Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


KBS beri lampu hijau

Posted: 14 Sep 2012 10:34 AM PDT

HASRAT skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk berguru di Brazil sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Myanmar tahun depan, pantas mendapat lampu hijau Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya setuju dengan cadangan itu dan sedia memberi sokongan penuh sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tawaran untuk beraksi dalam liga negara itu.


"Saya setuju dan kami akan memberi sokongan penuh. Dulu ada yang memandang sinis keputusan menghantar pemain kita berlatih di Slovakia.

"Tetapi sekarang kita sudah nampak hasilnya, antaranya ia dapat meningkatkan kecergasan pemain. Jika dulu pemain kita dapat bertahan selama 70 minit saja tapi ketika ini mereka mampu beraksi dalam jangka masa lebih panjang," katanya selepas majlis pelancaran Semangat Harimau Muda Livery, semalam.


Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Naib Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin serta barisan pemain.


Jelas Ahmad Shabery, selain cuba memenuhi pelbagai kemudahan kepada pemain negara di Malaysia, pihaknya juga menganggap cadangan menghantar pemain negara ke Brazil adalah keputusan yang tepat.

"Kini kita mahu beralih ke Brazil pula dan saya yakin pemain dapat menimba pengalaman baru," katanya.


Sementara itu , skuad Ong Kim Swee menerima penghormatan tertinggi selepas berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea Jakarta apabila syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia membuat lukisan yang dilukis khas pada badan pesawat yang tertera lambang harimau serta perkataan 'Semangat Harimau Muda'.

Dengan bertemakan warna kuning dan hitam, lambang harimau itu dilukis di sisi kiri dan kanan pesawat Airbus A320 AirAsia yang membabitkan tenaga kerja seramai 20 orang dari Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd (SAE) dan mengambil masa selama 12 hari untuk disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/15


Juara bertahan getir

Posted: 14 Sep 2012 10:20 AM PDT

KANCAH suku akhir Piala Malaysia musim ini menjanjikan saingan menarik selepas tujuh lagi pasukan mengesahkan tempat bagi mengiringi juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk merebut piala paling berprestij dalam saingan bola sepak tempatan itu.

Juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan akhirnya mengesahkan tempat mengiringi ATM untuk melepasi saingan Kumpulan B apabila mencatatkan kemenangan besar 6-1 di Kota Bharu sekali gus bergelar juara kumpulan menerusi perbezaan jaringan mengatasi ATM yang hanya seri 2-2 menentang Kedah.


Keputusan terbabit mengundang situasi kurang menyenangkan untuk ATM yang dikendalikan B Sathiananthan yang sepatutnya mendapat lawan lebih mudah dan kini terpaksa berdepan juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan, juara Kumpulan C selepas terikat 1-1 dengan Felda United.

Namun mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila membiarkan Kedah bangkit pada akhir perlawanan untuk meledak dua gol bagi menafikan dua jaringan babak pertama menerusi tonggak importnya, Marlon Alex James dan Bruno Martelotto.


Manakala situasi menggembirakan buat Kelantan yang meledak enam gol di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV untuk berada pada landasan terbaik meraih treble musim ini apabila dilihat selesa bertemu Felda United pada suku akhir dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung 28 September ini.


Pasukan jemputan dari Singapura, LionsXII pula memastikan tiket ke suku akhir walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Johor FC sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan mengumpul sembilan mata untuk mengungguli Kumpulan A bagi menyingkirkan Johor yang menewaskan PKNS FC, 2-0.

Lawan menanti LionsXII adalah naib juara Kumpulan D, Pahang yang tewas mengejut 2-3 kepada T-Team menerusi jaringan lewat permainan Zairo Anuar Zailani.


Dua jaringan Mohd Amri Yahyah pada babak kedua memastikan Selangor layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan D untuk mengumpul 13 mata sekali gus menyingkirkan Pahang ke tempat kedua.

Namun Selangor yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim terpaksa menunggu hingga ke babak kedua permainan untuk membuka jaringan pada minit ke-66 sebelum pemain berpengalaman itu memastikan kehadirannya terus dirasai menerusi jaringan kedua pada minit ke-73.


Bagaimanapun aksi suku akhir pertama membabitkan Selangor dan LionsXII akan berlangsung pada Jumaat depan dan aksi timbal balik pada 26 September kerana kedua-dua pasukan terbabit dalam merebut Piala Sultan Selangor pada 29 September.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/15


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan