"TIADA sebarang gangguan dan pemain kini fokus untuk menentang Singapura". Itu kenyataan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 bermula malam ini.
Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, pemain kini tidak terganggu dengan sebarang perkara yang berlaku di luar padang terutamanya masalah kontrak membabitkan penyerang paling bernilai Liga Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol utama Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan.
"Saya tahu Norshahrul dan Khairul Fahmi fokus kerana melihat sendiri persembahan mereka setiap hari dalam latihan. Mereka sedar kepentingan untuk fokus sepenuhnya pada perlawanan malam esok (malam ini). Persembahan yang bakal dipamerkan menentang Singapura akan menentukan sama ada mereka fokus atau sebaliknya," katanya pada sidang media semalam.
Dua pemain Kelantan itu antara tonggak negara yang menjulang kejuaraan edisi 2010 dengan Norshahrul kini masih belum menemui jalan penyelesaian sepenuhnya untuk berhijrah ke Johor manakala Khairul Fahmi pula membuat pengumuman mengejut apabila mengaku akan berkahwin pada 28 Disember.
Rajagobal turut menolak kebimbangan terhadap kemarau jaringan Norshahrul ketika gandingannya, Safee Sali tampak sudah kembali pada tahap terbaik selepas menamatkan kemarau jaringan untuk skuad kebangsaan dalam tempoh hampir setahun.
"Saya tidak bimbang, apa yang membimbangkan saya adalah perlawanan esok (malam ini)," katanya ketika ditanya mengenai Norshahrul yang sudah beberapa kali ketandusan gol di pentas antarabangsa.
Situasi itu turut menyumbang kepada keputusan hambar skuad negara dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini namun Rajagobal tetap mempunyai beberapa pilihan andai mahu menambahkan sengat terutamanya dengan kehadiran penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri.
Mengenai aksi menentang juara tiga kali, Singapura, Rajagobal berkata, mereka saling mengenali antara satu sama lain dan menolak andaian akan ada banyak kejutan yang bakal diberikan lawan.
"Namun bagi saya sama ada lawan akan memberikan kejutan, keutamaan saya adalah pasukan sendiri dan kami akan turun menentang mereka dengan keyakinan tinggi." Malaysia perlu meraih tiga mata dalam aksi pembukaan menentang Singapura bagi memastikan tiket ke separuh akhir lebih awal dapat ditempah dengan Laos menunggu pada perlawanan kedua dan Indonesia yang juga naib juara edisi 2010 menanti pada 1 Disember bagi melengkapkan saingan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24
0 ulasan:
Catat Ulasan