Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Misi Wan Zack

Posted: 17 Apr 2012 09:34 AM PDT

KEMENANGAN perlu direalisasi skuad negara apabila menentang Sri Lanka dalam aksi persahabatan berstatus A di Stadium Shah Alam, Sabtu depan bagi 'menggembirakan' penyokong tempatan.

Ini kerana kemenangan terakhir diraih skuad kendalian Datuk K Rajagobal di pentas antarabangsa kira-kira 10 bulan lalu apabila menewaskan Taiwan, 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun 2011.


Selepas itu penyokong dan peminat negara hanya disajikan keputusan seri dan kekalahan menentang Singapura (dua perlawanan), Australia, India (dua perlawanan) dan terakhir bangkit mengikat Filipina 1-1 pada Februari lalu.

Hakikat itu turut diakui pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Nor yang menyifatkan kemenangan diperlukan bagi memberi kepuasan kepada penyokong dan peminat skuad negara.


"Kami akan berusaha mencipta kemenangan terutamanya bagi memberi 'hadiah' kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan. Walaupun tanpa kehadiran sejumlah pemain utama, saya yakin kami tidak akan berdepan masalah untuk melakukannya," katanya yang dipanggil kali kedua menyertai skuad negara.


Namun pemain muda berusia 21 tahun itu tetap mengingatkan diri sendiri dan rakan sepasukan agar tidak mengambil mudah lawan yang berada di ranking lebih rendah berbanding skuad negara iaitu ke-181 dunia.

"Kami perlu sentiasa berwaspada sepanjang perlawanan berlangsung. Sebarang kemungkinan atau keputusan di luar jangkaan boleh berlaku jika lalai," kata pemain Harimau Muda A itu.


Bagi perlawanan itu, Rajagobal tidak memanggil sejumlah tonggak utama yang beraksi untuk Kelantan dan Terengganu dalam Piala AFC sekali gus memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan namun penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali dijangka menjadi harapan utama merobek gawang Sri Lanka.




Pentas ubat duka

Posted: 17 Apr 2012 09:22 AM PDT

PIALA Sultan Azlan Shah yang bakal membuka tirai pada 24 Mei hingga 3 Jun ini bakal menjadi pentas terbaik untuk skuad negara mencari penawar duka selepas terkandas sewaktu kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland bulan lalu.

Meskipun sudah sebulan berlalu, kekecewaan itu bukan mudah untuk dilupakan, baik buat pengurusan skuad hoki negara mahupun barisan 18 pemain yang memikul tugas itu di Dublin.


Umpama jatuh ditimpa tangga, mereka dicalit kontroversi selepas itu apabila laporan dibentangkan ketua jurulatih, Tai Beng Hai (gambar) pada mesyuarat majlis Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) baru-baru ini, didakwa melaporkan beberapa tabiat buruk membabitkan barisan pemain negara termasuk menghisap rokok yang menjadi punca kegagalan di Dublin.

Namun ia pantas dinafikan pengendali berusia 46 tahun itu yang terus dikekalkan hingga berakhirnya Piala Sultan Azlan Shah, keputusan yang sudah dijangkakan kerana mengambil kira saingan itu yang semakin dekat.


Setiausaha Agung MHC, Mohd Johari Abd Aziz yang menggantikan tempat Maninderjit Singh selepas bekas pemain negara itu meletak jawatan secara tiba-tiba, menganggap kejohanan di Ipoh itu sememangnya penting untuk memulihkan moral pemain.


"Seperti kita sedia maklum, skuad negara gagal pada kempen kelayakan lalu. Sudah tentu mereka masih bersedih dengan kegagalan itu.

"Saya fikir kejohanan ini penting buat pemain untuk membuktikan mereka dapat menebus maruah negara kerana tiada lagi kejohanan besar selepas ini," katanya.


Johari berkata, MHC belum meletakkan sasaran untuk kejohanan itu tapi yakin skuad negara akan memberikan aksi terbaik sebagaimana dilakukan pada kempen kelayakan lalu.

Selain skuad negara, kejohanan turut menyaksikan penampilan enam pasukan yang layak ke Sukan Olimpik, India, Australia, Britain, Korea Selatan, New Zealand dan Pakistan.


Sementara itu, seramai 24 pemain dipanggil menyertai sesi latihan untuk persiapan kejohanan itu, namun lima daripada mereka terbabit dengan skuad Projek 2013 manakala beberapa pemain lain difahamkan mempunyai komitmen pelajaran.


Tahun lalu, skuad negara menduduki tempat tercorot daripada tujuh pasukan yang bertanding dengan Australia dinobat juara selepas menewaskan Pakistan, 3-2 pada perlawanan akhir.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen