Utusan Online - Sukan |
Posted: Tiada hasrat panggil MisbunOleh Norzie Mohd. Khasbi KUALA LUMPUR - Bukan isu besar apabila jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mendapatkan nasihat atau tips daripada bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek kerana secara peribadi, beliau berhak untuk meminta pandangan daripada mana-mana jurulatih sekali pun, tegas Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Bagaimanapun itu tidak bermakna Misbun akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan kerana ketika ini BAM bukan saja tiada perancangan untuk membawa pulang jurulatih tersebut, malah tidak bercadang untuk menambah jurulatih baru. Pengurus Besar BAM, Kenny Goh juga menjelaskan, Chong Wei tidak pernah menyuarakan sebarang hasrat untuk kembali ke pangkuan bekas sifunya itu dan beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut menerusi media. "Setakat ini kami tiada sebarang rancangan untuk memanggil mana-mana bekas jurulatih kembali atau membawa jurulatih baru, termasuk Misbun. Namun, kalau Chong Wei hendak jumpa Misbun dan mendapatkan tips atau nasihat beliau, itu hak peribadinya dan ia bukan satu kesalahan. "Chong Wei tidak pernah menyuarakan hasrat seperti ini (kembali ke pangkuan Misbun) kepada BAM, jadi saya rasa sebenarnya tiada isu di sini. Begitupun, selepas apa yang disiar media hari ini (semalam), kami akan akan jumpa beliau untuk mendengar pandangannya,'' kata Kenny. Menurut Kenny lagi, secara peribadi beliau berasakan ada unsur 'panik' di kalangan peminat badminton negara apabila melihat Chong Wei gagal melayakkan diri ke final dalam tiga kejohanan terakhir yang disertainya, Terbuka Hong Kong, China dan Siri Super Masters Akhir hingga menukar jurulatih dilihat sebagai satu pilihan. Tegas Kenny, tiada apa yang perlu dicemaskan kerana Chong Wei tidak mengalami kemerosotan prestasi, apatah lagi sasaran utama pemain itu adalah Sukan Olimpik 2012 dan dia masih berada pada landasan yang betul. Malah, pemain berusia 29 tahun itu hanya tewas kepada dua pemain terbaik dunia dari China, Lin Dan dan Chen Long sepanjang tahun ini. Selain merangkul tujuh kejuaraan pada 2011, muncul naib juara empat kali dan hanya tewas pada separuh akhir dalam tiga kejohanan berikutnya. "Sasaran utama Chong Wei adalah Olimpik 2012, jadi setakat ini dia masih berada pada landasan yang betul dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. "Situasi sekarang begini, Chong Wei disasarkan untuk memuncak pada Kejohanan Dunia (di London, Ogos lalu). Selepas kejohanan, dia melalui proses pemulihan fizikal kerana perlu bersiap untuk sasaran seterusnya iaitu memuncak di Olimpik. "Namun dalam proses pemulihan itu pun, Chong Wei masih boleh menjuarai Terbuka Perancis, sebab itu saya kata, kita tidak sepatutnya panik," katanya Kenny. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Ranking Koo-Tan jatuhOleh Norzie Mohd. Khasbi Kalah dalam semua tiga perlawanan pada kejohanan Siri Super Masters Akhir di China minggu lalu mendorong kejatuhan ranking dunia beregu utama negara, Koo Kien Keat (depan) dan Tan Boon Heong. KUALA LUMPUR - Sudahlah sukar hendak kembali menempatkan diri dalam kedudukan empat pasangan terbaik dunia, cabaran Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tujuh bulan menjelang Sukan Olimpik London 2012 semakin getir selepas terus mengalami kejatuhan ranking dunia. Dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, bekas juara All England itu jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam dunia selepas dipintas pasangan kedua China, Chai Biao-Guo Zhendong. Kedudukan satu hingga empat dunia tidak berubah dengan juara dunia, Cai Yun-Fu Haifeng dari China kekal meninggalkan beregu lain, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae (Korea Selatan), Mathias Boe-Carsten Mogensen (Denmark) dan Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dari Korea. Prestasi buruk pada Siri Super Masters Akhir di China minggu lalu, di mana Kien Keat-Boon Heong kalah dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan menyumbang kejatuhan ranking pasangan negara ini, selain kegagalan memenangi sebarang gelaran Siri Super atau kejuaraan utama sejak Terbuka Malaysia pada Januari, 2010. Kien Keat-Boon Heong sudah empat bulan 'terperangkap' di tangga kelima dunia sejak 18 Ogos lalu. Mereka telah melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki kedudukan. Ini termasuk menukar jurulatih dari Rexy Mainaky kepada Pang Cheh Chang, selain mendapat sentuhan jurulatih Korea, Yoo Yong-sung, namun setakat ini tiada satupun yang berhasil. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk menghantar pasangan ini dalam lebih banyak kejohanan tahun depan untuk membantu mereka memperbaiki ranking. Namun ia hanya akan berjaya jika mereka mula mencatat keputusan baik, sekurang-kurangnya mengelak tersingkir sebelum memasuki separuh akhir. Kien Keat-Boon Heong yang kali terakhir bergelar pasangan No. 1 dunia pada 4 November, 2010 perlu berada dalam kelompok empat terbaik dunia pada ranking 3 Mei, 2012 untuk mendapat undian yang baik pada Temasya London 2012. Dengan Sukan Olimpik kali ini bakal menggunakan format berkumpulan buat kali pertama, berbanding kalah mati seperti sebelumnya, beregu negara itu perlu muncul antara empat pasangan terbaik untuk mendapat status pilihan dan mengelak daripada diletak dalam satu kumpulan dengan tiga beregu terbaik dunia yang lain. Hanya 16 pasangan layak bertanding di London 2012, dan mereka akan dipecah kepada empat kumpulan (empat pemain setiap kumpulan) dan dua beregu teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan