Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Empat tahun yang terindah'

Posted:

'Empat tahun yang terindah'

DARI kiri, Gerard Pique, Pepe Reina, Fernando Llorente dan Casillas meraikan kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 awal pagi semalam.


KIEV, Ukraine - Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas menegaskan bahawa tempoh empat tahun terakhir ini merupakan detik yang paling indah dalam kehidupannya.

Casillas menyuarakan pendapat itu selepas mencipta sejarah menjadi kapten pertama yang memenangi tiga final berturut-turut iaitu Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi semalam, pemain berusia 31 tahun itu berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya Itali.

Kehebatan Casillas membantu skuad La Roja menjadi negara pertama yang menjulang trofi Eropah buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Itali 4-0.

Empat tahun lalu, Sepanyol menewaskan Jerman 1-0 untuk menamatkan kemarau trofi utama selama 44 tahun.

"Ia merupakan saat yang paling indah. Gol kedua daripada Jordi (Alba) menambah keyakinan kami.

"Empat tahun yang hebat (muncul juara Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012). Anda mungkin berfikir ia mudah kerana kami menewaskan Itali 4-0 tetapi untuk melakukannya kami perlu membuat persediaan yang lama," katanya.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Sepanyol dan jurulatihnya, Vicente del Bosque dikritik hebat kerana beraksi pada kejohanan ini tanpa penyerang utama.

Bagaimanapun, Fernandos Torres yang masuk menggantikan Cesc Fabregas berjaya menyumbang gol ketiga pasukan dan melakukan hantaran menarik untuk disempurnakan Juan Mata.

"Pasti ada kritikan sama ada kami berada di atas seperti hari ini atau prestasi pasukan jatuh.

"Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan pemain-pemain terbaik dan menggunakan kelebihan mereka sebaik mungkin. Mereka (skuad Itali) semakin keletihan.

"Kami boleh berehat dan meraikan kejayaan ini bersama-sama," katanya. - AFP

Del Bosque merendah diri

Posted:

Del Bosque merendah diri

PEMAIN-PEMAIN dan pegawai Sepanyol meraikan kejayaan pasukan itu menjadi juara Eropah selepas menewaskan Itali 4-0 di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi semalam.


KIEV, Ukraine - Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque menyangkal spekulasi yang mendakwa beliau telah mengubah corak permainan bola sepak dunia.

Spekulasi itu tercetus selepas skuad La Roja membelasah Itali 4-0 pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi semalam meskipun tanpa kelibat penyerang utama.

Pemain tengah, Cesc Fabregas sekali lagi menjadi watak penting di sebalik kemenangan itu, sama seperti yang dilakukan pada perlawanan terdahulu menentang Itali dan Perancis.

Pada perlawanan itu, Sepanyol mendahului seawal minit ke-14 apabila hantaran lintang Fabregas berjaya ditanduk masuk David Silva untuk menewaskan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon.

Jordi Alba berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menyumbat masuk gol kedua pada minit ke-41.

Penyerang Chelsea, Fernando Torres yang masuk menggantikan tempat Fabregas meledakkan gol ketiga pada minit ke-84 sebelum dia membantu Juan Mata menjaringkan gol keempat pada minit ke-88.

"Terdapat banyak cara lain dalam bola sepak.

"Perkara yang paling penting adalah menjaringkan gol.

"Para pemain kami sangat pintar dan kami mempunyai sebuah pasukan yang seimbang, saya sentiasa menaruh kepercayaan kepada pemain kami.

"Kami mempunyai penyerang tetapi kami mengambil keputusan untuk menurunkan pemain yang paling sesuai dengan corak permainan kami," kata del Bosque, 61, yang menjadi jurulatih pertama memenangi gelaran pada Kejohanan Bola Sepak Eropah dan Piala Dunia.

Selepas membelasah Republik Ireland 4-0 pada peringkat kumpulan, empat gol yang diperoleh Sepanyol awal pagi semalam turut menafikan spekulasi yang menuduh pasukan itu kekurangan bakat dan bercita-cita tinggi.

"Itali adalah lawan yang sukar tetapi mereka tidak bernasib baik," kata del Bosque merujuk kepada kecederaan yang dialami Thiago Motta pada minit ke-62 yang memaksa skuad The Azzurri beraksi dengan 10 pemain.

"Sebab itu, kami sangat yakin untuk memenangi perlawanan ini. Kami hanya bermain mengikut corak permainan kami dan kami menaruh keyakinan dengan apa yang telah kami lakukan sejak beberapa tahun lalu." - Reuters

Prandelli tak rela tinggalkan pasukan

Posted:

Prandelli tak rela tinggalkan pasukan

KIEV - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli menegaskan bahawa beliau akan meneruskan tugas membimbing skuad The Azzurri meskipun dibelasah 0-4 oleh Sepanyol pada final Euro 2012 awal pagi semalam.

Prandelli menyuarakan keyakinan itu meskipun sebelum ini beliau pernah memberitahu bahawa kariernya akan ditentukan selepas kejohanan di Poland dan Ukraine berakhir.

Bagaimanapun, selepas Itali tewas kepada Sepanyol, Prandelli yang masih mempunyai kontrak sehingga 2014 menyuarakan nada yang lebih positif untuk meneruskan kariernya.

"Masa depan saya sudah ditentukan, walaupun perasaan saya tidak begitu baik, ia perlu diteruskan.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Konfederasi Bola Sepak Itali (IFF) atau pemimpin tertinggi. Hubungan kami sangat baik. Kontrak masih ada dan kami mahu meneruskannya," katanya.

Prandelli yang mengambil alih jawatan jurulatih Itali daripada Marcello Lippi dua tahun lalu berkata, kekalahan pada final itu telah membuatnya untuk meneruskan tugasnya.

"Sudah tentu ia pilihan saya, kekalahan ini (0-4 kepada Sepanyol) turut menjadi faktor yang membuatkan saya tidak mahu meninggalkan pasukan dalam keadaan seperti ini.

"Ia merupakan projek yang baik, sukar tetapi menarik," kata bekas jurulatih Parma dan Fiorentina itu.

Prandelli berkata, beliau akan bertemu Presiden IFF, Giancarlo Abete dalam tempoh terdekat.

Menurut Prandelli, beliau berbangga dengan prestasi yang dipamerkan anak-akan buahnya sepanjang kejohanan itu terutamanya selepas beraksi hambar pada perlawanan kelayakan dan aksi Piala Dunia dua tahun lalu serta dihimpit skandal mengatur perlawanan dalam kempen liga domestik.

"Kami memulakan kejohanan dengan beberapa masalah, malah diundi bersama Sepanyol dalam Kumpulan C. Saya fikir, kami telah pamerkan aksi yang hebat walaupun gagal (pada final).

"Para pemain menunjukkan bahawa sekiranya kami memiliki semangat berpasukan, kami mampu mengejar impian. Mereka bekerja keras untuk melakar kejayaan.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan ini," katanya. - Reuters

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan