdekat, Gregory Bourdy dari Perancis pasti akan dijaja peminat golf untuk tempoh yang lama. Malah kejayaan itu turut meneruskan dominasi remaja selepas bintang muda Korea Selatan, Noh Seung-yul melakukannya tahun lalu.

Bagi Kaymer, Schwartzel, Oosthuizen dan McIlroy, biarpun memiliki rekod hebat, namun Kelab Golf & Country Kuala Lumpur terbukti bukan lapangan yang mudah ditawan.

Ketika Manassero dan sekumpulan pemain ternama dunia menjadi tumpuan peminat golf tanah air, perhatian juga tidak mampu dilarikan daripada persoalan apa kesudahan pula dengan pemain golf tempatan ? Dan, mengecewakan sekali, skripnya tidak berubah dari tahun-tahun terdahulu, di mana hanya Danny Chia berjaya melepasi kelayakan. Malah, Danny menutup pusingan keempat dengan buruk, empat atas par 76, sekali gus melengkapkan empat hari kejohanan dengan satu bawah par 287.

Di tepi lapangan, kedengaran rungutan peminat yang sering membandingkan Danny dan pemain-pemain Malaysia yang lain dengan wakil tunggal Bangladesh, Siddikur Rahman, pemain yang mencuri tumpuan dengan muncul pemain terbaik Jelajah Asia menerusi sembilan bawah par untuk berada di tangga kelapan.

Kebanyakan peminat golf mungkin sudah mengetahui kisah sedih Siddikur, 27, tentang bagaimana dia mula terlibat dalam golf pada usia tujuh tahun kerana hendak menampung pelajaran dan keluarganya yang sangat miskin, malah ketika itu di negaranya cuma terdapat tiga lapangan golf sembilan lubang.

Ketika itu juga kata Siddikur, peralatan golf bukan saja terlalu mahal dan hampir tidak mampu dimiliki, malah sukan tersebut tidak popular di negaranya. Dia terpaksa menjadi kedi dan mengutip kepala club yang sudah dibuang. Malah, iron pertama yang dimiliki disedekahkan oleh seorang ahli kelab yang tidak lagi mahu menggunakannya. "Begitulah saya bermula,'' cerita Siddikur.

Kisah keperitan Siddikur dalam memulakan karier, mengingatkan kita betapa bertuah menjadi pemain di Malaysia kerana lapangan golf (pelbagai standard) di negara ini wujud merata-rata dan peralatan golf tidaklah terlalu mahal. Malah hari ini, golf bukan sekadar sukan golongan atasan tetapi turut dimainkan golongan pertengahan.

Malangnya, mengapa kita masih gagal melahirkan ramai juara? Danny, 39, masih menjadi sandaran utama untuk sekian lama, manakala Terbuka Malaysia, yang menginjak edisi ke-50 terus kempunan melahirkan juara tempatan sendiri. Malah edisi kali ini turut menyaksikan Malaysia memiliki wakil paling ramai dalam sejarah - 22 pemain,16 daripadanya profesional tetapi hanya Danny bernafas di pusingan akhir.

Apa sudah jadi dengan 21 lagi pemain? Selain Danny, kita ada Ben Leong, Shaaban Hussin, Iain Steel, Rashid Ismail, R. Nachimuthu, A. Sasar, Mohamad Hanafiah Mohd. Jamil, Akmal Tarmizee Nazari, M. Sasidaran, S. Sivachandran, Airil Rizman Zahari, Khor Kheng Hwai, Sukree Othman, Nicholas Fung dan Mohd. Shaifubari Muda membawa cabaran profesional tempatan, manakala cabaran amatur dipikul Gavin Kyle Green, Mohd. Azman Basharudin, Kenneth de Silva, Mohd. Hisyam Majid, Jeremiah Kim dan Chan Tuck Soon.

Prestasi hambar pemain negara turut menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang pada hari terakhir kejohanan menyeru Persatuan Golf Malaysia (MGA) mengkaji semula program pembangunan remaja, supaya Malaysia pada suatu hari nanti boleh memiliki juara.

MGA juga sedar tentang kegagalan yang menghantui pemain tempatan sejak sekian lama. Sesuatu cuba dilakukan tahun ini, di mana program Pembangunan Remaja Elit Kebangsaan diperkenalkan buat kali pertama, melibatkan pemain bawah 14 tahun.

Namun bagi pemain yang sudahpun bertapak, kejayaan Manassero serta kisah Siddikur wajar menjadi tauladan kepada mereka. Semoga edisi ke-51 tahun depan akan memberi keputusan lebih menggembirakan, walaupun mungkin sukar hendak mencari juara tempatan pertama atau mengulangi pencapaian P. Gunasegaran muncul naib juara 1994, namun sekurang-kurangnya kita mahu melihat lebih ramai pemain melepasi kelayakan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan