Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kim Swee sedia hadapi Samurai Biru

Posted:

Kim Swee sedia hadapi Samurai Biru

Kim Swee sedia hadapi Samurai Biru

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Tinggal kurang sebulan lagi pertemuan sulung pusingan akhir kelayakan menentang skuad Olimpik Jepun, pengendali pasukan Olimpik negara, Ong Kim Swee semakin sibuk merangka strategi ampuh bagi menghadapi amukan Samurai Biru di bumi matahari terbit itu pada 21 September ini.

Biarpun mengakui masih belum menganalisis sepenuhnya kekuatan dan kelemahan yang ada pada Jepun, dia sama sekali tidak akan gentar dengan reputasi tinggi pasukan gergasi Asia tersebut.

"Sebenarnya saya belum sempat lagi meneliti rakaman aksi Jepun semasa menentang Mesir (pasukan Olimpik), baru-baru ini yang mana mereka menang 2-1.

"Berdasarkan keputusan sahaja, ia tidak mencukupi buat saya mendapatkan gambaran sebenar mengenai Jepun, dalam masa terdekat ini saya mahu mencari rakaman video perlawanan yang membabitkan mereka semasa pusingan kedua kelayakan menentang Kuwait tempoh hari.

"Saya akan ke Rumah AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) bagi mendapatkan rakaman video tersebut supaya mengetahui serba sedikit gaya permainan mereka," katanya yang dihubungi, semalam.

Walaupun begitu, dia secara jujur mengakui Jepun berada satu kelas yang lebih tinggi berbanding Malaysia kerana semua pemainnya mempunyai pengalaman beraksi di Liga-J di samping turut mempunyai beberapa pemain berkelana di liga sekitar Eropah.

"Saya difahamkan Ryo Miyaichi yang sedang bersama dengan Arsenal berkemungkinan besar akan disenaraikan, di samping dua atau tiga pemain lain yang bermain di Eropah.

"Jika mahu dibuat perbandingan, kita memang ketinggalan kepada mereka. Ini bukan bermakna saya takut untuk terima kekalahan, tetapi apa yang cuma saya boleh janjikan, pemain-pemain saya akan cuba memberikan tentangan sengit kepada Jepun," ujarnya.

Berada dalam Kumpulan C bersama Jepun, Malaysia akan bersama Bahrain dan Syria bagi memburu kedudukan juara kumpulan bagi menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012, manakala naib juara kumpulan menjanjikan saingan di peringkat play-off antara tiga pasukan dan pemenang akan berdepan wakil dari benua Afrika bagi memburu satu lagi tempat ke London.

Justeru itu, dua perlawanan persahabatan berprofil tinggi dengan kelab Iraq, Al-Arbil yang sedang bersaing di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia 2011 dan skuad Olimpik Oman mampu dijadikan bekalan tambahan bagi menghadapi Jepun selain ilmu yang dibawa pulang dari Slovakia, bulan lalu.

Tidak menafikan pertemuan dengan dua kelab itu mampu membantu menyesuaikan anak-anak buahnya dengan cara permainan pasukan dari Asia Barat kerana mereka akan berdepan Bahrain dan Syria, namun, Kim Swee mahu memberikan fokus pada perlawanan dengan Jepun terlebih dahulu.

"Memang benar perlawanan dengan kelab dari Iraq (Al-Arbil) dan Olimpik Oman amat bersesuaian kepada pemain-pemain saya dapat mengenali cara permainan dari Asia Barat tetapi apa yang lebih mustahak saya mahu memikirkan pertemuan dengan Jepun dahulu.

"Dua perlawanan ini saya harap dapat menyuntik keyakinan tambahan kepada pemain, selain mencari kesebelasan terbaik bagi berdepan Jepun nanti," katanya.

Dalam pada itu, dia berkata, kehadiran beberapa pemain baru seperti Mohd. Izuan Solahuddin, Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd. Azrif Nasrulhaq menjanjikan banyak pilihan kepadanya bagi mencongak strategi bersesuaian.

"Mereka layak berada dalam skuad selepas mempamerkan kesungguhan dan memberikan komitmen tinggi sepanjang latihan di Slovakia," katanya.

Anuar 'diburu' pasukan Eropah

Posted:

Anuar 'diburu' pasukan Eropah

Anuar 'diburu' pasukan Eropah

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my


Anuar Manan (kiri) ketika beraksi di Le Tour de Langkawi Malaysia 2011 mewakili pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team.


KUALA LUMPUR - Pelumba lebuh raya negara, Anuar Manan terus menjadi buruan pasukan luar negara dan terbaru menerima lima tawaran termasuk dari Eropah.

Bagaimanapun pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu keberatan untuk memberitahu pasukan mana yang menawarkan khidmatnya berikutan dia masih lagi mempunyai kontrak dengan pasukannya sekarang, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG).

Lebih menarik saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 akan berakhir di negeri kelahirannya, Terengganu dan dia sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk beraksi cemerlang bersama pasukan terbaik.

Menurut Anuar, walaupun tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan untuk beraksi di Sukan SEA Palembang 2011, November ini dia tidak putus asa untuk meneruskan perjuangan, malah bersemangat berlatih setiap hari.

"Saya ada cita-cita tersendiri. Setakat ini saya yakin dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak akan berhenti berkayuh selagi saya tidak mengambil bahagian dalam Tour de France," kata Anuar.

Jelasnya, tahun depan dia tidak mahu menghampakan rakyat Malaysia dan juga penyokongnya dengan sekali lagi meletakkan sasaran untuk mencatat satu kemenangan di LTdL seperti yang dilakukannya pada edisi 2010.

Pada masa ini, Anuar masih lagi menjalani latihan bersama pasukan skuad TSG selepas tidak dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat untuk skuad kebangsaan di Chiang Mai, Thailand.

Perjalanan Anuar pada perlumbaan terbesar Asia, LTdL sangat membanggakan apabila menjadi pelumba pertama negara berada di atas podium selepas menamatkan saingan di tempat kedua pada edisi 2008 ketika peringkat ketiga dari Sitiawan ke Banting bersama pasukan Le Tua.

Dia terus mencipta nama selepas dinobatkan sebagai pelumba Asia pertama bergelar Raja Pecut pada LTdL 2010

Prestasi cemerlang itu membolehkan Anuar dilamar pasukan luar negara antaranya Islamic Azad University, Geumsan Ginseng Asia dan terbaru bersama TSG.

Selepas sekian lama menyepikan diri, Anuar akan kembali mempamerkan kehebatannya di Jelajah Brunei pada Hari Raya keempat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan