Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pemain Kelantan di janji lot rumah

Posted:

Pemain Kelantan di janji lot rumah

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

ANNUAR (dua dari kiri) bersama pemain dan pegawai skuad Kelantan selepas majlis penyerahan insentif di Kota Bharu semalam.


MISI memburu gelaran treble terus mencengkam semangat para pemain The Red Warriors apabila mereka dijanjikan imbuhan cukup lumayan jika berjaya membawa pulang piala ketiga, Piala Malaysia, Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan, setiap pemain The Red Warriors bakal dianugerahkan satu lot rumah yang dianggarkan bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000.

Menurutnya, ganjaran yang bakal diberikan bertindak sebagai motivasi dalam usaha Kelantan mencipta sejarah baharu bola sepak negeri itu untuk merangkul tiga piala dalam satu musim.

"Peluang untuk merangkul tiga kejuaraan semusim barangkali tidak selalu datang, mungkin sekali dalam 100 tahun.

"Kadang-kadang kita menang satu piala tetapi kali ini adalah peluang untuk kita menguasai semua kejuaraan yang ada dalam bola sepak negara.

"Justeru, KAFA bersetuju untuk memberikan para pemain ganjaran yang mereka boleh kenang sampai bila-bila.

"Ia melibatkan peruntukan bernilai hampir RM2 juta," katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun tambahnya, lokasi lot-lot rumah berkenaan, konsep dan pembahagiannya akan ditentukan kelak oleh pihak pengurusan selepas mereka berjaya menjalankan misi tersebut.

Katanya, ganjaran kini bukan lagi dalam bentuk wang kerana para pemain sudah mendapat banyak insentif daripada segi wang ringgit dan pihak pengurusan mahu memberikan sesuatu yang lebih bernilai sesuai dengan pengorbanan yang mereka lakukan.

"Apa yang kita fikirkan adalah untuk kebaikan para pemain kerana ramai pemain yang belum memiliki rumah, keluarga mereka belum memiliki rumah dan ada yang masih menyewa. Saya fikir ini juga baik untuk pemain-pemain muda terutamanya untuk memiliki aset.

"Saya juga suka untuk menasihati pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada pemain supaya merujuk kepada KAFA agar pengurusannya menjadi lebih baik dan teratur," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Annuar juga turut menyampaikan imbuhan bernilai RM125,000 kepada semua pemain Kelantan selepas mereka berjaya layak ke perlawanan akhir menewaskan Selangor pada saingan separuh akhir Piala Malaysia lalu.

Sebelum ini, para pemain Kelantan sudah menerima insentif bernilai RM75,000 selepas mereka berjaya menewaskan Felda United pada saingan suku akhir Piala Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diberikan kepada RM200,000.

"Saya mahu tengok para pemain menyertai perlawanan akhir tanpa sebarang halangan dan gangguan serta mahu mereka fokus kepada permainan," jelasnya.

Cabaran untuk semua pihak

Posted:

Cabaran untuk semua pihak

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

BUKAN masalah besar, sebaliknya cabaran yang perlu dihadapi jika mahu berjaya sebagai pemain bola sepak.

Itu prinsip peledak berbisa negara, Mohd. Safee Sali berhubung kemelut yang membelenggu pemain itu yang sukar untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF Suzuki, November depan.

Segala-galanya ekoran Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dilaporkan digantung sementara oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu Liga Super Indonesia (ISL) yang tidak diiktiraf badan induk itu sehingga menjejaskan peluang Safee menyarung jersi kebangsaan minggu lalu.

Begitupun, kebimbangan tersebut berakhir selepas Setiausaha Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay mengesahkan situasi itu tidak melibatkan Safee baru-baru ini.

Menganggap situasi itu bukan satu cerita baharu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim sebaliknya enggan kontroversi tersebut dianggap satu 'bencana' sehingga menutup terus 'periuk nasi' pemain tempatan yang mahu berhijrah ke Indonesia.

"Ini bukan satu cerita baharu, sebaliknya diulangi semula media Indonesia yang mungkin tidak memahami apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya tidak anggap ini sebagai satu masalah besar, sebaliknya ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi semua pihak, terutamanya pemain bola sepak negara termasuk Safee jika mahu berjaya di luar negara.

"Kontroversi sebegini sewajarnya tidak dianggap titik noktah kepada pemain kita yang mahu berhijrah ke Indonesia.

"Takkan kita hanya mahu Safee seorang sahaja pemain tunggal Malaysia yang beraksi di sana, sedangkan ia merupakan peluang terbaik mengembangkan karier," kata Zakaria kepada Kosmo!.

Semalam, Timbalan Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, senario itu wajar difahami Safee kerana telah dimaklumkan lebih awal bahawa PSSI berada dalam keadaan membimbangkan sebelum membuat keputusan menyertai Pelita Jaya.

Selain Pelita Jaya, sebanyak 31 lagi pasukan dalam ISL dilaporkan turut 'disenaraihitamkan' FIFA berdasarkan surat yang dikeluarkan Setiausaha PSSI, Halim Mahfidz kepada FAM minggu lalu.

Mengulas lanjut, Zakaria membayangkan mahu mengadakan satu sidang akhbar khas bagi memperincikan situasi itu dalam masa terdekat.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa masa depan Safee bersama skuad kebangsaan tidak terjejas semata-mata kerana berhijrah ke ISL.

"Sebaliknya, ia merupakan pengorbanan Safee sebagai pemain bola sepak, sekali gus menjadi duta negara di mata dunia," kata Zakaria.

Safee ketika ini dilaporkan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa di Hong Kong malam ini.

Farizal tak rela dirobek

Posted:

Farizal tak rela dirobek

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


FARIZAL mahu pastikan gawang ATM tidak dibolosi lawan.


PENTAS final Piala Malaysia kali ini dilihat cukup bermakna buat penjaga gol Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Farizal Harun.

Musim lalu, Farizal dilihat sekadar memanaskan bangku simpanan ketika 'bekas majikan', Negeri Sembilan mengecewakan Terengganu di pentas final.

Justeru, anak jati Seremban itu berazam mahu memastikan Kelantan 'berputih mata' menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Tahun lepas saya hanya menyaksikan perlawanan akhir dari tepi padang. Sebab itu saya lebih bersemangat kali ini apabila turut sama beraksi.

"Ini baru pentas final yang sebenar buat saya, jadi saya harap saya dapat mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan gawang ATM tidak dibolosi Kelantan nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Farizal yang mesra dengan panggilan Ejai dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya juga tidak mahu memandang mudah cabaran Kelantan biarpun lawan dilihat agak tempang tanpa Mohammad Ghaddar dan Nor Farhan Mohammad yang terpaksa melupakan pentas final kali ini gara-gara mengutip kad kuning kedua.

"Ketiadaan Ghaddar dan Nor Farhan mungkin dilihat memberikan sedikit kelebihan buat kami.

"Cuma pada masa sama, harus diingat majoriti pemain Kelantan dilihat cukup berpengalaman beraksi dalam suasana final, jadi kami harus lebih berwaspada," tegasnya.

Menganggap kejayaan ATM menempah slot final sebagai sesuatu yang cukup istimewa, Farizal juga tidak mahu rakan-rakan sepasukannya gementar ketika beraksi di Stadium Shah Alam kelak.

"Saya harap kami dapat bermain seperti biasa serta mematuhi segala percaturan jurulatih, B. Sathianathan.

"Jika berjaya mendakap trofi Piala Malaysia, tidak lain tidak bukan saya dedikasi kemenangan ini kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa menyokong penuh karier saya sebagai pemain bola sepak," kata Farizal.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan