Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Defisit hanya 1 gol’

Posted: 28 Oct 2011 08:41 AM PDT

SUKAR meramalkan siapa yang paling layak antara Negeri Sembilan dan Terengganu untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun ini.

Negeri Sembilan mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan akhir tiga kali berturut-turut serta berazam merampasnya selepas dikecewakan Kelantan musim lalu.


Kesungguhan dan kemampuan kedua pasukan tahun ini lebih menarik dengan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri namun sedikit kesilapan boleh membawa padah.

Terengganu terkenal dengan corak permainan pantas manakala Negeri Sembilan dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman pastinya mempergunakan kelebihan masing-masing memenangi Piala Malaysia 2011.


Ramai pemerhati dan jurulatih beranggapan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dengan pemenang ditentukan hanya dengan kelebihan satu gol berdasarkan rekod cemerlang sejak saingan awal piala itu.


Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kedua-dua pasukan itu memiliki taktik berlainan selain barisan pemain yang mampu mengekang serangan dan asakan.

"Sukar nak diramal pasukan mana akan bergelar juara kerana kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada saingan Piala Malaysia kali ini.


"Saya yakin salah satu pasukan hanya menang dengan perbezaan defisit gol 1-0 atau 2-1 saja," katanya.

Bagi Terengganu, Wan Jamak berkata skuad Penyu itu dilihat konsisten dalam kempen Piala Malaysia kali ini berdasarkan prestasi dan komitmen skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim sejak awal musim.


Terengganu menghampiri kemuncak apabila berjaya menyingkir juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di separuh akhir dan menewaskan juara bertahan Kelantan pada suku akhir.


"Terengganu kini berada di landasan tepat. Selaku juara Piala FA tahun ini, pastinya peminat berharap Terengganu mempamerkan aksi lebih bertenaga membawa pulang piala kedua musin ini.


"Malah mereka mempunyai empat barisan pemain serangan seperti Joseph Kallang Tie, Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahaya dan Mohammad Ashaari Shamsuddin yang pastinya perlu diberi perhatian," katanya.


Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata keupayaan skuad Negeri Sembilan juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka turun ke gelanggang dengan status sebagai naib juara serta juara Piala FA tahun lalu.


Katanya jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah akan meletakkan sandaran kepada pemain berpengalaman antaranya Norhafiz Zamani Misbah, Hairudin Omar dan Mohd Shukor Adan.


Jurulatih Felda United, E Elavarasan turut mengakui saingan sengit akan berlaku dalam pertembungan dua pasukan itu.


"Negeri Sembilan pasti mahu menebus duka tahun lalu manakala Terengganu juga pastinya memburu piala kedua tahun ini dan menamatkan kemarau 10 tahun menjulang piala itu," katanya.


Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru dilantik bagi kempen musim depan, B Sathianathan pula menjangkakan skuad Negeri Sembilan akan membuat kejutan kerana mempunyai pemain serba boleh seperti S Kunanlan dan Shahurain Abu Samah bagi mengucar-kacirkan barisan lawan.


"Negeri Sembilan mempunyai komitmen untuk menjadi juara. Kunanlan mempunyai corak permainan yang pantas manakala Shahurain pula menjaringkan enam gol dengan purata satu gol setiap perlawanan kempen Piala Malaysia dan mempunyai peluang cerah kerana masih muda," katanya.


Beliau berkata formasi corak skuad Rusa yang biasanya membuat hantaran pendek dan tidak hanya sekadar mementingkan pertahanan dan serangan balas yang laju pastinya menjadi kunci buat pasukan itu beroleh kejayaan.


"Oleh kerana Terengganu juga lawan hebat, Negeri Sembilan mungkin menang dengan kelebihan satu gol, 2-1 atau 1-0," katanya. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Hai-O fokus julang Rusa

Posted: 28 Oct 2011 08:34 AM PDT

AYAM tambatan Negeri Sembilan, Hairuddin Omar mengakui terpaksa mengetepikan segala tekanan daripada penyokong Terengganu, demi membantu pasukan disertainya menjulang trofi Piala Malaysia buat kali kedua, pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain berpengalaman berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 2009 sekali gus menamatkan penantian pasukan itu selama 61 tahun, manakala tahun lalu pula, membantu Kelantan menjulang trofi berprestij itu.


Hairuddin menyedari dia pasti berdepan situasi itu kerana dia berasal dari Terengganu tetapi perlu bersikap profesional selain tidak mahu tumpuan terganggu menjelang pertemuan dengan juara Piala FA itu nanti.

"Saya akui pasti ada tekanan daripada penyokong negeri kelahiran saya menjelang final dengan Terengganu, Sabtu ini, kerana mereka menganggap saya adalah peneraju utama yang akan memusnahkan impian Terengganu merangkul kejuaraan Piala Malaysia.


"Tetapi saya perlu bersikap profesional dan memberi tumpuan kepada pasukan Negeri Sembilan dalam memastikan kejuaraan Piala Malaysia musim ini menjadi milik pasukan ini.


"Inilah lafaz, tekad dan azam saya sebaik bersama Negeri Sembilan awal musim ini iaitu mahu merealisasikan impian pasukan merangkul kejuaraan terutama Piala Malaysia yang menjadi lambang kemegahan setiap pasukan," katanya semalam.

Hairuddin yang setakat ini menjadi penjaring terbanyak kempen musim ini dengan tujuh gol antara sandaran utama skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah bagi melenyapkan impian Terengganu dan dia yang dijangka akan digandingkan dengan Shahurain Abu Samah di barisan depan, pasti akan menjadi duri dalam daging buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim.


Hakikatnya pemain yang sinonim dengan panggilan Hai-O itu dianggap pemusnah kepada pasukan lawan kerana mampu menjaringkan gol dalam apa juga situasi terutama menerusi ketajaman tandukannya.

Dia yang kini tampak kian serasi bersama Shahurain, pasti menghadirkan rasa gerun buat pertahanan Terengganu yang dikemudi Marzuki Yusof.


Malah dalam aksi separuh akhir kedua di Paroi, Sabtu lalu, lorongan bola daripada Hairuddin membolehkan Shahurain menjaringkan gol pertama Negeri Sembilan.


"Saya akan berusaha untuk menjaringkan gol pada final nanti kerana itu adalah matlamat saya setiap kali berada di padang, apatah lagi pada perlawanan penting ini dalam merebut kejuaraan utama Piala Malaysia yang menjadi kemegahan setiap pasukan.


"Namun begitu bukan kemegahan peribadi yang saya kejar, tapi lebih penting adalah kemenangan Negeri Sembilan untuk menebus kembali kegagalan pasukan ini kepada Kelantan, pada final musim lalu," katanya.


Sehubungan itu, dia berharap rakan sepasukan dapat mempamerkan persembahan mantap dan semangat juang tinggi pada final Sabtu ini, demi memastikan impian merangkul kejuaraan Piala Malaysia tercapai.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan