SEJAUH mana kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun ini terus menjadi tanda tanya apabila sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Biarpun Hong Kong beraksi 10 pemain di penghujung babak kedua, skuad kendalian Datuk K Rajagobal terpaksa berputih mata apabila jaringan Mohd Safee Sali berjaya dipadam pemain gantian, Lam Hok Hei.
Turun dengan harapan menamatkan badi dua kekalahan berturut-turut ke atas Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2 dalam aksi pemanas badan sebelum ini, skuad kebangsaan terpaksa menunggu hingga minit ke-16 untuk menguji kubu pasukan pelawat.
Norshahrul Idlan Talaha mengatur gerakan dari sebelah kanan sebelum mengumpan bola kepada gandingan serangannya, Safee yang melakukan sepakan gunting tapi sedikit tersasar.
Penguasaan bola yang lemah sambil beberapa hantaran kurang tepat membenarkan Hong Kong yang dikendalikan Kim Pan Gon mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
Percubaan penyerang Lee Hong Lim pada minit ke-40 tersasar di tepi jaring dan sepakannya di depan pintu gol pula berjaya dihalang Mohd Fadhli Shas ketika penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas untuk kedudukan kekal 0-0 pada babak pertama.
Keresahan lebih 5,000 penyokong yang hadir meniupkan semangat skuad kebangsaan akhirnya reda apabila pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Safee menanduk masuk gol pertama pada minit-58 selepas mendapat hantaran Amar Rohidan.
Hong Kong tertekan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Lee Chi Ho menerima kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil, Suhaizi Shukri pada ke-80.
Namun kelebihan yang ada disia-siakan sebaliknya Hong Kong berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-88 apabila Lam Hok Hei menghukum kesilapan Aidil Zafuan Abd Radzak yang menolak bola lemah ke belakang sebelum menewaskan Khairul Fahmi di gawang.
Rajagobal kini hanya memiliki satu lagi aksi pemanas badan menentang Bangladesh di Stadium Shah Alam pada 20 November sebelum turun pada perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF berdepan Singapura 5 hari kemudian di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14
0 ulasan:
Catat Ulasan