Utusan Online - Sukan |
Posted: Chong Wei akhiri badiOleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR - Tiada yang lebih menggembirakan Datuk Lee Chong Wei apabila membuka tirai musim 2012 dengan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Korea semalam dan bertambah manis ia dicapai dengan menumpaskan seteru utamanya, Lin Dan. Ia merupakan kemenangan pertama Chong Wei ke atas jaguh China itu, selepas kali terakhir pada All England, Mac lalu. Chong Wei terpaksa bergelar pemain 'kedua terbaik' sepanjang tiga pertemuan dengan Lin Dan selepas itu iaitu Kejohanan Dunia, Terbuka Hong Kong dan Terbuka China, sebelum menamatkan badi dengan kemenangan 12-21, 21-18, 21-14 di Seoul semalam. Melihatkan gaya kekalahannya pada set pertama, tiada siapa yang akan berani bertaruh bahawa Chong Wei akan memenangi perlawanan. Malah sehingga penghujung set kedua, tiada tanda pemain No.1 dunia itu akan mengheret perlawanan ke set penentuan. Biarpun beberapa kali berjaya menyamakan kedudukan mata, Lin Dan tetap berjaya melebarkan semula jurang kepada dua atau tiga mata di depan. Pada kedudukan 15-15, Lin Dan mengungguli permainan rali penting yang memberi kesan kepada mental Chong Wei dan ia ternyata benar apabila Lin Dan kembali di depan dengan 17-15. Namun kedudukan getir itu menjadi titik tolak menyaksikan Chong Wei meningkatkan rentak permainannya, mengejar sehingga 17-18, sebelum meraih empat mata berturut-turut untuk memaksa Lin Dan beraksi pada set ketiga. Memasuki set penentuan, Chong Wei tidak kelihatan akan kalah dan terus selesa mendahului 9-4. Meskipun dirapatkan semula Lin Dan 12-10, sebarang tanda kebangkitan Lin Dan lenyap apabila juara dunia empat kali itu melakukan satu demi satu kesilapan untuk membolehkan Chong Wei berada pada mata 20-11. Chong Wei kemudiannya tenang melengkapkan perlawanan yang berlanjutan sehingga 75 minit dengan kemenangan 21-14. Jurulatihnya, Teh Seu Bock berkata, kekalahan pada set pertama disebabkan Chong Wei terlalu mengikut rentak lawan. "Rentak Chong Wei pada set pembukaan amat perlahan, kurang bertenaga dan terikut-ikut permainan Lin Dan. "Namun pada set berikutnya, Chong Wei mengejutkan Lin Dan dengan permainan lebih pantas. "Memasuki set ketiga, keyakinan Chong Wei sudah meningkat sedangkan Lin Dan mula hilang fokus dan keletihan," kata Seu Bok. Walaupun menang, tiada reaksi luar biasa oleh Chong Wei seperti yang sering dilakukannya iaitu melutut kegembiraan di gelanggang. Dia mungkin lebih memikirkan mengenai Terbuka Malaysia. Selaku juara perseorangan lelaki Terbuka Korea yang bertaraf Siri Super Premier itu, Chong Wei menerima hadiah habuan tunai AS$75,000 (RM236,000). Chong Wei yang telah bertemu Lin Dan sebanyak 27 kali termasuk semalam, perlu terus memperbaiki rekod 9-18 sebelum benar-benar membuktikan dia 'sah' mengatasi musuh ketatnya itu. Rekod sejak 2004 menunjukkan Chong Wei tidak pernah mencatat kemenangan berturut-turut ke atas Lin Dan, sebaliknya satu kemenangan disusuli dengan tiga atau empat kekalahan selepas itu. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Chong Wei kembali berbisaOleh AIZAWATI AHMAD KUALA LUMPUR - Kejayaan Datuk Lee Chong Wei menewaskan jaguh China, Lin Dan pada perlawanan akhir Terbuka Korea di Seoul, semalam memberi isyarat bahawa pemain itu sudah kembali berada pada landasan yang betul menjelang Sukan Olimpik di London, pertengahan tahun ini. Pengurus pasukan Malaysia pada Terbuka Korea, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, kemenangan yang dilakar Chong Wei pada kejohanan pembuka tirai 2012 itu merupakan satu kejayaan yang cukup manis. Katanya, ini kerana Terbuka Korea merupakan sebuah kejohanan berprestij bertaraf Siri Super Premier. "Saya mengucapkan tahniah kepada Chong Wei dan pasukan jurulatih yang membantunya kembali mempamerkan sentuhan sebenarnya, terutama ke atas lawan hebat seperti Lin Dan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. Semalam, Chong Wei menumbangkan jaguh dunia, Lin Dan dalam perlawanan akhir yang diheret sehingga ke set penentuan 12-21, 21-18, 21-14 untuk merangkul hadiah wang tunai bernilai AS$75,000 (RM235,875). Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur memberitahu, permainan Chong Wei tampak lebih kemas sepanjang perlawanan semalam. Menurutnya, pemain negara itu tidak lagi mudah terikut-ikut dengan rentak Lin Dan, membolehkannya menguasai perlawanan khususnya pada set kedua dan ketiga. Jelasnya, walaupun Chong Wei tewas pada set pertama dengan jurang mata yang agak jauh, dia tidak menunjukkan dirinya terjejas dan segera bangkit untuk melakar kemenangan pada set kedua. "Saya lihat Chong Wei memberi komitmen sepenuhnya kepada perlawanan akhir ini dan Lin Dan juga mempamerkan permainan yang maksimum terutamanya pada set pertama," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan