Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Daren akhiri penantian

Posted: 28 Oct 2012 09:43 AM PDT

TANPA diletakkan sebarang harapan, wakil tunggal negara beraksi di final kejohanan badminton Terbuka Perancis, Liew Daren akhirnya muncul sebagai juara sekali gus menyelamatkan maruah ketika pasangan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terkandas di suku akhir.

Lebih bermakna ia adalah gelaran pertama buat pemain yang berusia 25 tahun itu sepanjang kariernya sebagai pemain perseorangan negara. Daren yang mara ke perlawanan akhir apabila menewaskan jaguh ternama Denmark yang juga pilihan keenam kejohanan, Jan O Jorgensen 18-21, 21-17, 21-10 di separuh akhir dalam pertarungan tiga set, kelmarin, memerlukan 42 minit untuk menjinakkan juara remaja dunia 2010 dari Denmark, Viktor Axelsen, 21-18, 21-17 di final, semalam.


Menghuni ranking ke 26 dunia, Daren bagaimanapun gagal mengawal perasaan gemuruh di awal set pertama apabila ketinggalan 1-5 sebelum bangkit mengikat kedudukan menjadi 6-6.

Mula mendapat keyakinan selepas itu, Daren terus menyusun rentak untuk mendahului tanpa memberi peluang kepada lawan sebelum menang dalam pertarungan yang memakan masa 20 minit.


Set kedua, menyaksikan Viktor cuba untuk bangkit dan mula mengejar mata demi mata dalam usahanya membawa perlawanan ke set penentuan.


Kealpaan Daren membuka laluan buat Viktor untuk mendahului dua mata di kedudukan 16-14 pada suatu ketika.

Begitupun usaha Daren dengan mengajak lawan bergerak ke setiap penjuru gelanggang akhirnya berbaloi apabila kembali menguasai perlawanan untuk menang di set kedua sekali gus dinobatkan sebagai juara buat kali pertama dalam kariernya. Kejayaan Daren itu mungkin melegakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana kini mampu menyandarkan harapan kepada pemain itu selaku pemain perseorangan kedua negara selepas Datuk Lee Chong Wei, namun mereka perlu memberi penjelasan terhadap kemerosotan pasangan beregu negara. Seperti ada yang tidak kena, pasangan Korea terus menjadi badi buat beregu emas negara, Kien Keat-Boon Heong apabila kecundang lagi buat sekian kalinya kepada pasangan Korea dan kali ini menjadi mangsa kepada Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae di suku akhir dalam pertarungan tiga set kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Wenger seru penyokong sabar

Posted: 28 Oct 2012 09:34 AM PDT

LONDON: Arsene Wenger merayu penyokong Arsenal agar lebih bersabar dengan Jack Wilshere yang kembali beraksi buat kali pertama dalam tempoh 17 bulan ketika Gunners mencatat kemenangan 1-0 ke atas Queens Park Rangers.

Wilshere yang diketepikan sebelum ini kerana berdepan kecederaan buku lali dan lutut, mempamer aksi cemerlang sepanjang 67 minit beraksi di Stadium Emirates selepas Wenger membuat kejutan menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.


Pengurus Arsenal, Wenger memuji persembahan pemain antarabangsa England itu selepas mendedahkan beliau tidak memberitahu Wilshere bahawa dia akan diturunkan sehinggalah pada sebelah pagi sebelum bermulanya perlawanan.

Wenger bagaimanapun menegaskan, beliau akan menilai semula tahap kecergasan pemain itu selain menyatakan Wilshere tidak akan diturunkan pada perlawanan pertengahan minggu ini bertemu Reading pada saingan Piala Liga.


"Secara teknikal, anda dapat saksikan sendiri dia sudah kembali menemui rentak dan memberikan segala-galanya, tapi apa yang penting, dia akan menghadapi perlawanan yang kerap.


"Dia tidak beraksi selama 17 bulan dan nampak tidak begitu pantas ketika beraksi. Tapi secara keseluruhan, persembahannya itu sudah cukup memuaskan.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak memberitahunya akan diturunkan kerana apabila anda tidak beraksi dalam tempoh lama, bukan sesuatu yang mudah untuk menghadapi situasi seperti itu.


"Jadi, saya rasa lebih baik jika anda tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya kerana anda sudah lama tidak beraksi. Saya hanya memberitahunya pada jam 10.30 pagi hari perlawanan. Saya tidak tahu apa reaksinya ketika itu, saya sekadar memberikan senarai nama mereka yang akan beraksi kepada pemain. Saya hanya bercakap dengan mereka secara umum, tanpa mengkhususkan kepadanya," katanya.

Wenger menambah: "Kami perlu melihat perkembangan Wilshere. Apabila anda kembali semula selepas berehat terlalu lama, prestasi menjadi tidak menentu.


"Perkembangan yang menarik mengenainya ialah dia tidak berdepan masalah ketika turun buat kali pertama.


"Kini selepas melalui perlawanan ini, saya tidak akan menurunkannya apabila bertemu Reading nanti (awal pagi Rabu). Tapi, sama ada saya akan menurunkannya minggu depan, sama-sama kita lihat.


Kehadiran semula Wilshere menyuntik semangat Gunners yang meraih gol tunggal menerusi Mikel Arteta pada minit ke-84, dijaringkan empat minit selepas pemain pertahanan QPR, Stephane Mbia diarah keluar padang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan