Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Strategi Denmark

Posted: 20 May 2012 08:50 AM PDT

DENMARK beri amaran kepada Malaysia agar tidak terlalu yakin mampu mengungguli Kumpulan C selepas menang 5-0 ke atas Afrika Selatan pada perlawanan pertama semalam.

Perseorangan kedua, Jan O Jorgensen berkata Denmark merancang mencuri dua mata perseorangan ketika menentang Malaysia sambil satu mata lagi dikutip menerusi beregu mereka pada perlawanan esok.


"Kami tahu Lee Chong Wei sudah kembali cergas. Walau bagus macam mana sekalipun, Peter Gade tidak akan menang, jadi sasaran kami memungut mata menerusi perseorangan kedua dan ketiga sambil mengharapkan beregu menghadiahkan satu lagi mata," kata Jorgensen.

Dia yang kini berusia 25 tahun, berkata Denmark optimis dengan persiapan kali ini, apatah lagi dengan prestasi merudum Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang belum bangkit di pentas antarabangsa.


"Saya rasa beregu utama kami boleh menang ke atas Kien Keat-Boon Heong tapi kami tetap berhati-hati kerana gandingan itu tahu bagaimana untuk bangkit dalam perlawanan besar sebegini.


"Apapun yang penting, kami perlu menang ke atas Malaysia bagi mengelak kemungkinan undian sukar berdepan China ataupun Korea Selatan di suku akhir. Tapi lawan sukar tetap menanti jika kami muncul juara kerana ada kemungkinan bertemu Indonesia yang mungkin muncul naib juara Kumpulan A di belakang China." Meskipun yakin dan mahukan kemenangan ke atas Malaysia, Jorgensen berkata, Denmark mempunyai sejarah hitam berdepan Malaysia kerana sukar menundukkan skuad negara meskipun peluang sudah terhidang seperti di kempen Piala Thomas 2010 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Jorgensen beraksi sebagai perseorangan kedua, menyamakan kedudukan 2-2 buat Denmark ketika mengejutkan Wong Choong Hann bagi mengheret aksi suku akhir ke perseorangan ketiga yang menyaksikan Muhd Hafiz Hashim menang ke atas Joachim Persson membawa Malaysia ke separuh akhir berdepan China.


"Di peringkat senior saya tidak pernah jumpa Liew Daren dan Hafiz, tapi saya tahu apa yang perlu dilakukan jika berdepan mereka. Di peringkat remaja dulu saya pernah tewaskan Daren pada kejohanan remaja Terbuka Jerman pada 2004, tapi itu sudah lama berlalu.

"Tengoklah pada hari pertemuan Malaysia dan Denmark nanti. Skuad kami kali ini amat berbeza kerana gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda. Ini membuatkan kami lebih dahagakan kemenangan berbanding sebelumnya."


Frenz United Merah kekal penguasaan

Posted: 20 May 2012 08:46 AM PDT

FRENZ United Merah kekal sebagai satu-satunya barisan yang mengumpul mata maksimum selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan SMK Meru 4-0 dalam kempen Kejuaraan Piala Frenz Bawah 14 tahun.

Dalam saingan Kumpulan D di padang Wisma FAM pada Jumaat lalu, Frenz United Merah berterima kasih kepada dua gol daripada kapten, Na'aim Abdul Razak (minit ke-12, 37) disusuli penyudah Haziq Hossain (m-39) dan Fadzrul Daniel Mohd Nizam (m-69).


Frenz United Merah yang dibimbing Mat Dinos Talib mara ke suku akhir selepas mendominasi dengan sembilan mata sambil mengumpul 21 gol tanpa bolos. SMK Meru dan SMK Anderson mengumpul tiga mata dan bakal berebut satu lagi slot ke suku akhir dari kumpulan ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D yang diadakan di padang MSN Bukit Jalil pada Sabtu lalu, SMK Anderson yang digelar Anderson Tigers mudah menewaskan Pendamai FC 7-0 hasil jaringan hatrik Azri Rieman Rosnidin (minit ke-24, 56 dan 65), Puvaneshwaran Ganeshan (m-35, 39), Nur Azlee Affandy Azami (m-27) dan Zakry Ashraf Roslan (m-68).


SMK Meru dan SMK Anderson memiliki kelebihan satu perlawanan selepas pertemuan mereka pada 11 Mei lalu ditunda akibat masalah lampu-limpah di Stadium MPSJ.


Sementara itu, Pengarah Pertandingan, Ahmad Fuad Daud, mengesahkan semua perlawanan yang dijadualkan diadakan di Stadium MPSJ dipindahkan ke Padang MSN.

"Ini kerana tempoh memperbaiki lampu limpah itu dijangka mengambil masa sebulan, jadi kami mengatur semula perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium MPSJ,ke padang MSN pada Sabtu," kata Ahmad Fuad.


Dalam Kumpulan A, SMK Seri Tanjong menewaskan SMK Tinggi Kajang 5-1.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan