Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Santapan Socceroos

Posted: 07 Oct 2011 08:47 AM PDT

STATUS Harimau Malaya selaku juara rantau Asia Tenggara dipermainkan oleh Australia menerusi kekalahan besar 5-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Canberra, semalam.

Kekalahan dalam perlawanan yang dikuasai sepenuhnya naib juara Piala Asia itu menjadi tamparan hebat buat ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal selepas menanggung kekecewaan tersingkir di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di tangan Singapura, Julai lalu.


Sememangnya di atas kertas sudah tertulis jurang Malaysia di ranking ke-147 dunia manakala pasukan tuan rumah ke-19 dunia amat ketara, namun tentangan yang diharapkan pemain Harimau Malaya tidak kelihatan sehingga dibolosi empat gol pada babak pertama perlawanan yang disaksikan 10,041 penonton.

Kemenangan ini pastinya menjadi tonik terbaik buat Socceroos sebelum bertemu Oman, di Sydney, Selasa depan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2014.


Kapten Australia, Lucas Neill berkata, mereka mempamerkan aksi terbaik kerana masing-masing mahu merebut tempat dalam skuad Piala Dunia.


"Ia persembahan yang amat baik. Kami tahu jika kami menjaringkan gol awal, permainan akan terbuka dan itulah strategi yang kami gunakan.

"Pemain mengambil peluang diberikan jurulatih yang kini sukar memilih pemain dan kami akan meneruskan prestasi seperti ini.


"Kekuatan pasukan sangat penting kerana kami mempunyai banyak perlawanan penting selepas ini," katanya.

Tanpa beberapa pemain bintang seperti Tim Cahill, Mark Schwarzer, Brett Emerton dan Harry Kewell, langsung tidak menjejaskan rentak Socceroos yang dikendalikan Holger Osieck apabila menyumbat gol pertama menerusi pemain tengah Luke Wilkshire seawal minit ke-3.


Penyerang negara, Mohd Safee Sali cuba mengancam kubu Australia yang dikawal Adam Federici namun lorongan ke dalam kotak penalti gagal dibaca rakan sepasukan.


Pemain negara seperti kaku beraksi dalam cuaca sejuk 13 darjah Celsius apabila membenarkan Australia saling berbalas hantaran sehingga membuka ruang kepada penyerang, Joshua Kennedy menyumbat gol kedua menerusi rembatan deras, menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-33.


Ketika pertahanan negara yang dikemudi kapten, Norhafiz Zamani Misbah bergelut bertahan, giliran penyerang Alex Brosque yang mewakili kelab Jepun, Shimizu S-Pulse membocori gawang selepas mendapat umpanan Kennedy.


Sebelum berehat, Kennedy sekali lagi mencuri tumpuan dengan menyumbat gol keempat selepas gerakannya gagal dikawal pertahanan Mahali Jasuli.


Babak kedua, Rajagobal membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, pemain tengah bertahan, K Reuben dan pemain pertahanan Mohd Zubir Azmi menggantikan Baddrol Bakhtiar, Joseph Kalang Tie dan Mahali.


Biarpun tidak banyak yang mampu dilakukan skuad negara, namun mereka sekurang-kurangnya mereka berjaya menyekat pasukan tuan rumah terus berpesta gol apabila hanya dibolosi menerusi jaringan Brosque di minit ke-69.


Kekalahan 5-0 ini menjadi pengajaran bermakna buat Rajagobal betapa sasaran utamanya membawa Harimau Malaya layak beraksi di Piala Asia 2015 di Australia masih jauh untuk digapai.


Malah keupayaan skuad negara untuk mempertahankan Piala AFF tahun depan kini turut menjadi persoalan jika pemain negara terus bergelut memperbaiki prestasi.

Maniam tak layan Yob

Posted: 07 Oct 2011 08:25 AM PDT

KETUA jurulatih Selangor, P Maniam enggan melayan perang psikologi pengendali Perak, Norizan Bakar yang menganggap aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Merah Kuning adalah perlawanan biasa yang perlu dihadapi skuad Seladang.

Pengendali berusia 43 tahun itu sebaliknya mahu barisan pemainnya membalasnya dengan mempamerkan aksi yang terbaik apabila bertemu di laman sendiri, Stadium Shah Alam pada Isnin ini.


"Mungkin kami sudah tidak mempamerkan permainan seperti dulu dan beliau pula jurulatih yang mempunyai pengalaman luas. Pemain lawan juga berada dalam tahap keyakinan tinggi dan saya menganggap mereka sebagai pasukan pilihan untuk pertemuan ini," katanya yang membimbing juara 32 kali Piala Malaysia itu mara ke suku akhir selepas "Misi 33" hampir berkubur pada peringkat kumpulan sebelum ini.

Pandangan Maniam itu pastinya berdasarkan prestasi Perak yang menjadi pasukan tunggal tidak tewas sekali gus muncul juara kumpulan A walaupun pada awalnya diramal tersingkir selepas kehilangan lima tonggak berikutan penggantungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Maniam bagaimanapun enggan terlalu memikirkan pihak lawan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasukan sendiri bagi memastikan beliau mendapat kesebelasan pemain dan kombinasi terbaik dalam tempoh masa yang ada.


"Saya sebenarnya masih mencari gandingan terbaik mengisi posisi pertahanan tengah. Pemain berpengalaman, Khairul Anuar Baharom belum boleh beraksi kerana masih mengalami kesakitan walaupun pada awalnya saya dimaklumkan dia sudah boleh turun beraksi. Saya masih menguji beberapa kombinasi pemain yang ada," katanya.

Ketika tewas 2-4 aksi persahabatan menentang skuad Sukan Sea negara petang kelmarin, Maniam menguji kombinasi Mohd Nasriq Baharom dan Mohd Nazri Ahmad pada separuh masa pertama diikuti gandingan Yosri Derma Raju dan pemain dari Korea Selatan, Hwang Myo Kyu yang sedang diuji pada babak kedua namun masih belum memuaskan hatinya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan