Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Perak rampas takhta liga

Posted:

Perak rampas takhta liga

Perak rampas takhta liga


Pemain Perak meraikan jaringan Michal Kubala (tengah) pada perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Stadium Perak, malam tadi. – UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz


KUALA LUMPUR – Perak muncul pendahulu baru persaingan bola sepak Liga Super hasil kemenangan 2-1 ke atas Sarawak untuk merampas teraju liga dari Kelantan yang sekadar diikat tanpa jaringan oleh Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Skuad Seladang memintas juara bertahan dengan kelebihan satu mata, iaitu 15 mata berbanding 14 mata yang diraih Kelantan hasil jaringan Michal Kubala dan Fahrul Razi Kamarudin di Stadium Perak, Ipoh pada minit ketujuh dan ke-27 biarpun Sarawak cuba merapatkan jaringan menerusi sepakan penalti Vedran Muratovit (33).

Ketika Wira Merah turun satu anak tangga, Terengganu pula gagal memanfaatkan kelebihannya di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk turut memintas jiran Pantai Timur apabila cuma seri 1-1 dengan kelab Selangor, PKNS.

Seorang lagi pemain import dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona dan pemain skuad Olimpik, Ahmad Shakir Ali mencipta kemenangan ketiga buat Negeri Sembilan namun juara Piala Sultan Ahmad Shah 2012 itu kekal di tangga keempat dengan mengumpul 11 mata.

Skuad Rusa membenam T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dengan gol minit ke-45 dan ke-65 biarpun sempat dikejutkan pasukan pelawat menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Zairo Anuar Zalani pada minit ke-36.

Pertembungan tumpuan ramai di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi antara Selangor dengan Lions XII yang digembar-gemburkan sebagai mengimbas semula nostalgia permusuhan Piala Malaysia 80-an, bagaimanapun berkesudahan dengan seri 1-1.

Shahril Ishak merembat masuk dengan kaki kiri selepas menggelecek dua pertahanan tuan rumah, seminit sebelum rehat tetapi K. Gurusamy kembali melegakan Gergasi Merah dengan jaringan penyamaan yang menerjah ke penjuru atas gawang lawan, minit ke-45.

Pertembungan Johor FC dan Felda United di Stadium Pasir Gudang pula dicemari dengan pembuangan padang terhadap pemain pelawat, Irfan Ghani setelah menerima dua kad kuning selain berkesudahan seri 1-1.

Kedah yang bergelut dengan krisis keyakinan peminat terhadap pengurusan pasukan, mengukir kemenangan sulung pada perlawanan keenam semalam dengan menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

KBS pandang serius Piala Thomas

Posted:

KBS pandang serius Piala Thomas

KBS pandang serius Piala Thomas

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
sukan@utusan.com.my

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan menegur sikap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengambil mudah cabaran negara dalam kempen Kelayakan Piala Thomas 2012 di Macau yang bermula minggu depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menegaskan, sebagai sebuah kejohanan yang penting dalam kalendar sukan badminton, Piala Thomas menjadi tumpuan utama bagi semua negara yang bertanding.

Katanya, sikap BAM yang lebih mengutamakan usaha meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik berbanding Piala Thomas menyebabkan banyak pihak bingung.

"Saya pasti semua pasukan akan serius dalam kejohanan tersebut sebab itu kita tak boleh pandang rendah, jadi pada saya ini bukan soal menang atau kalah tetapi soal mengambil serius apa jua kejohanan.

"Kalau dari awal kita tidak bersifat begitu maka tak perlu kita hantar kontinjen kerana tiada matlamat yang perlu kita capai di Kelayakan Piala Thomas di Macau," katanya.

Beliau melancarkan Kejohanan Semangat Bola Sepak Malaysia di sini, semalam yang turut dihadiri Pengerusi Fiesta Bola Sepak Tujuh Sebelah 1Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan.

Kejohanan bola sepak yang menggunakan konsep pertandingan tujuh sebelah itu bermula pada 26 Februari ini dengan lapan negeri dipilih sebagai tuan rumah untuk edisi pertama kejohanan itu.

Razali mengulas kekecewaan pelbagai pihak termasuk bekas pemain negara yang pernah menjulang trofi berprestij itu berikutan tindakan BAM yang dilihat menafikan kepentingan Piala Thomas.

Mengulas lanjut, Razali turut menggesa BAM supaya melihat setiap kejohanan badminton sebagai platform menguji dan mengukur tahap persediaan fizikal serta mental setiap pemain kebangsaan.

Katanya, BAM seharusnya mendedahkan lebih ramai pemain pelapis ke kejohanan besar untuk mengetahui tahap sebenar permainan mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan