Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


AVB tolak Beckham

Posted: 01 Dec 2012 01:49 PM PST

LONDON: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menolak cadangan untuk membawa David Beckham ke White Hart Lane, meskipun mengakui dia masih seorang pemain hebat.

Berita itu pastinya mengejutkan penyerang Spurs, Jermain Defoe, yang sebelum itu memberitahu bahawa Beckham yang akan menyertai perlawanan terakhirnya bersama Los Angeles Galaxy hujung minggu ini, akan diterima menyertai kelab itu dengan tangan terbuka.


Tottenham cuba mendapatkan Beckham secara pinjaman dua musim lalu ketika musim rehat MLS tetapi tawaran itu tidak menjadi kenyataan biarpun bekas kapten England itu pernah berlatih di kelab utara London untuk enam minggu.

Villas-Boas mengakui bahawa biarpun pada usia 37 tahun, Beckham adalah pemain yang hebat tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan menawarkan sebarang kontrak kepadanya.


"Dia adalah seorang pemain yang hebat," kata pengurus Tottenham itu.


"Rentak permainan di Liga Perdana Inggeris begitu pantas dan dia mempunyai banyak pengalaman dalam mengharunginya.

"Dia memberi banyak sumbangan kepada bola sepak Inggeris. Itulah sebabnya semua orang tidak sabar menunggu ke mana haluannya selepas ini.


"Seronok jika dia kembali ke Eropah tetapi bukan di sini. Tidak, saya tidak fikir seperti itu." Selepas menang enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu Liga Juara-Juara di Old Trafford, Beckham sebelum ini menyatakan dia tidak berminat bermain dengan kelab ternama England kecuali Manchester United.

Bagaimanapun itu tidak menghalang Defoe daripada mengumumkan bahawa bekas pemain Real Madrid itu sepatutnya datang ke Tottenham.


"Dia boleh datang ke Spurs jika dia mahu, kami sedia menyambut kedatangannya.


"Dia adalah seorang pemain yang hebat dan saya fikir banyak menyumbang kepada sukan ini.


"Jika anda bercakap mengenai seseorang yang menyumbang segala-galanya untuk sukan ini dan masih mahu bermain dan menghadapi cabaran lain, masih mahu mencapai sesuatu sekali pun sudah mencapai segala-galanya, saya fikir dia seorang yang istimewa." -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02



Hope tetap fokus

Posted: 01 Dec 2012 01:48 PM PST

HOPE Solo meredakan drama yang menyelubungi kehidupan peribadinya, sewaktu dia bersiap sedia bersama pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat untuk perlawanan pertunjukan menentang Ireland.

"Hidup saya hebat. Hidup saya gembira," kata penjaga gol itu.


Hope membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan sejak berkahwin dengan bekas pemain NFL, Jerramy Stevens di Washington pada 13 November lalu, sehari selepas dia ditahan di sebuah parti kerana terbabit dalam keganasan rumah tangga. Hakim mengesahkan bahawa tiada bukti untuk menahan Stevens, tetapi perkara itu masih dalam siasatan.

Hope bercakap selepas menjalani latihan gimnasium bersama rakan sepasukannya di Jeld-Wen Field, Portland. Pasukan kebangsaan negara itu menentang Ireland, Rabu lalu dalam jelajah penghargaan AS selepas menjuarai Sukan Olimpik London dengan menewaskan Jepun, 2-1 di perlawanan akhir.


Pada perlawanan itu, AS membelasah Ireland 5-0 dan Alex Morgan tampil cemerlang dengan hatrik pada separuh masa pertama.


"Malang sekali apa yang dilakukan media adalah menghakimi sebelum maklumat sebenar diketahui. Sukar untuk dilihat, ia kebenaran yang pahit dan ia sebahagian daripada kehidupan," katanya.

"Saya gembira. Saya gembira dengan perkahwinan ini. Saya tidak bertolak ansur dengan keganasan rumah tangga. Saya tidak pernah dipukul sepanjang hidup saya." Hope melakar karier gemilang bersama pasukan kebangsaan, membantu pasukan untuk memenangi dua pingat emas Olimpik berturut-turut tetapi dia tidak pernah sunyi daripada perhatian. Daripada kritikannya di Twitter mengenai bekas rakan pasukan kebangsaan, Brandi Chastain ketika Sukan Olimpik London sehinggalah penampilannya dalam "Dancing with the Stars." Polis berkata bahawa mereka dipanggil kerana berlaku kekecohan di sebuah rumah di Kirkland, pinggir bandar Seattle pada awal pagi 12 November lalu.


Hope dan abangnya menyalahkan gangguan daripada tiga lelaki tidak dikenali.

Pegawai polis mempertahankan bahawa mereka mempunyai sebab untuk menahan Stevens kerana mereka mendapati ada bukti berlakunya pergaduhan termasuk luka di siku Hope, serta kenyataan bahawa kedua-duanya bergaduh, menurut maklumat mahkamah.


Pada hari berikutnya, Hope dan Stevens berkahwin, Hope, 31, memuat baik gambarnya yang tersenyum di sisi Stevens, 33 di Twitter dua hari kemudian.


Stevens dipilih menyertai Seahawks pada 2002 selepas beraksi cemerlang di Washington tetapi dia turut terbabit dalam kes di luar acara football Amerika, termasuk memandu dengan cuai kerana melanggar sebuah rumah penjagaan.


Musim terbaiknya di Seahawks adalah pada 2005 apabila pasukan itu menjuarai kejuaraan NFC.


Hope turut berpindah ke Washington. Kedua-duanya mula menjalinkan hubungan selepas Sukan Olimpik London.


"Seperti yang saya katakan, kami gembira dan itulah yang penting," kata Hope.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan