KOMBINASI muka baru dan lama menjadi taruhan Datuk K Rajagobal bagi membawa misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF yang akan bermula esok.
Selepas menggugurkan tiga pemain semalam, pengendali negara itu cukup yakin 22 pemain yang disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya adalah terbaik dimilikinya.
Pemain yang terpaksa diketepikan pengendali negara itu adalah penyerang, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, pertahanan tengah, Irwan Fadzli Idrus dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.
Ketiadaan Zaquan yang mengalami kecederaan lutut ketika Malaysia seri 1-1 dengan Bangladesh Selasa lalu memberi ruang untuk penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri membuat penampilan pertama di kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.
Sementara Irwan dan Izham pula gagal merebut tempat bersama skuad Harimau Malaya.
Rajagobal yang ditemui selepas sesi latihan semalam yakin pemain terpilih kali ini adalah yang terbaik dengan separuh pemain daripada skuad juara dua tahun lalu.
"Ini adalah barisan pemain yang saya fikir terbaik untuk bersama dalam skuad kebangsaan bagi kejohanan kali ini. Saya memilih pemain dengan melihat kepada semua posisi. Selepas Zaquan cedera saya tidak boleh memanggil pemain lain kerana masa sudah tidak cukup.
"Hazwan sebelum ini pernah bermain dalam skuad kebangsaan, dia memiliki potensi dan menjaringkan tiga gol ketika menentang Sri Lanka. Saya rasa Hazwan pemain paling sesuai untuk mengambil tempat Zaquan kerana dia boleh bermain di posisi sayap kanan dan penyerang," katanya.
Kehadiran Hazwan melengkapkan senarai 12 pemain baru yang bakal tampil buat kali pertama pada Piala AFF manakala bakinya adalah tonggak utama yang menjulang trofi edisi 2010 di Jakarta, Indonesia termasuk gandingan penggempur utama, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
Bagaimanapun Rajagobal menegaskan, semua pemain berpeluang merebut tempat dalam kesebelasan utama pada perlawanan pembuka tirai menentang musuh tradisi Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Pertemuan dengan Singapura mempunyai tradisi, rekod perlawanan sentiasa sengit. Walaupun kita menang aksi persahabatan sebelum ini, ia tidak boleh dijadikan ukuran. "Kejohanan kali ini berbeza tapi Singapura mempunyai ramai pemain yang beraksi pada edisi 2010. Mereka mempunyai kelebihan dari segi pengalaman. Saya mahu semua pemain serius bagi perlawanan dengan Singapura."
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23
0 ulasan:
Catat Ulasan