Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Saringan Zon Selatan hangat

Posted:

Saringan Zon Selatan hangat

Saringan Zon Selatan hangat

Oleh AZIZI MAJID
sukan@utusan.com.my


Mohd. Nasir Ali (tengah) melihat Md. Za'nal menimang bola sambil diperhatikan (dari kiri) Hassan Md. Noor, Sheikh Sharufuddin Sheikh Mohd. dan Tengku Adnan Tengku Burhanuddin pada perasmian Kejohanan Sepak Takraw KFC- Utusan Malaysia di Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/Nasirruddin Yazid


JOHOR BAHRU- Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan Malaysia 2011 membuka tirai semalam dengan 100 pasukan berentap bagi Saringan Zon Selatan bertempat di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini.

Majlis pelancaran kejohanan edisi kedua kali ini disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Eksekutif KFC Holdings (Malaysia) Berhad, Sheik Sharufuddin Sheik Mohd.

Turut hadir adalah Penolong Setiausaha I Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanuddin; Setiausaha Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md. Za'nal Misran dan Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Md. Noor.

Lebih 1,000 peminat membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan secara lebih dekat.

Mohd. Nasir dalam ucapannya berkata, kejohanan kali ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran kejohanan tahun lalu, yang mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan sepak takraw.

"Berbanding kejohanan tahun lalu yang hanya dijalankan di zon tengah, kejohanan kali ini diperluaskan lagi bagi membolehkan peserta dari Zon Selatan, Timur dan Utara turut serta.

"Kita sasarkan sebanyak 500 pasukan daripada keempat-empat zon akan menyertai kejohanan pada tahun ini," katanya.

Menurut Mohd. Nasir, kejohanan tersebut merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat baru dan pelapis bagi sukan takraw tanah air dalam usaha melahirkan pemain sepak takraw berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Beliau juga menyatakan harapan agar pelbagai pihak termasuk penaja memberikan sokongan padu agar kejohanan ini akan dapat dijadikan acara tahunan.

Tiga kategori yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu Lelaki Terbuka, Lelaki Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) Bawah 19 serta Lelaki Bawah 15.

Empat saringan peringkat zon diperkenalkan iaitu selatan pada semalam dan hari ini, utara (1-2 Julai), timur (16-17 Julai) dan tengah (23-24 Julai).

Juara, naib juara serta tempat ketiga dan keempat di setiap peringkat zon bakal layak ke cabaran peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Lembah Klang pada September ini.

Lebih menarik apabila juara dan naib juara di setiap kategori peringkat zon turut berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 hingga RM2,500.

Kejohanan ini mendapat sokongan padu daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selain rakan strategik seperti Antabax, 100PLUS, Salim Sports dan Figos serta Astro Arena.

Selain MPPG, kejohanan ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Banda Raya Alor Setar, Majlis Perbandaran Kuantan dan Universiti Malaysia Pahang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua muka baru Naib Presiden MOM

Posted:

Dua muka baru Naib Presiden MOM

Dua muka baru Naib Presiden MOM

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim dan bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah muncul Naib Presiden baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu bagi penggal 2011-13, semalam.

Malah Mohd. Noor beroleh pungutan undi terbanyak, 61 di antara tujuh calon yang bertanding manakala Danyal Balagopal mendapat 44 undi sementara dua penyandang, Prof. Datuk Zakaria Ahmad (58) dan Datuk Roy Rajasingham (47) terus diberi kepercayaan perwakilan bagi sepenggal lagi.

Sebanyak 320 undi dibuang namun empat daripadanya rosak bagi jawatan itu dengan seorang lagi penyandang, Prof. Datuk WY Chin kecundang setelah cuma menduduki tempat kelima dalam perebutan empat kerusi itu dengan memperoleh 43 undi dan dua lagi calon, Senator Datuk Maijol Mahap dan Tan Sri Abdul Halil Mutalif masing-masing 41 dan 22 undi.

Pemilihan sempena Perhimpunan Agung Tahunan MOM Ke-30 di Wisma MOM itu turut menyaksikan jawatan Penolong Setiausaha Kehormat (Lelaki) MOM berpindah tangan kepada bekas pegawai persatuan taekwondo, Kumar Tangaraju yang memperoleh 45 undi sekali gus menewaskan penyandangnya, Ramlay Ibrahim dengan kelebihan 10 undi.

Tujuh jawatan lagi dimenangi tanpa bertanding iaitu Presiden, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar; Timbalan Presiden, Datuk Abdullah Sani Karim; Naib Presiden (Wanita), Low Beng Choo; Setiausaha Kehormat, Datuk Sieh Kok Chi; Penolong Setiausaha Kehormat (Wanita), Moira Tan; Bendahari dan Penolong Bendahari Kehormat, Yong Choo Kong dan Rosmanizam Abdullah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen