Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Zulfahmi disambar

Posted: 22 Oct 2012 03:22 PM PDT

SELEPAS muncul naib juara Grand Prix Motosikal Malaysia bagi melakar sejarah untuk negara, karier pelumba sensasi Moto3, Muhammad Zulfahmi Khairuddin terus cerah apabila dia bakal disambar pasukan Red Bull KTM Ajo, menggantikan Sandro Cortese yang baru dinobatkan sebagai juara dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, meskipun ia belum diputuskan secara rasmi, Zulfahmi yang kini mewakili pasukan AirAsia SIC Ajo, hampir pasti berhijrah ke pasukan juara dunia itu.


Ini kerana, perbincangan dengan pengurus pasukan, Aki Ajo menunjukkan perkembangan positif dengan Ajo sendiri mahukan Zulfahmi menggunakan jentera Red Bull KTM Ajo.

"Perbincangan bersama Ajo bukan berlaku selepas Zulfahmi menaiki podium sebaliknya ia sudah berlangsung sejak perlumbaan di Motegi, Jepun.


"Berdasarkan pencapaiannya musim ini, Aki mahu Zulfahmi beraksi bersama pasukan Red Bull. Bermakna dia bakal bergandingan dengan Artur Sissis serta Luis Salom pada musim depan kerana Danny Kent serta Cortese akan beralih ke saingan Moto2.


"Kini perbincangan terakhir mengenai penggabungan tajaan seperti AirAsia dan Red Bull berlangsung. Tapi, apa yang boleh saya katakan Zulfahmi hampir pasti ke Red Bull," katanya.

Razlan berkata, beliau menyokong penuh perkembangan terbaru membabitkan Zulfahmi kerana pelumba berusia 21 tahun itu bakal beralih kepada pasukan lebih baik.


"Perpindahan ini amat bagus untuk karier Zulfahmi kerana kita semua sedia maklum, Red Bull baru saja meraih kejayaan apabila Cortese dinobat juara dunia Moto3.

"Dengan perkembangan terbaru ini, saya serta seluruh rakyat Malaysia berharap Zulfahmi akan meraih kejayaan lebih besar musim depan." Zulfahmi mencipta sejarah baru untuk negara apabila muncul pelumba pertama menaiki podium kelmarin, memperbaiki sejarah dicipta Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang muncul pelumba pertama beraksi musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia dari 2000 hingga 2002.


Menurut Razlan, kejayaan Zulfahmi kelmarin sebenarnya cukup besar jika melihat kepada konteks yang lebih luas.


"Zulfahmi membuktikan anak Malaysia juga boleh berjaya setanding dengan pelumba handalan dunia yang lain dan sudah tiba masanya, syarikat besar membuka mata dengan membabitkan diri menerusi tajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Lela terima pin istimewa

Posted: 22 Oct 2012 03:19 PM PDT

PEMEGANG pingat gangsa Olimpik, Pandelela Rinong dianugerah pin istimewa oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sebelum ini hanya diterima jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei.

"Pin istimewa itu dibuat khas hanya untuk pemegang pingat Olimpik dan Pandelela memenangi gangsa acara 10 meter platform di London. Ia sama seperti yang dianugerahkan kepada Chong Wei selepas memenangi pingat perak di Beijing 2008.


"Bagaimanapun, Chong Wei akan dianugerahkan pin sama sekali lagi atas kejayaan keduanya meraih pingat perak di London. Setiap pin mempunyai nombor siri berbeza dan ia perlu diserahkan oleh seseorang yang berpangkat tinggi saja.

"Dijangka majlis penyerahan anugerah ini akan diadakan di Majlis Anugerah Olimpian, Disember kelak," kata Penolong Pengurus Besar MOM, Fong Wan Hor ketika menerima kunjungan istimewa Pandelela dan rakan seangkatannya Wendy Ng Yan Yee. Katanya lagi, kunjungan itu terlalu istimewa kerana buat pertama kali MOM menerima lawatan pemegang pingat di Olimpik bersama 'tetamu'.


Dua jaguh terjun itu bersama kira-kira 40 rakan sekelas jurusan Sains Sukan Universiti Malaya (UM) membuat kunjungan sambil belajar ke Muzium Dewan Kemasyhuran Sukan MOM. Bagi Pendelela dan Wendy, ia lawatan paling istimewa kerana buat pertama kali melangkah ke dewan itu sebagai mahasiswi.


"Saya begitu teruja apabila pensyarah menyatakan akan mengadakan lawatan lantas menyuarakan kepada MOM untuk menerima kunjungan saya bersama rakan sekelas.

"Lawatan ini memberi saya satu pengalaman berbeza apabila semangat untuk maju dalam sukan semakin membara ketika melihat rakan-rakan begitu bangga melihat gambar serta pencapaian atlet, termasuk kejayaan saya yang dipapar di muzium," kata Pandelela.


Kata-katanya turut disokong Wendy yang turut mengatakan semangat menjadi atlet yang berjaya dalam pelajaran turut memuncak.

"Kami ingin dikenali sebagai atlet yang cemerlang dalam sukan serta pelajaran. Malah gembira melihat rakan-rakan yang semakin menghargai usaha atlet apabila mengunjungi muzium ini terutama kami mempunyai empat pelajar antarabangsa dari Iran, Korea, Indonesia dan Brunei. "Kini empat pelajar antarabangsa ini lebih mengenali kejayaan atlet Malaysia lebih mendalam," katanya. Selain MOM, lawatan turut diteruskan ke Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan