Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Debaran Lela terima pingat

Posted: 21 Aug 2012 03:43 PM PDT

Petra Jaya: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg harus ceria dengan perkhabaran baik, semalam apabila Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menanggung keseluruhan kos bagi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu melanjutkan pelajaran selama empat tahun di Australia.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata keputusan berkenaan untuk membolehkan anak muda berusia 19 tahun itu mendapat pendidikan akademik lebih teratur - sekali gus dapat menjalani latihan sukan terjun lebih baik di negara berkenaan.

Saya belum pasti jumlah biasiswa berkenaan kepada Pandelela tapi memang dia berhak menerimanya. Kerajaan negeri juga sedang memikirkan memberi bantuan kekal kepada atlit terjun itu serta keluarganya sebagai menghargai sumbangannya, katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada Pandelela di Astana Negeri, semalam.
Terima pingat JBK

Pandelela dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (JBK) daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin sebagai mengiktiraf kejayaannya memenangi gangsa acara 10 meter platform individu di Olimpik London, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang mengumumkan kerajaan negeri dan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) memberikan insentif RM90,000 kepada Pandelela sebagai tambahan kepada insentif RM300,000 diberi Kerajaan Pusat.

Turut menerima insentif dua lagi atlit terjun iaitu Bryan Nickson Lomas dan Traisy Vivien Tukiet yang masing-masing menerima imbuhan RM25,000.
Sementara itu, Pandelela ketika ditemui menyuarakan betapa ia saat paling mendebarkan dalam hidupnya menerima anugerah berkenaan berbanding ketika beraksi di Olimpik.

Saya tidak pernah terasa debaran jantung seperti itu sebelum ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengiktirafkan kejayaan saya. Anugerah ini bukan saja untuk saya tapi untuk keluarga yang sentiasa memberi sokongan termasuk semua masyarakat Bidayuh dan warga Sarawak, katanya.

Sambutan wira

Terdahulu, kepulangan buah hati Bumi Kenyalang itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) disambut lebih 1,000 peminat, ahli keluarga dan pemimpin negeri. Dia yang lebih setahun tidak pulang ke Kuching diberi sambutan khas mengikut adat suku kaum Bidayuh termasuk iringan 12 gong memainkan lagu Penyambut oleh Badan Budaya Bidayuh Semeba.

Pandelela kemudian diarak lebih 20 kilometer menggunakan kereta Mini Cooper melalui jalan utama ke Tebingan Kuching, Padang Merdeka, Satok sehingga ke Astana Negeri, Petra Jaya. Orang ramai yang menunggu beliau seawal jam 9 pagi di lokasi berkenaan tidak melepaskan peluang bersalaman dan mengambil gambar atlit itu yang mesra melayan peminatnya.

Khyril tekad julang Kedah raih piala

Posted: 21 Aug 2012 03:41 PM PDT

Penjaring terbanyak Kedah dalam Liga Super, Khyril Muhymeen Zambri sudah sedia meneruskan kecemerlangan menjaringkan gol ketika bertemu Tentera pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.

Saya juga yakin kembalinya penyerang dari Croatia, Vedran Gerc akan memantapkan lagi bahagian serangan dengan kombinasi Baddrol Bakhtiar dan Faizal Abu Bakar yang sudah mula menemui sentuhan penyudah.

Saya belum berpeluang bertemu dengan jurulatih baru Kedah, Marijo Tot dan saya yakin akan membuahkan hasil yang baik untuk saya menambah ilmu di bawah seorang jurulatih berpengalaman yang memiliki begitu banyak ilmu bola sepak.
Kini saya tidak lagi dibelenggu kecederaan. Ini memberi peluang kepada saya untuk beraksi dengan kemampuan sebenar saya dan ia faktor kejayaan saya menjaringkan 10 gol ketika Liga Super, kata Khyril, semalam.

Tambah Khyril, dia juga puas hati kerana Kedah diletakkan dalam Kumpulan B bersama Kelantan, Terengganu dan Tentera kerana siapa sahaja yang dapat melayakkan diri ke suku akhir pasti akan dapat menambah keyakinan diri bagi meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan