PENGUASAAN negara dalam sukan badminton perlu dipergiat dan terus diperhebat supaya Malaysia mempunyai barisan pemain pelapis yang setaraf dengan jagoan sukan itu seperti masa lalu.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sukan badminton kini berkembang dan membawa faedah besar kepada negara dengan lahirnya barisan pemain berwibawa seperti Datuk Lee Chong Wei.
Namun, sejak kebelakangan ini sukan badminton memaparkan detik kemerosotan menyebabkan program bagi melatih pelapis sukan itu perlu dilakukan.
"Jika ditinjau, era 1950-an dan 1960-an adalah zaman kegemilangan badminton di negara kita dengan barisan pemain negara beberapa kali berjaya merebut Piala Thomas serta Kejohanan Badminton Seluruh England.
"Nama besar seperti Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Tan Aik Hwang, Silvia Ng, Misbun Sidek dan Jailani Sidek begitu terkenal di negara ini dan di arena antarabangsa.
"Kini, Malaysia memang boleh maju dalam apa jua sukan andai masyarakat komited memainkan peranan aktif dalam sukan diceburi," katanya ketika berucap melancarkan Kem Badminton Astro di Dewan Persatuan Badminton Johor di sini semalam.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan.
Rosmah berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memberi dorongan sekali gus menggalakkan anak masing-masing menceburi sukan ini dengan aktif.
"Nasihatilah anak supaya memperuntukkan masa dalam aktiviti sukan sejak di bangku sekolah. Berilah sokongan moral dengan menghantar mereka ke tempat latihan, menemani dan menyaksikan mereka berlatih atau bertanding.
"Dalam hal ini, ibu bapa harus sedar aspek kecemerlangan akademik dan juga sukan, kedua-duanya penting kepada anak," katanya.
Rosmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, jika ibu bapa menyokong penuh minat anak, negara mampu melahirkan pemain pelapis yang bakal mengharumkan nama ibu bapa serta negara.
Sehubungan itu, beliau berharap, Kem Badminton Astro ini mampu menjadi platform meneruskan kegemilangan sukan badminton Malaysia dengan melahirkan pemain pelapis.
Menurut Rosmah, menerusi program itu, kem itu akan menjelajah ke enam negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk membuat pemilihan peserta yang akan diadili jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain negara.
"Selepas dipilih, peserta diberi latihan intensif setiap hujung minggu di Stadium Juara, Kuala Lumpur dan seterusnya mereka yang berpotensi akan mewakili negara ke perlawanan persahabatan dengan Kelab Badminton Remaja Korea di Korea Selatan."
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11
0 ulasan:
Catat Ulasan