Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sultan Ahmad Shah kecewa

Posted:

Sultan Ahmad Shah kecewa

Sultan Ahmad Shah kecewa

PEMAIN negara gigih berlatih sebagai persiapan terakhir menjelang kempen Piala Suzuki AFF yang membuka tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaya pada siri perlawanan persahabatan.

Menurut baginda, prestasi tersebut agak membimbangkan menjelang Piala Suzuki AFF 2012 yang membuka tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, baginda menyatakan kekecewaan itu ketika mengadakan pertemuan selama tiga jam dengan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

"Semalam (kelmarin), Sultan Ahmad Shah berjumpa dengan skuad kebangsaan dan mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama pemain serta turut meluahkan kekecewaan terhadap prestasi pemain yang ditunjukkan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Bagaimanapun, baginda masih yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan di bawah ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi Piala Suzuki AFF 2012 di Angkasapuri, Kuala Lumpur semalam.

Pada aksi persahabatan sebelum ini, skuad Harimau Malaya tumpas 0-1 kepada Vietnam, dikalahkan Thailand 2-0 dan masing-masing seri 1-1 ketika bertemu Hong Kong dan Bangladesh.

Hamidin percaya kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan skuad Harimau Malaya menjalani latihan dan memberikan kata-kata semangat di padang Wisma FAM kelmarin juga akan mendorong pemain menampilkan aksi terbaik pada kejohanan itu kelak.

Beliau juga berharap penyokong dan peminat bola sepak tempatan akan terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada kejohanan kali ini.

"Sudah tentu untuk meraih kejayaan, pasukan memerlukan sokongan daripada penyokong. Saya berharap sokongan itu diberikan sehingga ke perlawanan terakhir.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain, lebih-lebih lagi dengan peluang bermain di tempat sendiri, ditambah dengan sokongan rakyat Malaysia, tidak mustahil kita mampu merangkul kejuaraan," katanya.

Malaysia yang merupakan juara bertahan akan membuka tirai perlawanan Kumpulan B menentang Singapura, Ahad ini diikuti Laos (28 November) sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.

Kedah umum 21 pemain

Posted:

Kedah umum 21 pemain

Kedah umum 21 pemain

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


AKMAL (tengah) kembali menyarung jersi skuad Kedah musim depan.


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) semalam mengumumkan senarai 21 pemain dengan sebahagian besar pemain merupakan anak negeri termasuk bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang kembali semula menyarung jersi hijau kuning bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Kedah yang bakal beraksi dalam Liga Premier turut memanggil semula pemain import, Nelson Martin dari Chile yang pernah membantu skuad Kenari meranggul piala trebel bagi musim 2007/08 lalu.

Skuad bimbingan ketua jurulatih, Mario Tot itu juga bakal diperkuatkan dengan penyerang baharu dari Brazil, Chayene Mederiros Oliveiro Santos.

Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perubahan turut berlaku pada barisan pengurusan melibatkan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din yang diganti oleh Timbalan Presiden KFA, Datuk Jeffrey Low Hang Chow.

Katanya, Mario Tot akan dibantu oleh Antonio Siscis dari Croatia manakala Talib Saidi pula dilantik menjadi jurulatih penjaga gol menggantikan Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail.

"Dalam bola ini biasalah, ada turun naik bukan kita boleh menang selalu. Dulu kita juara sekarang orang lain pula juara.

"Saya harap lepas buat rombakan ini, kita dapat kenal pasti masalah pemain dan harap permainan mereka bertambah bagus," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Selain Akmal Rizal yang sebelum ini beraksi bersama Perak, Kedah turut diperkuat dengan 'ayam tambatan' mereka, kapten

Baddrol Bakhtiar dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, sekali gus menutup

desas-desus yang dua pemain itu bakal meninggalkan skuad 'Negeri Jelapang Padi' itu.

Pemain lain yang dikekalkan ialah Mohamad Muhaimin Mohamad, Mohd. Fiqry Md Isa, Khairul Helmi Johari, Mohd. Sabree Mat Abu, Fazliata Taib, Mohd. Faizal Abu Bakar, Abdul Hadi Abdul Hamid, Hattaphon Bun An, Wan Mohd. Syukri Wan Ahmad, Mohamad Syamim Alif Mohd. Sobri dan Muhammad Ridzuan Rumlee.

Skuad Kenari turut mendapatkan enam tenaga import tempatan iaitu dua dari Sabah melibatkan Mohd. Fariss Azlan Mat Isa dan Zuraindet Jumai selain Hariri Mohd. Safi (Terengganu), Wan Hossein Wan Abd. Ghani (Perak), Arman Fareez Mohd. Ali (Kuala Lumpur) dan Mohd. Shahrul Ezrain Shamsuddin (T-Team).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia, Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan negeri, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin berkata, KFA membuat perancangan untuk mengembalikan semula kecemerlangan bola sepak Kedah yang merosot tahun ini sehingga terpaksa beraksi dalam Liga Premier tahun depan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung KFA memberitahu, pihaknya memberi gaji yang cukup tinggi dengan empat pemain memperoleh gaji melebihi Menteri Besar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tahun ini KFA belanja RM200,000 sebulan dan tahun depan akan belanjakan RM400,000 sebulan. Tahun ini keseluruhan peruntukan adalah RM5.1 juta untuk semua pasukan bola sepak Kedah. Tahun depan keseluruhan peruntukan adalah RM8 juta dengan RM4.8 juta untuk skuad Liga Premier sahaja.

"Ini semua bagi memastikan kita dapat kembali ke Liga Super pada 2014," katanya.

Rajagobal belum panik

Posted:

Rajagobal belum panik

Rajagobal belum panik

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (tengah) belum mahu berasa panik meskipun skuad kendaliannya berdepan pelbagai kritikan ekoran aksi hambar pada perlawanan persahabatan.


"MEREKA (Harimau Malaya) tidak bermain semata-mata kerana saya tetapi mereka berhempas-pulas kerana ingin mengharumkan nama negara."

Demikian reaksi pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal ketika diminta mengulas mengenai prestasi semasa skuad negara sebelum mengharungi kejohanan Piala Suzuki AFF 2012 semalam.

Menurut Rajagobal, beliau sentiasa berbangga dengan barisan pemainnya yang terus gigih menjalani latihan dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu.

Jelasnya, beliau yakin anak-anak buahnya akan tampil dengan aksi lebih kemas serta bertenaga pada kejohanan tersebut.

Harimau Malaya akan memulakan kempen menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

"Sebagai jurulatih, saya perlu sentiasa memberikan motivasi kepada semua pemain saya.

"Kami pernah melalui detik sukar pada Sukan SEA (2009) dan Piala Suzuki AFF 2010.

"Mereka boleh menerima segala (pendapat) negatif tetapi saya percaya dengan pengalaman lalu, mereka akan kembali bangkit dengan mempamerkan aksi lebih bertenaga.

"Apa yang tak betul, saya tidak sesekali mengatakan ia bagus tetapi saya tetap yakin mereka perlukan 'sinar' (ketika menentang Singapura) pada Ahad ini," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Jurulatih berusia 50 tahun itu mengakui, pandangan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah bakal dijadikan suntikan moral buat pemain untuk mempamerkan aksi lebih konsisten.

"Kunjungan baginda amat dihargai oleh semua pemain skuad negara. Sepanjang penglibatan Sultan Ahmad dalam bola sepak tempatan selama 28 tahun, baginda sering memberikan perhatian kepada Harimau Malaya.

"Setiap pandangan dan nasihat baginda menjadikan kami lebih bersemangat dan sudah tentu keinginan kami untuk beraksi lebih kemas semakin berkobar-kobar.

"Pemain-pemain perlukan suntikan motivasi daripada seluruh rakyat terutama ketika berada dalam tekanan. Saya percaya mereka tahu untuk mengawal situasi tersebut.

"Selepas mendapat amanat daripada Presiden FAM serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya mahu mereka bersedia untuk berjuang pada kejohanan itu kelak," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan