Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Jangan gelojoh’

Posted: 12 Nov 2011 11:31 AM PST

DI SEBALIK rasa waspada dengan kekuatan dimiliki Kemboja, jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara Ong Kim Swee tidak menyembunyikan hasratnya untuk melihat anak buahnya melakar kemenangan selesa dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Sukan Sea hari ini.

Beliau sedar, selain tiga mata penting yang perlu diraih dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu, jumlah jaringan juga mungkin bakal menjadi penentu dua pasukan yang layak ke separuh akhir daripada Kumpulan A.


Bagaimanapun Kim Swee tetap mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah memburu gol sehingga membuatkan mereka berada dalam tertekan sebaliknya hanya fokus dalam mencari kemenangan.

"Saya mahu pemain supaya tidak terlalu ghairah untuk menjaringkan gol kerana ia hanya akan memberi tekanan kepada diri sendiri.


"Kalau pemain mengikut strategi dirancang, kita boleh menjaringkan gol. Lihat saja seperti perlawanan dengan Thailand, kita terlepas empat hingga lima peluang menjaringkan gol kerana tertekan," katanya yang menyaksikan Thailand menewaskan Kemboja 4-0 semalam.


Saingan peringkat kumpulan semakin sengit dengan menyaksikan Indonesia mendahului dua mata mengatasi Malaysia selepas memenangi kedua-dua perlawanan.

Malah Indonesia pula mengumpul lapan gol selepas membelasah Kemboja 6-0 dan Singapura 2-0 berbanding Malaysia yang hanya seri 0-0 menentang Singapura sebelum menang ke atas Thailand 2-1.


Singapura pula menduduki tangga ketiga terikat empat mata bersama Malaysia manakala Thailand yang hanya beraksi dalam dua perlawanan mengumpul tiga mata manakala Kemboja tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Bagaimanapun untuk melaksanakan misi memburu kemenangan itu bukan mudah buat skuad negara kerana Kemboja yang dibimbing jurulatih Tae Hoon Lee 'liat' untuk ditembusi meskipun masih belum merekod kemenangan setakat ini.


Apa yang diharapkan Kim Swee agar penyerang Syahrul Azwari Ibrahim, Izzaq Faris Ramlan, Ahmad Fakri Saarani dan Baddrol Bakhtiar dapat menyempurnakan setiap peluang yang terhidang.


"Kita kena pastikan pemain-pemain jangan leka kerana Kemboja mempunyai semangat juang yang tinggi. Walaupun mereka ketinggalan tiga gol menentang Thailand mereka masih terus memberi tentangan," katanya.


Jika menang pada perlawanan itu, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir cerah biarpun bakal musuh ketat, Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan Khamis depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Afifuddin tekad lakar gemilang

Posted: 12 Nov 2011 11:27 AM PST

ATLET taekwondo negara, Mohd Afifuddin Omar bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan namun dia berhasrat untuk memburu hadiah perkahwinan lebih awal apabila turun ke gelanggang dalam kategori bawah 68 kilogram hari ini.

Afifuddin, 25, yang bakal tampil untuk temasya kali ketiga turut mahu menebus kehampaannya selepas hanya meraih gangsa di Manila 2005 dan Laos 2009.


"Memang saya mahu menukar warna pingat kali ini. Saya sudah membuat persediaan rapi selepas Sukan Sea Laos lagi dan yakin mampu memberikan aksi lebih baik," katanya yang mengakui pengadilan berat sebelah dua tahun lalu menjadi punca dia gagal ke final.

Afifuddin yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan hatinya, Norhidayah Yusuf pada 24 Disember ini mencatat keputusan baik tahun ini apabila muncul juara kebangsaan Julai lalu.


Di sebalik keyakinan yang menggunung, dia yang turut mengintai peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik London tahun depan sentiasa waspada dengan ancaman pencabarnya.


"Atlet Filipina dan Indonesia sentiasa memberi tentangan sengit di peringkat Sukan Sea ini tapi saya tetap yakin dengan kemampuan diri sendiri.

"Saya memang berharap untuk mendapat pingat emas sebagai hadiah perkahwinan saya bulan depan," kata atlet dari Kuala Lumpur itu.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan