Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Magis kapten

Posted: 30 Jun 2012 02:31 PM PDT

Debaran kian memuncak dan tidak dinafikan dua kapten tersohor - Iker Casillas dan Gianluigi Buffon boleh menjadi elemen penting untuk memisah siapa bakal muncul juara Euro 2012 - Sepanyol atau Itali.

Ketangkasan, ketenangan dan inspirasi milik mereka harus menyuntik semangat kepada rakan sepasukan memberi komitmen terakhir dalam edisi kali ini ketika tuah juga boleh menjadi faktor penting buat mencipta suka dan duka di Kiev, awal pagi esok. Casillas ghairah angka ke-100, Buffon idam juara
Iker Casillas sudah memenangi semua gelaran bersama Sepanyol, tetapi penjaga gol legenda itu masih berpeluang menambah satu lagi pencapaian peribadinya pada final awal pagi esok.

Dengan kemenangan ke atas Itali, Casillas akan mencapai kemenangan ke-100 kariernya bersama pasukan kebangsaan - pencapaian yang belum pernah dikecap mana-mana pemain sebelum ini sekali gus menguatkan lagi reputasinya sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Dia bagaimanapun sedar, statistik dan rekod peribadinya tidak bermakna sekiranya penjaga gol lawan, Gianluigi Buffon yang turut memakai lilitan kapten untuk Itali, gagal ditewaskan rakan sepasukannya.

"Saya kagum dan amat menghormati Buffon," kata penjaga gol 31 tahun itu. "Dia penjaga gol luar biasa dan pada usia 34, dia masih antara yang terbaik. Bagi penjaga gol lebih muda, dia adalah idola kami, dia mencetus semangat buat kami yang meletakkan sasaran untuk menjadi sepertinya."
Sementara itu, reaksi marah kapten dan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon selepas kemenangan 2-1 pasukannya ke atas pasukan pilihan, Jerman pada aksi separuh akhir adalah petanda jelas keinginan mendalam juara dunia 2006 itu untuk kembali mengecap kejayaan di pentas utama.

Ketika rakan sepasukannya berpesta meraikan kemenangan, Buffon masih tidak dapat melupakan bagaimana Jerman merapatkan jurang menerusi sepakan penalti minit-minit akhir dan beroleh beberapa peluang untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

"Saya marah kerana kami sepatutnya mengelak situasi mencemaskan sepanjang lima minit terakhir. Kita perlu lebih matang. Bola sepak adalah permainan, tetapi apabila sampai ke peringkat separuh akhir, ia bukan lagi permainan."

Kepercayaan itulah yang menjadikan penjaga gol 34 tahun itu sebagai benteng terakhir yang cukup sukar ditembusi. Dia menyelamatkan sekurang-kurangnya dua percubaan tepat Jerman dari Sami Khedira dan Marco Reus yang mampu mengubah keputusan perlawanan. - AFP

Pirlo - 'Kelahiran semula'

Posted: 30 Jun 2012 01:15 PM PDT

Pemain yang dikatakan bakal menjadi pemenang anugerah Ballon d'Or tahun ini – Andrea Pirlo mungkin sudah di penghujung karier, tetapi khidmatnya cukup penting buat Itali apabila bertemu Sepanyol pada final awal pagi ini.

Keajaiban Pirlo di kejohanan ini bermula apabila dia mengumpan bola kepada Antonio Di Natale untuk gol pembukaan Itali pada perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Sepanyol yang berakhir dengan keputusan 1-1. Awal pagi ini, kedua pasukan bertembung sekali lagi untuk merebut kejuaraan dengan nama Pirlo melonjak setanding pakar hantaran Sepanyol seperti Xavi, Andres Iniesta dan Xabi Alonso.
Pemain 33 tahun itu tampil pada final sebagai pemain terbaik kejohanan selepas memimpin Itali hingga ke peringkat ini dengan sentuhan ajaib serta ketajamannya mengendali jentera tengah pasukan.

Bagi mereka yang menyaksikan permainan Pirlo ketika menerajui Juventus menjuarai Serie A musim lalu, aksinya kali ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Bekas pemain AC Milan itu dianggap dilahirkan semula selepas 10 tahun bermain di San Siro.

"Saya percaya saya pernah menjadi nombor satu dan saya percaya saya kembali melakukannya musim ini," kata Pirlo selepas Juve menjuarai gelaran liga Itali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan