Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Apa sudah jadi Rajagobal?

Posted:

Apa sudah jadi Rajagobal?

Apa sudah jadi Rajagobal?

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan AHMAD FAZLI MOHD.YADI
sukan@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (dua dari kanan) berbincang sesuatu dengan pengurus pasukan, Datuk Subhan Kamal (kiri) selepas skuad Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Singapura semalam.


SKUAD 'eksperimen' pun tewas, inikan pula ujian sebenar. Ternyata, reputasi selaku juara bertahan Piala Suzuki AFF hanya tinggal sejarah buat Malaysia apabila gagal dalam ujian sulung kempen kali ini sebaik 'dikerjakan' Singapura 0-3 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Dua gol ledakan kapten Singapura, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta jaringan lewat Aleksandar Duric pada minit ke-75 sudah cukup untuk menyedarkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal supaya kembali 'berpijak di bumi nyata' andai mahu kekal bergelar juara kali ini.

Apa yang pasti, alasan Rajagobal yang kononnya sekadar tampil dengan skuad 'eksperimen' ketika melakar beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam siri persahabatan sebelum ini benar-benar terjawab malam tadi apabila anak-anak buahnya masih 'kekeringan idea' memburu jaringan.

Lebih mengecewakan, ribuan penyokong di stadium dilihat menjerit melaungkan 'Rajagobal, apa yang engkau buat?' sebaik perlawanan berakhir sebagai tanda protes terhadap persembahan hambar skuad negara malam tadi.

Biarpun tidak seteruk seperti mana dibelasah 1-5 Indonesia dalam edisi dua tahun lalu, apa lagi alasan yang cuba diterjemahkan Rajagobal kali ini memandangkan Harimau Malaya sepatutnya tampil memelihara maruah selaku tuan rumah edisi kali ini.

Harimau Malaya terlebih dahulu bermula garang seawal minit ketujuh namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan Singapura berjaya ditepis penjaga gol lawan, Mohamad Izwan Mahbud.

Sorakan lebih 50,000 penyokong Harimau Malaya sekali lagi bergema pada minit ke-19 namun rembatan Norshahrul sekadar melambung tinggi sebelum Mohamad Izwan sekali lagi berjaya menangkap kemas sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim empat minit kemudian.

Di sinilah 'malapetaka' Harimau Malaya bermula. Keghairahan tuan rumah memburu gol awal akhirnya dihukum Shahril yang tenang menyempurnakan hantaran jauh Shaiful Esah Nain pada minit ke-32 untuk gol pembukaan Singapura.

Shahril sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' Malaysia apabila menggandakan kelebihan Singapura lima minit kemudian.

Gol itu berpunca daripada kesilapan bakal 'Raja Sehari', Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menumbuk kemas sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum percubaan Mohd. Fadhli Shas mengeluarkan bola daripada atas garisan gol juga tidak menjadi apabila pantas disambar Shahril untuk gol kedua Sang Singa.

Biarpun kemasukan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sebaik babak kedua bersambung dilihat menyuntik corak serangan Harimau Malaya, ketumpulan jentera penyudah negara masih mengundang amarah ribuan penyokong di stadium dan juga di rumah apabila berkali-kali mensia-siakan peluang keemasan bagi merapatkan kedudukan.

Peluang terbaik Malaysia memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada minit ke-69 namun Safee Sali gagal menyambut hantaran Wan Zack biarpun Izwan sudah tertewas.

Percaturan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic memasukkan Duric selaku pemain gantian juga menjadi apabila kuda tua itu tenang menanduk masuk gol ketiga lawan pada minit ke-75 hasil kelam-kabut di depan pintu gol negara sekali gus melengkapkan mimpi ngeri Harimau Malaya.

Apa yang pasti, anak-anak Rajagobal wajib bangkit ketika berdepan Laos, Rabu ini jika tidak mahu 'berputih mata' ditunjukkan jalan keluar lebih awal kali ini.

Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan Laos berjaya mengikat naib juara edisi 2010, Indonesia 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B petang semalam.

Gol-gol Laos dalam perlawanan itu diledak menerusi sepakan penalti Khampheng Sayavutthi pada minit ke-26 dan Keoviengpheth Lithideth (79) sementara Raphael Guillerm Maitimo dan Vendry Ronaldo Mofu pula masing-masing mencetak satu gol buat Indonesia pada minit ke-42 dan 89.

Kedua-dua pasukan juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam melayangkan kad merah kepada penjaga gol Garuda, Endra Prasetya dan juga pemain Laos, Sopha Saysana pada pertengahan babak pertama gara-gara kekasaran melampau terhadap pemain lawan.

Koo-Tan terus kempunan

Posted:

Koo-Tan terus kempunan

Koo-Tan terus kempunan

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


GANDINGAN Kien Keat (kanan) dan Boon Heong sekadar muncul naib juara pada Terbuka Hong Kong semalam.


BEREGU utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terus kempunan untuk merangkul gelaran juara tahun ini.

Semalam, Kien Keat-Boon Heong terlepas peluang terbaik untuk melakukannya buat kali pertama selepas hampir tiga tahun apabila kecundang pada aksi final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong 2012..

Meskipun tampil selaku pilihan pertama pada kejohanan kali ini, Kien Keat-Boon Heong tetap gagal menyaingi kehebatan beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng apabila tunduk 21-16, 21-17.

Sebagai rekod, ia merupakan kekalahan ke-11 Kien Keat-Boon Heong di tangan Cai Yun-Haifeng dalam 15 pertemuan.

Kekalahan itu juga menyaksikan beregu No. 2 dunia itu terus kemarau untuk bergelar juara dalam kejohanan bertaraf Siri Super sejak kali terakhir melakukannya pada Terbuka Malaysia 2010.

Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her tetap berpuas hati dengan prestasi yang telah dipamerkan Kien Keat-Boon Heong pada aksi menentang Cai Yun-Haifeng semalam.

"Pada set pertama bila Kiet Keat-Boon Heong mendahului perlawanan, Cai Yun-Haifeng sekadar beraksi secara bertahan bagi memberi kepenatan kepada Boon Heong.

"Pada set kedua pula, kita memang sudah ada tekanan dan bila Cai Yun-Haifeng melakukan serangan, saya minta Kien Keat-Boon Heong sekadar bertahan dahulu dan menyerang kemudian.

"Kita cuba kejar tetapi sukar kerana Cai Yun-Haifeng sudah mendahului perlawanan agak jauh. Apa pun, saya berasa Kien Keat-Boon Heong telah memberi satu persembahan yang baik," kata Kim Her ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai lalu, ia merupakan gelaran naib juara ketiga buat Kien Keat-Boon Heong selepas turut melakar pencapaian yang sama pada Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark.

Terdahulu, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei gagal dalam misi merekodkan kejuaraan ketiga pada Terbuka Hong Kong apabila dia tewas kepada bintang muda China, Chen Long pada aksi final semalam.

Pada aksi tersebut, Chong Wei terpaksa akur apabila tewas 19-21, 17-21 dalam tempoh 57 minit.

Bagaimanapun, kekalahan Chong Wei kali ini tidak mengejutkan kerana dia sememangnya sudah dijangka akan bergelut untuk mencapai tahap prestasi terbaiknya.

Ini kerana, Terbuka Hong Kong kali ini merupakan aksi pertama Chong Wei di pentas antarabangsa selepas berehat hampir tiga minggu bagi membuat persiapan perkahwinannya dengan bekas ratu badminton negara, Wong Mew Choo yang telah berlangsung dua minggu lalu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 itu pernah bergelar juara Terbuka Hong Kong pada 2009 dan 2010.

Cheras Perdana juara

Posted:

Cheras Perdana juara

Cheras Perdana juara

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
Ikhsan.azmi@kosmo.com.my


PEMAIN Cheras Perdana (kiri) melakukan libasan ketika menentang regu MPSJ Bentara pada perlawanan akhir semalam.


MASIH berbisa. Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk diberikan kepada tiga bekas pemain sepak takraw negara yang membawa nama kelab Cheras Perdana ketika memenangi kategori terbuka Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Ismail 2012 Siri Kelima semalam.

Kejayaan itu hadir selepas regu yang dibarisi Ahmad Sufi Mohamed Hashim, Mohd. Arif Busu dan Mohd. Azmi Abdul Kadir menewaskan MPSJ Bentara C 15-13, 15-13 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat AU2, Kuala Lumpur.

Meskipun menghadapi saingan yang hebat pada kejohanan tersebut, Sufi mengakui pengalaman bersama skuad negara selama enam tahun telah banyak membantu dia menyerap sebarang tekanan sepanjang perlawanan tersebut.

"Beraksi untuk negara sejak 2006 hingga 2011 memang banyak membantu rentak permainan kami hari ini (semalam). Kemenangan ini boleh dikatakan sebagai kejutan kerana kami tidak membuat persiapan yang rapi.

"Saya bersyukur kerana kombinasi ini tidak menunjukkan sebarang masalah dan setiap kesilapan yang dilakukan, kami segera memperbaikinya dengan cara berkomunikasi.

"Kami akan sentiasa berkomunikasi walaupun ketika sedang berlawan dan saya percaya inilah kunci kepada keserasian regu ini untuk terus kekal fokus," kata pemain berusia 25 tahun itu .

Arif pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada 2007 hingga 2009 sebelum dipanggil semula setahun kemudian, manakala Azmi beraksi bersama skuad kebangsaan selama dua tahun bermula 2009.

Pengurusnya, Mohamad Yusop Busu, 30, berkata, dia gembira dengan kejayaan pertama yang dicatatkan kelab sepak takraw bimbingannya itu.

"Kami langsung tidak meletakkan sasaran sebelum menyertai kejohanan ini tetapi pemain tetap membuktikan yang mereka mampu melakukan kejutan.

"Saya lihat tahap kemahiran pemain hari ini (semalam) semuanya hampir sama tetapi tuah lebih berpihak kepada kami.

"Pengalaman sebagai bekas pemain negara juga menjadi kelebihan kepada ketiga-tiga pemain ini, terutamanya ketika mereka menyerap setiap tekanan ketika berlansungnya perlawanan," ujarnya.

Dengan kemenangan tersebut, Cheras Perdana membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta pingat emas, manakala MPSJ Bentara yang berada di tangga kedua meraih RM2,000 dan pingat perak.

Regu AUG A dan AUG C sekadar berkongsi di tempat ketiga apabila tewas pada pusingan separuh akhir, masing-masing menerima RM1,000 serta pingat gangsa.

Aksi final kategori veteran pula menyaksikan regu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) A muncul juara apabila menumpaskan regu Nurul Jannah dalam satu pertarungan sengit 15-9, 15-17, 15-5.

Dengan kejayaan tersebut, ATM menerima hadiah wang tunai RM2,000 beserta pingat emas, manakala Nurul Jannah membawa pulang RM1,000 dan pingat perak.

Tempat ketiga pula dikongsi regu Probiz dan PKNS yang masing-masing memperoleh RM500 serta pingat gangsa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan