Kosmo Online - Sukan |
Posted: Wajib menang, habis ceritaOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI
Itu misi 'hidup dan mati' Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok. Atas kertas, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal masih berpeluang mara ke separuh akhir sekiranya sekadar melakar keputusan seri, itu pun jika Laos berjaya mengejutkan Singapura dalam satu lagi aksi terakhir kumpulan di Stadium Shah Alam yang bakal berlangsung serentak malam esok. Ini kerana jumlah perbezaan jaringan masih berpihak kepada Harimau Malaya yang kini berkongsi tiga mata dengan Singapura, satu mata di belakang Indonesia manakala Laos pula hanya mengutip satu mata. Harapan skuad negara muncul juara kumpulan bagi mengelak bertemu Thailand dalam saingan separuh akhir nanti juga masih ada jika berjaya mengatasi Indonesia malam esok dengan syarat Singapura tersungkur di Shah Alam. Namun, ia sesuatu yang agak mustahil lantaran Singapura pastinya enggan memperjudikan nasib ketika berdepan dengan Laos nanti bagi memastikan mereka juga layak ke separuh akhir. Pada masa sama, kepantasan jentera serangan Laos yang diterajui Keoviengpheth Lithideth, Soukaphone Vongchiengkham dan Khampheng Sayavutthi ketika melakukan serangan kilat malam kelmarin juga sering kali 'melemaskan' benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohamad Fadhli Shas. Jika aksi kurang meyakinkan itu yang ditunjukkan Harimau Malaya ketika berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok, tidak mustahil 'malapetaka' bakal menanti mereka. Ini kerana Sang Garuda dilihat memiliki pemain yang jauh lebih pantas seperti Andik Vermansah dan Oktavianus Maniani seperti mana yang dibuktikan mereka ketika mengejutkan Singapura 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin. Analisisnya mudah. Harimau Malaya dilihat senang kehilangan fokus apabila terlalu ghairah menyerang selain mempamerkan persembahan yang 'tidak masuk akal' apabila gagal memecah kebuntuan mahupun ketika ketinggalan kepada lawan. Jadi, hanya kemenangan mampu menjamin slot Harimau Malaya ke separuh akhir berbanding bergantung kepada tuah di atas kertas semata-mata. Malaysia sewajarnya sedar hanya kemenangan ke atas Indonesia yang mampu memastikan peluang mara ke separuh akhir sebelum boleh berkira-kira sama ada mampu mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 kali ini. Lebih baik Malaysia belasah Indonesia terlebih dahulu sebelum mencongak lawan pada separuh akhir nanti. Bukan apa, pemain dan Rajagobal sepatutnya lebih arif betapa kegembiraan peminat selepas Malaysia mengatasi Laos malam kelmarin hanyalah bersifat sementara. Misi Harimau Malaya belum selesai. Maruah yang tercalar sebelum ini hanya boleh ditebus apabila berjaya menewaskan Sang Garuda. | |
Posted: Jangan ulang kesilapan mudah
DI sebalik kemenangan besar 4-1 ke atas Laos pada aksi kedua Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2012 kelmarin, ada sesuatu yang masih menggusarkan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal. Aksi kurang kemas yang dipamerkan skuad negara dilihat mampu menjelmakan 'malapetaka' jika ia diulangi ketika misi hidup dan mati berdepan Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok. Jurulatih berusia 56 tahun itu kecewa skuad negara masih melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan tersebut sehingga mempengaruhi corak permainan. Bekas pengendali Selangor dan Kelantan itu menggesa barisan pemainnya agar lebih bersedia serta fokus menjelang pertemuan penting menentang Indonesia nanti. "Saya memberitahu anak-anak buah saya, saya mahukan mereka beraksi dengan penuh bertenaga dan agresif serta dengan tempo permainan yang tinggi. "Kami bermula dengan baik pada permulaan permainan. Kami berjaya membuka jaringan untuk memberikan tekanan kepada Laos. "Kemudian, kami terus mengasak benteng pertahanan mereka, namun sekali lagi kesilapan mudah yang dilakukan oleh Safiq Rahim menyebabkan Laos berjaya menyamakan kedudukan. "Apabila kamu mendahului perlawanan, saya mahu pemain-pemain saya menutup ruang buat pasukan lawan dan sebab itu apabila mereka ketinggalan satu gol, mereka akan kembali menguasai permainan. "Kami sepatutnya 'membunuh' mereka pada separuh masa pertama tetapi barisan pemain saya hanya bangkit pada separuh masa kedua," katanya selepas perlawanan tersebut. Begitupun, Rajagobal mahu anak-anak buahnya melupakan kemenangan itu dan kembali fokus terhadap pertemuan menentang Indonesia nanti. "Kami berhak memenangi perlawanan ini, saya memuji kesungguhan semua pemain. "Cuma pada masa sama, kami tidak boleh mengulangi kesilapan mudah kerana ia boleh membawa padah kepada pasukan," katanya. Pada aksi tersebut, empat gol skuad negara dijaringkan oleh Safiq Rahim (15), Safee Sali (67), Wan Zack Haikal Wan Nor (75) dan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-79. Laos pula memperoleh gol sagu hati menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-38. Dalam pada itu, Rajagobal jelas gembira dengan pencapaian penyerang berbisa skuad kebangsaan, Safee Sali yang berjaya menjaringkan gol pertama pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara. Jelasnya, pemenang Kasut Emas edisi 2010 itu akan terus mempamerkan aksi cemerlang dalam usaha membantu skuad negara mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF selain mempertahankan maruah sebagai tuan rumah kejohanan bersama Thailand. "Gol kedua yang dijaringkan Safee sangat penting. Ini kerana gol itu berjaya melemahkan moral pasukan lawan selain mengubah suasana perlawanan. "Semua pemain harus diberikan pujian termasuk Wan Zack, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha yang masih mampu mempamerkan aksi cemerlang walaupun dia tidak begitu sihat. "Kini, persaingan pada peringkat kumpulan kembali terbuka dan semua pasukan mahu mencapai kemenangan. "Saya percaya mereka tidak mahu mendapatkan keputusan seri. Saya berharap kami dapat mengekalkan aksi terbaik ini. "Sebagai jurulatih, saya harus bersikap optimis," katanya. | |
Andik gentar berdepan Malaysia Posted: Andik gentar berdepan MalaysiaANDIK (kiri) mengakui gentar untuk berdepan pasukan TIDAK diketahui sama ada sekadar bermain psikologi ataupun tidak, penyerang Indonesia, Andik Vermansyah mengakui gentar untuk berdepan Malaysia bagi aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok. Pemain yang terkenal dengan jolokan 'Messi Indonesia' itu dijangka menjadi 'duri dalam daging' skuad negara lantaran memiliki larian deras di bahagian sayap serta kawalan bola yang mengagumkan. Namun, Andik mengakui bahawa bertemu Malaysia yang juga juara bertahan bukan satu perlawanan mudah buat mereka, tambahan pula perlawanan itu bakal menjadi penentu buat kedua-dua pasukan untuk menempah slot ke separuh akhir. Menurutnya, aksi menentang Malaysia di depan penyokong tuan rumah pastinya lebih sukar berbanding Singapura kelmarin. Pada aksi menentang Singapura kelmarin, Andik berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan lencong daripada jarak 25 meter mengatasi jangkauan penjaga gol Singa, Mohammad Izwan Mahbud pada penghujung babak kedua. Dia yang baru berusia 21 tahun dikatakan salah seorang pemain paling berbakat di Indonesia ketika ini, selain dikaitkan bakal menyertai sebuah pasukan di negara ini bagi mengharungi Liga Super musim depan. "Saya mengakui sangat penat ketika menentang Singapura tadi (kelmarin), namun kami berjaya menamatkan kemarau selama 15 tahun. Ia akan menjadikan kami lebih bersemangat ketika menentang Malaysia, Sabtu ini," katanya. Apa yang pasti, kelibat Andik yang mampu beraksi di bahagian sayap kanan dan kiri itu harus dirantai habis-habisan Mahalli Jasuli mahupun Zubir Azmi dalam pertemuan esok jika Malaysia tidak mahu berputih mata. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan