LONDON: Steven Gerrard begitu terdesak ingin menjulang trofi di Wembley malam ini selepas aksi terakhirnya di final Piala Liga membuatnya berasa seperti 'mahu membunuh diri'.
Gerrard sebahagian daripada skuad Liverpool 2005 yang tewas 2-3 kepada Chelsea selepas masa tambahan di Stadium Millennium.
Lebih buruk, kapten Kop itu yang dikatakan bakal berpindah ke Stamford Bridge pada akhir kempen musim itu, menjaringkan gol sendiri, menyumbang kepada kekalahan kepada skuad kendalian Jose Mourinho.
Kini, Gerrard sedia membimbing Liverpool di Wembley untuk edisi final Piala Liga musim ini.
Skuad gergasi Merseyside itu tampil pilihan utama untuk menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Cardiff dan kali ini, 'Gerro' bertekad tidak mengulangi kesilapan lalu.
"Saya dikaitkan dengan Chelsea dan final itu menjadi igauan buruk apabila saya jaring gol sendiri dan tewas pula. Ada di kalangan penyokong Liverpool menyangka saya sengaja menjaringkan gol sendiri itu.
"Saya rasa bagai mahu membunuh diri. Ia hari paling buruk pernah saya alami," katanya.
Selepas dua tahun mengharungi hidup yang menakutkan di dalam dan luar padang, Gerrard ingin memanfaatkan Piala Liga sebagai batu loncatan bagi Liverpool kembali ke era kegemilangan.
Dia turut percaya skuad Kenny Dalglish kini berada di landasan sama seperti pasukan musim 2001 yang menjulang Piala FA, Liga dan UEFA.
"Perasaannya seakan sama. Jika kami julang Piala Liga, ia meningkatkan keyakinan dan menjadi mangkin buat pasukan.
"Sebelum menang ketiga-tiga piala itu kami naik secara perlahan-lahan dan saya fikir itulah yang berlaku pada masa ini. Pemain baru sudah menyesuaikan diri dan menjadi semakin baik. Anda boleh nilai perkembangan pasukan." - Agensi
0 ulasan:
Catat Ulasan