Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Arena terbaik

Posted: 24 Apr 2012 10:16 AM PDT

AKHBAR nombor satu negara, Harian Metro menerusi bahagian sukan 'Arena' yang menyalurkan berita sukan tempatan dan luar negara menjadi pilihan orang ramai apabila mendapat pengiktirafan pada Anugerah Astro Arena 2011 (AAA).

Anugerah yang dianjur rangkaian televisyen Astro Arena buat tahun kedua itu menobatkan ruangan sukan Harian Metro menerima anugerah Meja Sukan Pilihan menewaskan empat pesaing utama terdiri daripada The Star, Berita Harian, Kosmo dan New Straits Times.


Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab berkata, anugerah ini membuktikan berita yang dilaporkan di akhbar ini menjadi pilihan pembaca tempatan.

"Kami akan berusaha dengan lebih gigih mempertingkatkan lagi mutu laporan yang diketengahkan untuk kepuasan pembaca," katanya.


Tahun lalu, anugerah itu dimenangi meja sukan akhbar Kosmo.


Anugerah ini memberi kuasa sepenuhnya kepada peminat memilih calon paling layak menerima anugerah yang dipertandingkan sebagai pengiktirafan kepada atlet tempatan dan personaliti sukan pilihan.

Lapan kategori dipertandingkan pada tahun ini, Anugerah Atlet Pilihan Lelaki dan Wanita dalam Pasukan, Atlet Muda Pilihan, Kebangkitan Pilihan, Jurulatih Pilihan, Blog Sukan Pilihan, Perlawanan Pilihan dan Meja Sukan Pilihan.


Kesemua pencalonan untuk tahun ini dipilih sepenuhnya oleh Astro Arena dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM).




Tekad dua beradik

Posted: 24 Apr 2012 10:10 AM PDT

GANDINGAN adik beradik, Elly Idzlianizar Ilias dan Elly Idzliaikmal Ilias optimis mampu menjulang kejayaan buat Suzuki dalam kategori CP130 dan CP115 pada perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 yang berlangsung di Stadium Utama Kangar, Perlis, minggu ini.

Beraksi bersama pasukan tunggal yang mendapat sokongan Suzuki, Suzuki FortyOne Racing, kedua-duanya juga ingin menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri minggu ini untuk tidak mengecewakan keluarga, rakan-rakan dan juga peminat yang hadir memberi sokongan.


Elly Idzlianizar yang beraksi dalam kategori CP130 mengalami kesukaran pada dua pusingan yang sudah berlangsung apabila gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 1) selepas jenteranya mengalami masalah mekanikal sewaktu perlumbaan akhir.

Di Kuala Terengganu (Pusingan 2) pula, walaupun berada di kelompok lima pelumba yang mencatat masa terpantas sewaktu sesi latihan bebas, kerja kerasnya turut berakhir dengan kekecewaan apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 berikutan kemalangan bersama pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar.


Berbekal keyakinan tinggi, Elly Idzlianizar enggan berputus asa dan sedia memberi cabaran terbaik dalam perlumbaan seterusnya.


"Dua pusingan sebelum ini begitu mencabar. Selepas Pusingan 1, kami menunjukkan peningkatan di Kuala Terengganu namun ia tidak berpanjangan apabila sekali lagi ditimpa kekecewaan ketika sesi ujian masa dan juga perlumbaan akhir. "Permulaan musim seperti ini sangat menyedihkan namun senario biasa dalam perlumbaan. Yang penting kami sentiasa memandang ke hadapan," katanya.

Elly Idzlianizar turut puas hati prestasi jentera Suzuki tapi akur perlu memperbaiki gaya tunggangannya.


"Pada masa ini, jentera kami cukup kompetitif memandangkan saya mampu menempatkan diri di kalangan lima pelumba terpantas pada sesi latihan bebas sebelum ini.

"Selain memperbaiki gaya tunggangan, saya juga perlu berhati-hati terhadap kemampuan lawan. Tambahan pula, kami turut memikul tanggungjawab mengembalikan semula kegemilangan Suzuki seperti yang pernah dikecapi legenda Cub Prix, M Meganathan dan Wazi Abdul Hamid pada masa lalu." Sementara itu, adiknya, Elly Idzliaikmal yang beraksi dalam kategori CP115 pula bermula dengan agak baik apabila menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dengan menduduki tangga kelapan namun di Kuala Terengganu, cabarannya berakhir seawal pusingan pertama.


Bagaimanapun dia turut mempunyai pendapat sama dengan abangnya. "Prestasi saya kini masih jauh daripada kemampuan sebenar. Semua orang bekerja keras bagi memastikan Suzuki mencatat kejayaan tapi malangnya nasib kami belum begitu baik. Mudah-mudahan semuanya berubah di Kangar," katanya.


Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM)di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan