"SAYA rasa kami belum lagi tertekan." Itu reaksi balas kapten, Safiq Rahim mengenai aksi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya yang mencetuskan kebimbangan terhadap peluang mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki hujung bulan ini.
Dua kekalahan berturut-turut pada pencabar serantau, Vietnam 1-0 dan Thailand 2-0 baru-baru ini memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang kini dalam fasa persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Kumpulan B menentang Singapura pada 25 November ini.
Keputusan buruk itu mengundang rasa tidak puas hati peminat tempatan serta orang kuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Tapi bagi Safiq, situasi itu tidak memberi tekanan kepada pemain kerana apa yang dilalui ketika ini sudah mereka hadapi ketika menjuarai pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010.
"Sebelum ini kami pernah lalui situasi lagi teruk. Pada 2009 dan 2010 tiada orang meletakkan harapan kepada pasukan kebangsaan tapi kami berjaya membuktikan sesuatu.
"Sebagai pemain, ini satu cabaran, kami perlu tahan dengan segala kritikan. Mental semua pemain perlu kuat, kami perlu buktikan apa saja tanggapan negatif itu tidak betul," kata pemain tengah itu yang ditemui pada majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan baru-baru ini.
Untuk mendapatkan kembali momentum kemenangan itu, anak buah Rajagobal tiada pilihan selain bangkit mempamerkan perwatakan juara rantau ini apabila menentang Hong Kong malam ini dan Bangladesh pada 20 November di Stadium Shah Alam.
Safiq yang terkenal sebagai pakar sepakan percuma berharap semua pemain memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu untuk memuaskan hati peminat tempatan sebelum turun di kejohanan sebenar.
"Kami mahukan keputusan positif tapi dalam dua perlawanan sebelum ini tidak menjadi kenyataan. Harap kami dapat perbaiki kelemahan untuk mendapat keputusan baik bagi menaikkan moral pemain sebelum perlawanan pertama dengan Singapura." Malaysia yang muncul juara Piala AFF buat kali pertama dengan menundukkan Indonesia pada final dua tahun sekali lagi bertemu naib juara itu dalam saingan Kumpulan B bersama Singapura dan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu bagi kempen Kumpulan A di Bangkok membabitkan pasukan tuan rumah Thailand, Vietnam, Filipina dan Myanmar.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/13
0 ulasan:
Catat Ulasan