Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Red Warriors tunjuk taring

Posted: 20 Oct 2012 04:44 PM PDT

Indra muncul wira dengan gol kemenangan masa tambahan di Shah Alam

Shah Alam: Ledakan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-95 masa tambahan memastikan kejuaraan trebel buat Kelantan musim ini selepas menewaskan Tentera 3-2 pada aksi final Piala Malaysia penuh dramatik di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia menggamatkan lebih 70,000 penyokong setia The Red Warriors yang membentuk 'Gelombang Merah' untuk meraikan musim paling cemerlang Kelantan yang turut menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Kejayaan itu sekali gus meranapkan impian Tentera menjulang Piala Malaysia buat kali pertama.
Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke-43 selepas percubaan leret Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan gagal diselamatkan penjaga gol Tentera, Farizal Harun meskipun ia kelihatan tidak begitu berbahaya.

Dua minit selepas babak kedua bersambung, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak terpaksa melakukan pertukaran awal memasukkan Rizal Fahmi Rosid menggantikan S Subramaniam yang cedera.

Norshahrul mudah perdaya pertahanan Tentera

Ia seolah-olah membuka ruang buat Tentera untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi rembatan kencang Rezal Zambery Yahya dari luar kotak penalti yang terbias pertahanan Kelantan seterusnya mengelirukan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun hanya seminit diperlukan Kelantan untuk kembali mendahului 2-1 sekali lagi menerusi kelincahan Norshahrul Idlan yang mudah memperdayakan pertahanan Tentera untuk menewaskan Farizal buat kali kedua.
Bagi memberi nafas baru dalam usaha memburu gol penyamaan, jurulatih Tentera, B Sathianathan melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-60, memasukkan Venice Elphi Danny Kaya dan Fitri Omar menggantikan Christie Jayaselan dan Azmi Muslim.

Hasilnya seminit kemudian, Tentera berjaya menyamakan kedudukan 2-2 apabila Marlon mudah menanduk masuk bola sepakan percuma Rezal Zambery dari sebelah kanan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Chelsea kukuh takhta liga

Posted: 20 Oct 2012 03:02 PM PDT

Gah catat kemenangan 4-2 ke atas Tottenham di White Hart Lane

London: Chelsea mengukuhkan cengkaman di persada carta Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dua gol Juan Mata membantu The Blues mencatat kemenangan 4-2 ke atas Tottenham, di White Hart Lane, malam tadi. Pasukan bimbingan Roberto Di Matteo berdepan kekalahan pertama musim ini dalam liga di tangan pasukan kendalian Andre Villas-Boas yang pernah membimbing Chelsea, apabila Tottenham mendahului 2-1 pada suatu ketika di separuh masa kedua.

Bagaimanapun pemain tengah Sepanyol, Mata meledak dua gol dalam tempoh masa tiga minit untuk Chelsea mencatat kemenangan ketujuh daripada lapan perlawanan.

Mata ledak dua gol

Gary Cahill, yang mengambil tempat John Terry yang digantung perlawanan, menyumbat gol pertama Chelsea pada minit ke-17 dengan voli menarik yang terbias pertahanan Spurs, Steven Caulker.
William Gallas menyamakan kedudukan dua minit selepas separuh masa kedua bersambung dari jarak dekat daripada bola hantaran lintang Jan Vertonghen.

Spurs mendahului tujuh minit kemudian hasil jaringan Jermain Defoe.

Chelsea bangkit dengan voli Mata pada minit ke-66, dan dia sekali lagi menyudahkan umpanan Eden Hazard, tiga minit kemudian.

Mata terus cemerlang, dan pada masa kecederaan berjaya merampas bola daripada Kyle Walker untuk mengumpan kepada Daniel Sturridge yang meledak gol keempat Chelsea.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan