Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Mahu Fifa minta maaf

Posted: 08 Mar 2012 09:05 AM PST

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganggap tindakan bekas Ketua Pegawai Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Chris Eaton mendakwa pegawai badan induk bola sepak negara terbabit mengatur perlawanan tidak beretika.

Justeru, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Fifa meminta maaf terhadap dakwaan tidak berasas dan tidak profesional yang dikeluarkan Eaton.


"Saya tidak pasti mungkin ada agenda tersembunyi tetapi kenyataan Eaton begitu mengejutkan kerana beliau melemparkan tuduhan tidak berasas dan melampau.

"Dalam isu ini, Fifa perlu melakukan sesuatu bagi memastikan nama baik FAM tidak terjejas dengan kelantangan Eaton," katanya.


Baru-baru ini, Eaton mendakwa pegawai pentadbiran FAM turut terbabit dalam gejala mengatur keputusan perlawanan termasuk pertemuan LionsXII dengan Negeri Sembilan di Singapura yang menyaksikan tuan rumah menang 3-1.


Tersentak dengan dakwaan itu, FAM menerusi Jawatankuasa Integriti yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat mengadakan perjumpaan tertutup dengan Eaton di Wisma FAM di Petaling Jaya, Isnin lalu.

Perjumpaan itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shamshun Baharin Mohd Jamil dan wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut mahu mendapatkan penjelasan dakwaan Eaton.


Eaton yang diiringi pegawai penyiasatan Fifa, Terry Steans dan Ketua Pegawai Keselamatan Fifa bagi rantau Asia, Michael Pride turut memaklumkan kepada FAM beliau meninggalkan badan induk bola sepak dunia itu untuk menyertai sebuah agensi di Qatar.

Namun, Tengku Abdullah tetap mahu badan induk kebangsaan itu menjalankan siasatan terhadap dakwaan Eaton kerana tidak mahu FAM dipandang serong semua pihak.


"Saya akui kenyataan Eaton itu boleh menjejaskan imej FAM sebagai badan induk bola sepak negara. Bagaimanapun, siasatan tetap dilakukan bagi memastikan kes ini tidak membabitkan pegawai FAM," katanya.



Shahidan enggan berundur

Posted: 08 Mar 2012 09:03 AM PST

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim tegas tidak akan berundur daripada persatuan itu biarpun KOM dilabel sebagai persatuan paling bermasalah.

Biarpun kontroversi terus tercetus dan masih hingga kini tiada jalan penyelesaian, Shahidan memaklumkan apa yang berlaku tidak akan menjejaskan kepimpinannya dalam KOM dan akan terus memikul tanggungjawab sebagai pimpinan KOM untuk tempoh dua atau tiga penggal lagi.


Katanya, semua perkara yang menimpa KOM akan dijadikan iktibar dan program tetap diteruskan dan kini beliau terarah menjalin hubungan baik dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

"KOM-MSN berpisah tiada. Sekarang ini tujuan KOM adalah menjalinkan semula kerjasama yang erat dengan semua pihak bagi mengembalikan semula martabat olahraga negara.


"Kita perlu pandang ke depan dan lupakan semua yang berlaku. Mulakan program baru secara agresif dan menekankan transformasi baru dalam sukan olahraga bagi mengembalikan kegemilangannya.


"Jawatankuasa sudah ditubuh untuk menyelesaikan semua masalah yang timbul dan saya juga tidak bercadang meletak jawatan dan akan terus memegang jawatan ini," katanya.

Namun sama ada Shahidan mampu mempertahankan jawatannya itu hanya akan ditentukan ahli gabungan KOM yang berhak mengundi dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) dijadual April ini. Sementara itu, Shahidan memaklumkan laporan sudah dihantar kepada jawatankuasa audit bagi membolehkan KOM membubarkan ahli jawatankuasa sedia ada seterusnya membentuk jawatankuasa baru untuk satu lagi penggal pada AGM.


"Laporan sudah dihantar kepada audit dan mungkin kita mendapat maklum balas dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dan mengikut perlembagaan baru, semua ahli majlis akan dilantik semula," katanya yang ditemui dalam sidang media pelancaran Program Sukan Olahraga MSN-KOM, di Dewan Komanwel, MSN, semalam.

Sementara itu, satu transformasi diperkenal KOM yang akan melantik pengarah teknikal untuk memantau semua program yang dirancang selain membahagikan jurulatih kepada enam kumpulan utama yang bertanggungjawab terhadap atlet di bawah bimbingannya.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan