Sukan
PENYERANG sensasi, Safee Sali akan menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya, esok dan kehadirannya amat ditagih ketika peminat mahu dia menggegar gawang Sri Lanka dalam siri persahabatan antarabangsa, Sabtu ini.
Apa pun, ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal jelas lega melihat perkembangan 25 pelatih apabila mula memuji kelibat beberapa muka baru seperti Ashri Chuchu, Rozaimi Abdul Rahman, Faiz Subri, Azmizi Azmi, Sani Anuar Kamsani dan Nizam Abu Bakar.
"Mereka nampak okey, bagus untuk saya memiliki lebih pilihan dengan kini ada 60 hingga 70 pemain. Dari sini, saya boleh tahu siapa yang seterusnya mampu berada dalam kelompok 30 hingga 40 pemain terakhir untuk Piala Suzuki AFF 2012. Suasana pasukan seperti satu keluarga, tiada rasa cemburu dan semua bersaing dengan baik," jelas Rajagobal. Ditanya sejauh mana dia mengetahui kekuatan Sri Lanka yang menghuni ranking ke-181 dunia, Rajagobal berkata: "Saya sudah melihat DVD aksi mereka. Saya tertarik dengan kualiti dan sikap tidak putus asa pemain mereka. Jadi jangan hanya lihat ranking, kita tetap perlu hormati mereka."
Rajagobal turut menuntut peningkatan prestasi daripada anak didiknya di Stadium Shah Alam nanti berbanding ketika mereka seri 1-1 dengan Filipina di Manila, 29 Februari lalu.
"Saya tak boleh kata kita boleh menang besar atau tidak. Yang penting ialah kemenangan ke atas Sri Lanka. Saya juga mahu melihat peningkatan prestasi pasukan, lebih baik daripada ketika bertemu Filipina terutama dari segi kombinasi dan persefahaman.
"Untuk perlawanan ini, saya berpeluang mempertaruhkan semula Fadhli Shas, Aidil Zafuan Radzak, Mahali Jasuli, Safiq Rahim, K Gurusamy dan Amar Rohidan, sesuatu yang baik sebelum saya dapat memanggil pemain dari Terengganu dan Kelantan bagi bertemu Filipina (1 Jun) dan Singapura (8 dan 12 Jun) nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, petang semalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan