Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Sejarah Sepang

Posted: 20 Oct 2012 10:30 AM PDT

MUHAMMAD Zulfahmi Khairuddin mencipta sejarah baru negara apabila muncul pelumba pertama negara yang memulakan perlumbaan Moto3 hari ini di petak pertama selepas mempamer tunggangan sensasi untuk mencatat masa terpantas 2 minit 13.885 saat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Lebih membanggakan dia muncul satu-satunya pelumba yang mencatat masa di bawah 2 minit 14 saat selepas pelumba Mapfre Aspar Team Moto3, Jonas Folger yang menduduki petak kedua mencatat 2:14.151s sementara rakan sepasukan Zulfahmi, Sandro Cortese yang memimpin saingan Moto3, ketiga, 2:14.599s.


Beraksi di halaman sendiri, pelumba yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-21 semalam itu nyata begitu gembira dengan pencapaiannya dan semakin hampir memenuhi impian seluruh rakyat Malaysia yang mahu menyaksikannya menaiki podium.

Pada sesi latihan bebas kelmarin, pelumba berasal dari Banting, Selangor itu sudah membuktikan keupayaannya apabila mencatat masa ketiga terpantas pada dua sesi latihan.


"Sebenarnya sebelum mendapat keputusan terbaik ini, saya bergelut dengan jentera pada sesi latihan sebelah pagi dan ketika sesi kelayakan, saya cuba berikan tumpuan 120 peratus.


"Memang benar saya masih tercari-cari kedudukan podium. Saya harap dapat bersaing hingga pusingan terakhir esok (hari ini), itu saja," katanya.

Ditanya adakah kejayaan petak pertama semalam hadiah terbaik untuknya, Zulfahmi yang beraksi bersama pasukan AirAsia SIC Ajo berkata: "Sebenarnya saya tidak terlalu fikirkan sangat, saya hanya fokus motosikal dan perlumbaan.


"Tetapi selepas dapat petak pertama, baru saya dapat rasakan ini adalah hadiah terbaik untuk saya. Saya gembira kerana krew pasukan bekerja keras memastikan jentera saya berada pada tahap terbaik." Pelumba yang melalui musim penuh ketiga pada saingan MotoGP itu kini menduduki tempat ketujuh keseluruhan pelumba Moto3 dengan mengumpul 92 mata Tahun lalu, Zulfahmi yang bermula di petak ke-13 di Sepang, mempamer tunggangan cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Kelantan lengkapkan kejuaraan treble

Posted: 20 Oct 2012 10:06 AM PDT

SHAH ALAM: Kelantan melakar kejayaan cemerlang apabila menjulang Piala Malaysia 2012 setelah menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam semalam.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira pasukan 'The Red Warriors' apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan sepenuh masa 90 minit.

Kemenangan bersejarah itu sekali gus melengkapkan kejuaraan treble buat pasukan Kelantan selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super musim ini, iaitu sesuatu yang kali terakhir dilakukan Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij itu buat pertama kali.


Barisan pemain ATM, yang digelar skuad 'The Gladiators' ternyata gagal menyekat kemaraan pasukan Kelantan sekali gus melepaskan peluang menebus kehampaan mereka di pentas final sulung 46 tahun lepas apabila tumpas 0-1 kepada Selangor.

Sebaik permainan bermula, Kelantan terlebih dahulu menguji 'kereta kebal' ATM yang diterajui pemain pertahanan kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Razak.

Penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha hampir meletakkan pasukan 'The Red Warriors' di hadapan pada minit ke-15 namun tindakan pantas penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun berjaya menyelamatkan keadaan dengan menepis keluar bola.

Kelincahan Norshahrul sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan 'The Gladiators' dan seminit sebelum separuh masa pertama tamat, beliau menyumbat gol pertama pasukan Kelantan menerusi sepakan leret dari dalam kotak penalti.

Tiga minit selepas permainan bersambung babak kedua, sepakan kencang pemain tengah ATM Rezal Zambery Yahya dari luar kotak penalti berjaya menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan ATM tidak kekal lama apabila Norshahrul menjaringkan gol kedua 'The Red Warriors' pada minit ke-50.

Walaupun ketinggalan, barisan pemain ATM tidak berputus asa dan mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi tandukan pemain import Marlon Alex James hasil sepakan percuma daripada rakan sepasukan.

Kedudukan terikat 2-2 itu berlanjutan sehingga tamat perlawanan sebenar 90 minit.

Indra Putra muncul wira apabila rembatan cantiknya hasil hantaran Mohd Nurul Azwan Roya berjaya memperdaya Mohd Farizal pada minit ke-96 untuk memastikan kemenangan mutlak skuad The Red Warriors.

Norshahrul dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-86 itu.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan trofi Piala Malaysia kepada ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/21


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan