Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tuah hujan

Posted: 25 Mar 2012 09:17 AM PDT

SELEPAS lama namanya tenggelam, Fernando Alonso kembali menemui sentuhan pemanduan magis apabila muncul juara perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas semalam sekali gus melakar kemenangan ketiganya di Litar Antarabangsa Sepang selepas kali terakhir pada 2007.

Memandu jentera Ferrari, kemenangan yang dilakar juara dunia dua kali itu bagaimanapun bukan mudah selepas menerima tentangan sengit daripada pendatang baru, Sergio Perez dari pasukan Sauber yang pada satu ketika hampir memotong Alonso, namun nasib tidak memihak kepada pemandu Mexico itu apabila terbabas di pusingan ke-50.


Alonso pula menggunakan segala pengalamannya sejak kali pertama berlumba pada 2001 untuk memimpin saingan ketika perlumbaan bersambung semula selepas dihentikan seketika pada pusingan kesembilan akibat hujan lebat.

Sejak daripada itu, Alonso terus memecut laju tetapi Perez nyata tidak memberi ruang mudah kepadanya dengan kerap kali merapatkan jurang sebelum terbabas dan sekadar berpuas hati di tempat kedua.


Bagaimanapun, aksi pemandu berusia 22 tahun itu yang beraksi pada musim penuh keduanya di F1 sudah cukup untuk menenggelamkan kejayaan Alonso apabila berjaya mencuri tumpuan ramai pihak selepas hanya bermula di petak kesembilan tetapi menamatkan perlumbaan dengan hanya ketinggalan 2.2 saat di belakang Alonso.


"Kejayaan ini agak mengejutkan kerana secara jujur kami tidak begitu kompetitif sepanjang minggu ini, begitu juga ketika di Australia minggu lalu. Tetapi hari ini kami berjaya melakukan yang terbaik.

"Saya berjaya meraih kedudukan terbaik pada pusingan kelayakan dan hari ini memandu dengan penuh kesabaran. Apapun, pasukan melakukan tugas dengan cemerlang.


"Kemenangan ini juga menunjukkan kami semakin menunjukkan peningkatan selepas agak bergelut pada awal saingan musim ini. Ia memberi motivasi terbaik kepada kami semua," kata Alonso.

Lewis Hamilton melakar skrip sama seperti di Australia minggu lalu apabila sekadar berpuas hati di tempat ketiga meskipun bermula dari petak pertama.


Sementara juara dunia dua kali, Sebastian Vettel yang melakar kemenangan dua kali berturut-turut di Sepang, terus dirundung malang apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.


Dengan kemenangan itu, Alonso kini muncul pendahulu kedudukan pemandu dengan mengumpul 35 mata selepas meraih 10 mata pada perlumbaan pertama di Australia, minggu lalu sementara Hamilton kedua (30 mata) dan juara di Australia, Jenson Button ketiga (30 mata).



‘Perlu idea konkrit’

Posted: 25 Mar 2012 09:11 AM PDT

JANGAN sekat ahli gabungan bersuara! Begitulah pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang berharap badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersikap lebih terbuka.

Bagi Zainol Fadzi, ahli gabungan perlu diberi peluang memberikan pandangan agar berlaku percambahan idea konkrit dan bersepadu demi kemajuan sukan bola sepak tanahair.


Tanpa berniat menyalahkan sesiapa, Presiden Pafa itu berkata langkah menghalang ahli gabungan dan pegawai persatuan daripada mengutarakan cadangan dan memberi pendapat tidak boleh membawa sebarang kebaikan.

"Sebagai ahli gabungan, persatuan negeri juga mempunyai peranan dalam memajukan sukan bola sepak. Justeru pegawai persatuan sepatutnya dibenarkan bersuara dan menyatakan pandangan.


"Bagi saya pandangan berbeza dan tidak selari bukan bererti penentangan sebaliknya adalah teguran untuk membina.


"Jika berlaku persengketaan maka ia boleh diselesaikan melalui perbincangan. Jangan cepat melatah ,"katanya. Beliau memberi reaksi sedemikian sebagai mengulas tindakan FAM mengheret Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa ke Jawatankuasa Disiplin kerana memberikan pendapat ke atas prestasi hambar skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K Rajagobal.

Kecelaruan berlaku apabila Annuar yang juga Timbalan Pengurusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan Senior dianggap sudah melanggar peraturan FAM. Tiga pertuduhan dikenakan beliau.


Sebaliknya Setiausha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang memberi reaksi kecewa atas kegagalan skuad Olimpik negara tidak dikenakan sebarang tindakan sehingga sekarang.

Kesalahan Azzuddin itu jelas bertentangan dengan peraturan badan induk itu kerana beliau hanya seorang pegawai pengurusan organisasi.


Lebih celaru apabila Pengerusi Jawatankusa Disiplin, Datuk Taufik Abdul Razak sendiri mengambil masa lama untuk menyiasat kenyataan media Azzuddin itu.


Inilah yang menimbulkan banyak persoalan dan keraguan.


Zainol Fadzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri berpendapat sebarang pandangan, teguran dan kritikan boleh dijadikan sebagai pandangan 'kedua' tanpa perlu dijadikan isu besar.


Dalam perkembangan lain, Perak yang sedang mencari pengganti Lazar Popovic menunjukkan minat terhadap pemenang kasut emas 2006, Keita Manjou yang menawarkan khidmatnya kepada Seladang.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan