Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Bolot RM500,000

Posted: 12 Aug 2012 03:40 PM PDT

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima ganjaran RM500,000 di atas kejayaannya meraih pingat perak dalam acara perseorangan badminton sukan Olimpik London 2012.

Ganjaran itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam majlis di Seri Perdana yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.


Ganjaran RM300,000 sumbangan Skim Hadiah Kemenangan Sukan, Majlis Sukan Negara dan RM200,000 dari kerajaan Malaysia dalam bentuk Amanah Saham Wawasan.

Selain itu, Chong Wei turut menerima hadiah seutas jam tangan yang disampaikan Rosmah, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri mengucapkan tahniah di atas kejayaan jaguh badminton negara itu meraih pingat perak dan yakin ia akan menguatkan lagi azam Chong Wei untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang di Olimpik 2016.


"Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi dia (Chong Wei) untuk meraih emas tapi dia sudah berhempas pulas dan berjuang habis-habisan. "Itu sudah menunjukkan betapa besar jiwanya untuk mencapai kejayaan dan diharapkan tidak putus asa untuk mencipta kejayaan yang lebih membanggakan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyatakan persetujuan mengenai cadangan mewujudkan Akademi Badminton Negara di Pusat Latihan Badminton Stadium Juara Bukit Kiara.


Sementara itu, Chong Wei, 30, berkata dia akan mempertimbangkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat dia kembali merebut pingat emas pertama pada temasya Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri atas ganjaran hari ini, saya akan simpan duit itu. Walaupun tidak dapat membawa balik pingat emas, kerajaan masih memberi sokongan kepada saya. Bagaimanapun saya telah buat yang terbaik," katanya.


Chong Wei berharap dengan sokongan itu, ia akan menyuntik semangat untuk dirinya meneruskan aksi di sukan Olimpik akan datang, sebagaimana yang dihasratkan Perdana Menteri.


"Bagaimanapun saya perlu lihat prestasi saya dua tahun lagi iaitu selepas Sukan Asia Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel Glasgow, Scotland, kedua-duanya pada 2014. Jika masih 'fit'(cukup cergas) saya akan teruskan pada Olimpik 2016," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 20/08/2012


‘Ini balasan saya terima’

Posted: 12 Aug 2012 10:42 AM PDT

SAYU hati bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, mengenangkan nasib malangnya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketika menandatangani kontrak dua tahun sebagai ketua jurulatih akhir tahun lalu, sedikit pun tidak terlintas di fikirannya yang beliau akan kehilangan jawatan dua bulan sebelum tibanya Ramadan tahun ini.


Menurut jurulatih berusia 54 tahun itu, kepulangannya ke Terengganu untuk mengambil tempat Irfan Bakti bagaikan mimpi menjadi kenyataan kerana pada 2001, dia pernah mengecapi saat manis menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih pasukan Penyu.

"Ini akhirnya balasan ke atas saya," kata jurulatih kelahiran Melaka yang meninggalkan tugasnya sebagai jurulatih Pos Malaysia untuk kembali melatih Terengganu buat kali kedua.


Mimpi indah Mat Zan tidak kekal lama apabila direhatkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) awal Mei lalu selepas tersingkir daripada saingan Piala FA apabila kecundang di suku akhir kepada Sime Darby.


Pada masa itu, Terengganu masih berada di tangga ketiga Liga Super di samping berpeluang mara ke peringkat kedua dalam saingan Piala AFC.

"Mungkin pihak pengurusan rasa Terengganu, sebagai juara bertahan Piala FA, tidak sepatutnya tewas kepada pasukan yang bermain dalam Liga Perdana seperti Sime Darby," katanya.


Selama dua minggu, tugasnya diambil alih oleh Khalid Mat Dahan, sebelum pengurusan PBSNT membuat keputusan mengikat Peter Butler sebagai jurulatih baru Terengganu.

"Mereka menawarkan pampasan dua bulan gaji untuk penamatan awal kontrak, namun saya meminta supaya mereka melunaskan gaji saya sehingga akhir tahun kerana sukar buat saya mencari pekerjaan baru di pertengahan musim," katanya.


Perbincangan penamatan kontraknya berterusan sehingga dia menyerahkan semula rumah dan kereta kepada pihak pengurusan PBSNT hampir sebulan kemudian.


"Saya menerima gaji bulan Mei seperti biasa dan beranggapan mereka akan terus membayar gaji saya seperti diminta kerana mengikut terma kontrak, saya masih lagi ketua jurulatih pasukan.


"Namun ternyata mereka lebih licik kerana akhirnya saya menerima surat penamatan kontrak daripada PBSNT kerana tidak hadir bekerja selepas tempoh saya direhatkan tamat sedangkan pada masa itu mereka sudah mengambil Butler sebagai jurulatih," katanya.


Selepas perundingan dengan PBSNT menemui jalan buntu, Mat Zan, baru-baru ini mengambil langkah lain dengan mengadu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya dapat dirujuk kepada jawatankuasa timbang tara.


"Namun saya dinasihatkan supaya menghantar tuntutan saya sekali lagi kepada PBSNT dan memberi tempoh sewajarnya kepada mereka untuk memberi pertimbangan sewajarnya.


"Saya sudah pun menghantar tuntutan bayaran enam bulan gaji kepada PBSNT dan saya berharap mereka dapat melunaskan semuanya dalam masa terdekat dan kalau boleh sebelum tibanya Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 20/08/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan