Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Butler ‘kepanasan’

Posted: 20 Sep 2012 09:16 AM PDT

JODOH Peter Butler bersama skuad Penyu semakin samar selepas jurulatih dari England itu menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), semalam.

Kandungan surat itu bukan saja mengesahkan penggantungannya selama enam bulan, denda RM4,000 dan potongan gaji bulan hadapan sebanyak 15 peratus tapi juga menyatakan kontraknya boleh terbatal kerana penggantungan melebihi tempoh sebulan seperti yang termaktub dalam kontrak.


Butler yang dihubungi mengaku kecewa dengan cara PBSNT menangani isu membabitkan masalahnya dengan beberapa pemain hingga menyebabkan beliau dikenakan hukuman itu.

"Cukup jika saya katakan inilah kali pertama saya melalui keadaan seperti ini selepas bertahun lamanya bermain bola sepak di peringkat tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris dan menjadi jurulatih di beberapa negara di rantau Asia ini.


"Apa yang perlu saya lakukan sekarang ialah berbincang dengan peguam terlebih dulu sebelum memikirkan tindakan susulan untuk saya mencari keadilan," katanya yang pernah beraksi bersama kelab Inggeris, West Ham United dan West Bromwich Albion.


Butler sebelum ini didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib PBSNT kerana bercakap kepada media mengenai masalah disiplin pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Ismail Faruqi Asha'ri yang dikatakan pulang lewat dan membawa wanita ke bilik hotel di Alor Setar sebelum perlawanan menentang Kedah, bulan lalu.

Jurulatih berusia 46 tahun itu turut disabit kesalahan memarahi dan menolak penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie di khalayak ramai semasa perlawanan menentang Kedah di tempat sendiri, awal bulan ini.


Semua pemain terbabit dihukum jawatankuasa itu dengan setiap pemain didenda RM1,000 dan diberi amaran keras.

Namun, menurut sumber dalaman PBSNT, hukuman berat ke atas Butler terutama penggantungan selama enam bulan hanyalah satu usaha memecatnya secara halus.


"Sekiranya Butler dipecat begitu saja, PBNST terpaksa membayar sejumlah besar pampasan kerana kontrak bekas jurulatih Kelantan itu masih berbaki 15 bulan," katanya.


Menurutnya, perkara yang dilalui Butler tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku ke atas bekas jurulatih Terengganu yang digantikannya Jun lalu, Mat Zan Mat Aris.


"Kalau Butler digantung, Mat Zan dulu direhatkan dan selepas itu untuk menamatkan kontrak Mat Zan yang cuma tamat pada akhir tahun depan, persatuan menyalahkannya kerana gagal hadir bertugas selepas tempoh rehatnya tamat.


"Sedangkan pada masa itu, Butler sudahpun dilantik dan Mat Zan juga sudah menyerahkan semula kereta yang dipakai dan mengosongkan rumah diduduki kepada PBSNT," katanya.


Sementara itu, Che Mat yang sudah meletak jawatan sebagai pengurus pasukan dan melantik bekas pengurus pasukan Piala Presiden, Marzuki Sulong sebagai pengurus baru skuad Penyu berkata, tugas mencari jurulatih baru susulan penggantungan Butler sudah diserahkan kepada pengurusan pasukan.


Selain Marzuki, Zulkifli Ali dilantik sebagai penolong pengurus (1) dan Ahmad Awang sebagai penolong pengurus (2) mengambil tempat dikosongkan Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff yang juga Timbalan Presiden PBSNT.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


Hadi akui sudah dipikat beberapa pasukan

Posted: 20 Sep 2012 09:08 AM PDT

PEMAIN Terengganu yang dilepaskan nyata masih dianggap 'permata' di kaca mata pasukan lain yang bersaing dalam Liga M hingga ada yang menawarkan gaji lebih lumayan berbanding ketika bersama gergasi Pantai Timur itu.

Kehebatan sesetengah tonggak utama yang menjulang Terengganu sebagai antara pasukan disegani musim lalu hingga menjulang Piala FA selain naib juara Liga Super dan Piala Malaysia jelas masih ditagih.


Antaranya adalah penjaring terbanyak Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya yang mengaku sudah mendapat tawaran lumayan daripada beberapa pasukan pada musim depan.

"Rezeki ada di mana-mana. Saya sudah membuat keputusan dan mungkin menandatangani kontrak bersama pasukan baru pada minggu depan selepas meninggalkan Terengganu. Bayarannya lebih lumayan dan peluang beraksi terbuka luas," katanya yang menjadi antara nadi utama kebangkitan skuad Penyu pada musim lalu apabila membentuk jentera serangan yang digeruni bergandingan dengan Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin.


Nasibnya berubah musim ini apabila sering memanaskan bangku simpanan kerana terpaksa memberi laluan kepada penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe hingga pemain Liberia itu merampas gelaran kasut emas daripadanya dengan menjadi penjaring terbanyak Liga Super musim ini.


"Musim ini saya hanya mampu menjaringkan 10 gol (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia). Mungkin dengan pasukan baru peluang untuk saya beraksi lebih terbuka," katanya yang kini turut gagal mendapat panggilan skuad kebangsaan berikutan situasi dialaminya musim ini.

Abdul Hadi antara lapan pemain dilepaskan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selain penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Abdul Shukor Jusoh dan Mohd Muslim Ahmad.


Perkembangan terbabit turut mencetuskan 'minat' pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang masih tercari-cari formula untuk membentuk pasukan mantap pada musim ini.

"Saya ada berhubung dengan pemain tertentu. Mungkin ada seorang atau dua pemain menarik minat saya namun masih terlalu awal untuk memperkatakan perkara ini kerana Selangor kini memberi tumpuan untuk saingan suku akhir Piala Malaysia," kata bekas pengendali Terengganu yang menjulang negeri Pantai Timur itu pada musim 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan