Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Laman 4B(A) unggul

Posted: 27 May 2012 10:50 AM PDT

LAMAN 4B (A) membuktikan keunggulan apabila menjuarai kategori Terbuka Lelaki, Karnival Futsal Harian Metro 2012 Zon Utara, semalam.

Pasukan dari Pulau Pinang itu jelas terlalu unggul di pentas final apabila menewaskan Brigade Al-Qassam dengan keputusan 4-2.


"Sasaran awal adalah untuk melangkah ke Grand Final namun apabila sudah bergelar juara, ini adalah kemenangan yang tidak dijangka," kata pengurusnya, Mohd Noor Said.

Katanya, semangat berpasukan yang dipamerkan barisan pemainnya menjadi tunjang kejayaan.


Pada final itu, Laman 4B (A) meledak dua jaringan pada babak pertama untuk mengejutkan lawan yang dilihat buntu memecahkan benteng pertahanan mereka.


Selesa mendahului dua gol, mereka terus menambah dua jaringan lagi pada separuh masa kedua untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Walaupun lawan bangkit meledak dua gol pada lewat perlawanan, ia masih belum mencukupi untuk menyekat kemenangan Laman 4B (A).


"Mereka berjaya mendapat dua gol kerana kami mengeluarkan dua pemain utama. Namun ia sudah mencukupi untuk kami bergelar juara," katanya.

Selaku juara Laman 4B (A) membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 selain tiket ke Grand Final yang berlangsung pada Julai nanti.


Manakala Brigade Al-Qassam membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selaku naib juara.


Selain AmBank selaku penaja utama, karnival ini turut mendapat sokongan daripada H-Two-O (minuman rasmi), Lancast (pakaian rasmi) dan Sani Ekspres (pengangkutan rasmi).




Sengat ‘Super Dan’

Posted: 27 May 2012 10:48 AM PDT

WUHAN (China): Lin Dan mengetuai pasukan tuan rumah, China untuk meraih kemenangan mutlak ke atas Korea Selatan dalam aksi final Piala Thomas semalam, dengan mesej tersirat bahawa mereka akan berada di tahap terbaik ketika Sukan Olimpik London.

Lin Dan yang dianggap pemain terbaik sepanjang zaman dan wira sukan di China, membaling kemeja-T yang dipakainya kepada penyokong di Wuhan selepas pasukannya menewaskan Korea 3-0, mengulangi pencapaian atlet wanita mereka semalam.


"Banyak perkara bermain di minda saya malam tadi. Saya tidak tahu berapa banyak Piala Thomas akan saya sertai. Kali ini ia diadakan di negara sendiri dan saya mahu memberikan persembahan terbaik," kata Lin Dan, 28 yang turut dikenali sebagai 'Super Dan' di kalangan peminatnya.

"Setiap pemain akan gementar. Ketika muda ia mungkin kerana anda teruja, ia kali pertama anda mewakili negara. Apabila semakin tua, ia disebabkan banyaknya harapan. Saya tidak boleh tidur lena malam tadi." Begitupun juara Olimpik itu tidak menunjukkan tanda keletihan atau gementar dalam perlawanan menentang Lee Hyun Il, yang berkesudahan 21-14, 21-17.


"Di tahap kami, tidak kiralah sama ada anda menang 21-9 atau 21-19, yang penting adalah keputusannya," kata Lin Dan ketika China menjulang gelaran Piala Thomas kelima berturut-turut dan kesembilan sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1949.


Pemain nombor tujuh dunia dari Korea Selatan berjaya mengasak pemain nombor dua itu pada set kedua, malah seri 17-17 ketika smash Lin Dan terkena jaring tetapi Lee gagal mendapatkan mata seterusnya.

"Tidak banyak perubahan taktikal sewaktu perlawanan," kata Hyun Il. "Saya merebut mata bila berpeluang tetapi pada akhirnya saya membuat banyak kesilapan. Itu sebabnya saya kalah." Jurulatih Korea Selatan, Sung Han Kook berkata pertemuan perseorangan pertama menjadi penentu dan siapa yang menang akan meneruskan momentum.


"Dia adalah pemain yang hebat," kata Hyun Il. "Ketepatan dan kepantasannya luar biasa. Tahap konsisten yang dimilikinya dalam perlawanan membezakannya dengan yang lain." - AFP




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan