Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Larkin kecoh

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
sukan@utusan.com.my

SEORANG wanita pengsan akibat berasak-asak untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam kecoh apabila penyokong Johor Darul Takzim (JDT) berasak-asak sehingga menyebabkan seorang wanita cedera akibat dirempuh.

Kira-kira 3,000 penyokong mula membanjiri pekarangan stadium tersebut, termasuk ada yang sanggup tidur di hadapan kaunter jualan seawal pukul 12 tengah malam bagi mendapatkan tiket berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat juga penyokong yang pulang dengan tangan kosong apabila tiket habis dijual apabila kaunter mula dibuka pukul 8.20 pagi.

Atas beberapa sebab, kaunter jualan terpaksa ditutup beberapa kali ekoran kesesakan di hadapan empat kaunter yang dibuka selain jumlah tiket yang dikatakan tidak mencukupi.

Seorang penyokong, Nazarudin Samsudin, 44, berkata, dia yang berasal dari Pontian tiba di stadium pukul 12.30 tengah malam semata-mata untuk memastikan dapat membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir antara JDT dan Kelantan, esok.

"Saya sangka sayalah orang terawal yang tiba, tetapi sebaliknya apabila kira-kira 100 orang sudah berada di hadapan kaunter dan ada juga yang tidur di sini.

"Nasib baik saya dapat membeli tiket kerana ramai juga yang datang pada waktu pagi tidak dapat beli tiket kerana ia sudah habis," katanya.

Nasib berbeza dialami Mohd. Razli Mohamed, 19, dari Pasir Gudang yang terpaksa pulang dengan kosong apabila tiket yang dijual dua keping setiap seorang,kehabisan.

"Saya masih fikir cara untuk mendapatkan tiket dan mungkin akan pergi ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok (hari ini) untuk beli tiket di sana pula," katanya.

Mohd. Faiz mahu dakap trofi

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Mohd. Faiz Subri

KOTA BHARU - Pemain sayap lincah, Mohd. Faiz Subri mahu penampilan sulung di pentas final Piala FA, esok memberi tuah buat The Red Warriors mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Mohd. Faiz berkata, selain membantu Kelantan, dia turut mempunyai misi peribadi iaitu mendakap kejuaraan berprestij pertama dengan menjulang kejuaraan Piala FA.

Sekiranya diberikan kepercayaan untuk beraksi pada perlawanan tersebut, penyerang berusia 23 tahun itu bertekad untuk menampilkan persembahan bertenaga bagi membantu pasukan meraih kemenangan.

"Inilah peluang terbaik buat saya untuk mendapatkan trofi kejuaraan pertama buat diri saya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Selain itu, saya mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dengan membantu pasukan membawa pulang kejuaraan tersebut.

"Beraksi buat kali pertama di pentas final pasti mengundang rasa gemuruh, namun saya telah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi situasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, sebagai pemain dia perlu bersedia sepenuhnya untuk menggalas harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan penyokong dengan bermain bermati-matian pada perlawanan tersebut.

Pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu memilih untuk berhijrah daripada pasukan T-Team dengan menyertai The Red Warriors musim ini.

Meskipun bertubuh kecil, bekas penjaring terbanyak T-Team itu telah meledakkan lima jaringan bersama The Red Warriors dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

Larian deras, kemahiran individu yang tinggi serta gemar membuat rembatan dari luar kota penalti antara kelebihan pemain ini yang perlu diberikan oleh pihak lawan.

Sehubungan dengan itu, Mohd Faiz berharap rakan-rakan sepasukan dapat mempamerkan semangat juang tinggi bertemu dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) nanti.

Katanya, Johor DT bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan dan mereka memiliki ramai pemain berpengalaman.

"Begitupun saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk perlawanan ini. Harapan saya, agar penyokong dapat terus berdiri teguh di belakang kami sepanjang perlawanan berlangsung," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Penyokong JDT kecewa tiket habis

Posted: 26 Jun 2013 08:04 PM PDT

JOHOR BAHRU 27 Jun - Kira-kira 2,000 penyokong tegar Johor Darul Takzim kecewa selepas gagal membeli tiket perlawanan akhir Piala FA apabila ia habis dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini.

Para penyokong sejak pukul 12 tengah malam tadi telah berada di hadapan kaunter jualan tiket, namun kaunter hanya dibuka pukul 8.20 pagi sebelum ditutup pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, kaunter jualan tiket dibuka semula sejam kemudian namun tidak sampai lima minit ia ditutup semula apabila tiket yang disediakan sebanyak dua keping seorang itu habis dijual.

Meskipun keadaan kecoh seketika, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku dan pihak polis turut ditugaskan untuk mengawal ketenteraman. - UTUSAN

Fandi kecewa aksi anak buah

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

FANDI AHMAD

JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya yang gagal mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Felda United kelmarin meskipun bermain di laman sendiri.

Tegas Fandi, sesetengah pemain tidak beraksi baik dan gagal mengikut arahan yang diberikan sehingga menyebabkan pasukan pelawat berjaya mencuri satu mata pada pertemuan itu.

Menurut beliau, ada antara pemain tidak mempunyai semangat juang yang tinggi dan bermain mengikut emosi sehingga menjejaskan persembahan keseluruhan pasukan.

"Saya kecewa dengan keputusan ini, pemain kurang semangat dan kesungguhan. Kena guna akal untuk bermain, mereka seharusnya berikan 100 peratus atau 200 peratus apabila berada di padang.

"Ia bukan hari untuk kita, ia bukan mudah tetapi saingan masih belum tamat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Pada pertemuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin, Johor Darul Takzim sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Felda United.

Skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan pada minit ke-64 menerusi pemain gantian, Muhd. Haidin Azman sebelum pemain gantian Felda United, Rudie Ramli menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Fandi mengakui persembahan Johor Darul Takzim tidak konsisten sepanjang musim ini dan dengan keputusan yang dicatatkan itu menyukarkan lagi laluan mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Super.

Beliau berkata, para pemain seharusnya memperbaiki mutu persembahan mereka dan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan selain mengikut arahan yang diberikan.

"Dengan keadaan seperti ini, kemungkinan pada perlawanan terakhir akan menentukan pemenang. Kita memang tidak konsisten sepanjang musim tetapi saya percaya kepada keajaiban," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Johor DT sia-sia peluang, NS tergelincir ke Liga Perdana

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 pada saingan Liga Super menentang Felda United, tatkala pendahulu liga Lions XII juga menerima nasib yang sama ditambat 1-1 bertemu Perak.

Keputusan seri itu juga menyaksikan Johor Darul Takzim hilang tempat kedua kepada Selangor yang mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNS dari segi kelebihan jaringan.

Sementara itu, Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas mereka tewas 1-2 kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, meskipun tanpa enam tonggak utama, Johor DT masih mampu menguasai perlawanan dan pemain gantian mereka, Muhd. Haidin Azman menceriakan para penyokong apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-64 selepas menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan Roya.

Bagaimanapun, harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh berkecai apabila Felda United menyamakan kedudukan pada minit ke-83 selepas pemain gantian, Rudie Ramli berjaya menanduk masuk hantaran lintang Mohd. Azmi Muslim.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah berjaya menghalang hasrat pelawat, Lions XII untuk membawa pulang tiga mata penuh, Perak berada di depan pada minit ke-59 melalui Paulo Rangel namun Shahfiq Ghani berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Lions XII pada minit ke-77.

Berlaku sedikit kekecohan di penghujung perlawanan apabila pemain kedua-dua pasukan saling tolak-menolak antara satu sama lain.

Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 untuk melonjak ke tangga kedua namun mereka dikejutkan dengan jaringan tuan rumah, Nizad Ayub pada minit ke-14 sebelum Mohd. Raimi Mohd. Nor menambah dua gol pada minit ke-63 dan 70.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, pula Kelantan berjaya menumpaskan Pahang 2-0. Ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi menjaringkan gol pertama pada minit ke-45 dan gol kedua daripada Muhammad Zamri Ramli selepas pemain tersebut menyudahkan susulan rembatan rakan sepasukan Mohd. Nor Farhan yang berjaya diselamatkan oleh Khairul Azhar sebelum itu.

Keputusan lain menyaksikan ATM dan Terengganu seri 1-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, gol tuan rumah dijaringkan Christie Jayaselan pada minit ke-65 dan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-79 melalui, Farderin Kadir.

Penyokong Kelantan mengamuk

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

SEBAHAGIAN penyokong The Red Warriors memecah masuk pintu utama Stadium Sultan Muhammad IV selepas gagal membeli tiket di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Ribuan penyokong The Red Warriors yang berang merempuh pintu utama stadium selepas tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual dalam tempoh lima minit sejurus kaunter jualan mula dibuka 9.30 pagi, semalam.

Situasi tersebut menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong The Red Warriors yang kebanyakan mula beratur di kaunter jualan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli tiket tersebut.

Mereka yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disifatkan tidak berlaku adil dengan tindakan tersebut.

Seorang penyokong, Mohd. Hamdan Abdul Mutalib, 37, mempersoalkan bagaimana tiket tersebut boleh habis dijual dalam tempoh lima minit sebaik sahaja kaunter jualan dibuka.

Menurutnya, dia hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tiket mula dijual kepada penyokong mulai semalam.

Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku. Setiap kali Kelantan beraksi pada perlawanan akhir kejadian ini pasti berulang dan saya teramat kecewa dengan tindakan KAFA ini.

Selaku penyokong saya rasa tertipu dengan tindakan ini. Saya beratur seawal pukul 7 pagi semata-mata untuk mendapatkan tiket final, namun apa yang ada hanyalah tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang.

Tindakan KAFA berbuat demikian bukanlah sesuatu yang bijak. Tiket final sepatutnya dijual secara berasingan dengan perlawanan biasa, ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter jualan," katanya di sini, semalam.

Mohd. Hamdan mendesak KAFA memberikan penjelasan kepada penyokong berhubung insiden tersebut.

Seorang lagi penyokong, Nurul Azuan Zulkifli, 23, memberitahu apa yang mengejutkannya, ada beberapa individu yang bertindak sebagai ulat menjual tiket final dengan harga tinggi daripada harga asal.

Saya terkejut, bagaimana ulat boleh mendapat tiket-tiket final, sedangkan pengumuman yang dibuat pada pukul 10.30 pagi memberitahu tiket telah habis terjual.

Bukan itu sahaja, tiket tersebut dijual dengan harga antara RM45 hingga RM80 untuk sekeping," ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 1,000 penyokong Kelantan beratur panjang untuk membeli tiket final, bagaimanapun gagal selepas tiket berkenaan habis dalam tempoh lima minit.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


UMNO Tanah Merah edar tiket Piala FA hari ini

Posted: 24 Jun 2013 06:09 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Jun - UMNO Bahagian Tanah Merah akan mengedarkan secara percuma 4,000 tiket perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim mulai hari ini.

Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, tiket bagi menyaksikan perlawanan yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu ini boleh diperolehi di Perodua Noble Twin (M) Sdn Bhd di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur (bersebelahan LRT Jalan Jelatek) mulai pukul 10 pagi hingga 9 malam berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Beliau berkata, pemberian tiket itu sebagai penghargaan kepada anak-anak Tanah Merah khususnya penyokong Barisan Nasional (BN) yang memastikan parti itu memenangi kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Selain itu, saya berharap pemberian tiket ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka menyaksikan perlawanan hebat tersebut tetapi juga membangkitkan semangat untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Red Warriors," katanya.

Menurut Ikmal Hisham, pemberian tiket berkenaan dilakukan melalui kerjasama Persatuan Anak-Anak Tanah Merah Di Perantauan (PERTAMA) dan Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (PERMATA).

Katanya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Akmal di talian 013-2074241 atau 03-42577009. - UTUSAN

Ahli exco isi kerusi panas FAM?

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Azzuddin Ahmad (dua dari kiri) pada sidang akhbar taklimat Liga Malaysia musim lalu bersama Hamidin (dua dari kanan) dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud (kiri) pada Disember 2011.

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Azzuddin berkata, beliau menerima surat pelantikan tersebut bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel, daripada Presiden AFF Sultan Ahmad Shah semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada media yang telah memberi kerjasama dan bantuan kepadanya terutama dari segi liputan sukan bola sepak negara sejak menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM pada 17 September 2007.

"Saya mengambil iktibar daripada semua kritikan yang membina dan menerima semua kritikan negatif dengan hakikat bahawa dalam apa jua isu wujudnya pendapat dan fahaman yang berlainan.

"Seterusnya, saya memohon ribuan maaf sekiranya dalam (memegang) jawatan Setiausaha Agung FAM, saya terkasar bahasa dan tersalah laku terhadap mana-mana pihak," katanya yang berharap mendapat kerjasama dan bantuan semua pihak dalam jawatan baharunya kelak.

Sepanjang berkhidmat di FAM, Azzuddin pernah memegang beberapa jawatan penting badan induk bola sepak negara itu, antaranya sebagai Anggota Jawatankuasa Bebas dari 2000 hingga 2006, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (2001-2004) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil (April-September 2006).

Sebelum ini, Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin disebut-sebut sebagai calon pilihan dan dikaitkan dengan 'kerusi panas' yang akan ditinggalkan Azzuddin itu.

Namun, sehingga kini belum ada pengesahan daripada FAM berhubung perkara itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Akar umbi masih lemah

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

B. Sathianathan

SHAH ALAM - Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi seawal umur 12 tahun di negara ini perlu diberi perhatian serius jika negara mahu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti serta mampu mencabar di saingan antarabangsa.

Jika kata-kata bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan menjadi penilaian, sistem pembangunan bola sepak di negara ini mungkin perlu dikaji semula kerana masih ada kelemahan yang membelenggu para pemain muda di negara ini untuk memajukan corak permainan mereka.

Dia yang menjadi salah seorang penilai pada Kem Bola Sepak Junior Allianz dalam memilih tiga pemain yang akan menjalani latihan di Munich, Jerman mengakui beberapa aspek asas bola sepak oleh kebanyakan para pemain muda masih berada di tahap terendah.

Semuanya berpunca ekoran kekurangan perlawanan yang kompetitif dalam tempoh satu tahun dan itu menyukarkan mereka mengasah skil serta keupayaan di tahap terbaik.

''Jika saya mahu bercakap benar, lebih 100 remaja terdiri daripada mereka yang berumur di kalangan 14, 15 dan 16 tahun yang saya temui mengakui mereka hanya bermain sebanyak tiga atau empat perlawanan kompetitif sepanjang tahun.

''Situasi ini cukup berbeza semasa saya pergi ke Jepun, pemain yang sebaya dengan usia mereka beraksi lebih kurang 40 perlawanan dalam masa satu tahun, memang kita agak sedikit ketinggalan dalam soal ini.

''Pembangunan akar umbi di peringkat sekolah ternyata perlu dinilai kembali kerana jumlah perlawanan yang mereka lalui tidak mencukupi dan memang agak sedikit," katanya yang ditemui selepas pemilihan Kem Bola Sepak Junior Allianz 2013 di Padang SUK, semalam.

Sebagai bukti, Sathianathan berkata, beberapa perkara asas bola sepak di kalangan mereka yang hadir juga tidak sebaik mana ekoran kurang pendedahan bermain di peringkat tertinggi.

''Perkara-perkara asas seperti balingan bola juga ada kelemahan malahan mereka lebih gemar bermain secara hantaran jauh kerana tidak mahir menggunakan hantaran-hantaran pendek.

''Ini semua berpunca daripada kurangnya bermain perlawanan kompetitif di samping tiada jurulatih yang bertauliah membentuk mereka," katanya.

Pada pemilihan terakhir melibatkan 25 pemain yang turun menentang pasukan Bawah 17 tahun Selangor di Padang SUK, tiga pemain yang berjaya menempah tiket ke Munich adalah S. Thinparaj, Farid Asraf Kamarozaman dan Mohamad Syawal Rosman.

Mereka akan berangkat ke sana selama enam hari bermula 7 Ogos depan dan berpeluang menemui bintang-bintang Bayern Munich malahan dapat menyaksikan perlawanan secara langsung aksi kelab gergasi Jerman itu di Allianz Arena.

Tujuh lagi pemain lain yang berada di tempat keempat hingga sepuluh akan menyertai Kem Junior Bola Sepak Asia Allianz 2013 di Phuket, Thailand dari 28 hingga 30 Jun ini.

Seramai 1,200 peserta telah hadir pada sesi uji bakat yang diadakan di Padang Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Kuantan pada 15 Jun lalu dan Padang SUK.

Turut hadir Ketua Pegawai Esekutif Allianz Insuran Berhad, Jens Peisch dan dua bekas pemain kebangsaan, Shahrin Majid serta Rusdi Suparman yang bertindak sebagai sebagai hakim.

Hafizh rakam kejayaan podium kedua di Sepanyol

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Hafizh Syahrin menduduki tempat ketiga Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol CEV Repsol di Litar Albacete, semalam.

KUALA LUMPUR - Pelumba sensasi Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah kian mempamerkan kehandalan dengan menaiki podium keduanya bagi musim ini dalam pusingan ketiga Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol CEV Repsol di Litar Albacete, semalam.

Biarpun mengalami sakit otot lengan kanan, pelumba cekal Petronas Raceline ini yang layak bagi permulaan petak depan kelmarin, tetap mampu menduduki tempat ketiga selepas melengkapkan 20 pusingan.

Hafizh, 19, atau digelar El Pescao (Ikan Kecil) mencatat 31 minit 00.440 saat manakala Alejandro Marinelarena merangkul kejuaraan dengan 30'56.019s sambil diikuti oleh Roman Ramos di tangga kedua, 30'58.464s.

"Saya gembira meraih podium kedua di Albacete. Keadaan tampak baik sejak awal malah saya mampu mendahului bagi beberapa pusingan dengan dikejar rapat Daniel Rivas dan Ramos.

"Saya cuba menjauhi mereka namun kedua-dua penunggang itu cukup pantas jadi saya biarkan mereka melepasi supaya saya dapat mengambil nafas baharu.

"Sebaik sahaja mereka di depan, saya kekal bersama di situ dan kami saling mendahului beberapa kali.

"Saya berharap untuk mencapai kedudukan lebih baik kerana kederasan saya namun menuju penghujung perlumbaan, lengan kanan saya mula sakit dan saya tidak mampu mengasak lagi.

"Walau bagaimanapun saya cukup gembira dengan keputusan ini. Pasukan saya menjalankan tugas yang cemerlang jadi syabas kepada setiap orang," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lions pertahan rekod kebal

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Penyerang Johor Darul Takzim, Mohd. Aidil Zafuan melakukan percubaan ke gawang Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

SINGAPURA - Johor Darul Takzim (Johor DT) hampir meleburkan rekod kebal Lions XII di laman sendiri namun akhirnya terpaksa akur dengan jaringan penyamaan pasukan tuan rumah untuk seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.

Namun, Lions XII cemas sebelum memastikan rekod tanpa kalah di laman sendiri dapat dikekalkan apabila Johor DT mendahului menerusi jaringan Leonel Nunez pada minit kesembilan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Lions XII menggandakan asakan sehingga permainan agak tegang, menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepada Safiq Rahim pada minit ke-13.

Safee Sali yang membantah keputusan pengadil turut menerima kad kuning.

Skuad Fandi Ahmad hampir menggandakan jaringan menerusi gerakan Safee pada minit ke-22, namun percubaan pemain kebangsaan itu berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah, Nazrul Nazari.

Babak kedua lebih memihak kepada pasukan tuan rumah dan percubaan terbaik untuk jaringan penyamaan dilakukan Safuwan Baharuddin pada minit ke-78 namun percubaannya terlalu tinggi.

Safuwan akhirnya memastikan Lions XII mengekalkan rekod tanpa kalah apabila percubaannya menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Al Hafiz Hamzah pada minit ke-82.

Johor DT terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila Mohd. Aidil Zafuan dilayangkan kad merah pada minit ke-87, kerana mengkasari pemain lawan.

Keputusan itu tidak menjejaskan penguasaan Lions XII pada tangga teratas liga dengan 39 mata, diekori Johor DT dengan 35 mata.

Kebimbangan mengenai jerebu sebelum sepak mula semalam ternyata tidak menjejaskan perlawanan kerana keadaan jerebu di negara itu mulai reda sejak semalam.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur Kuantan, hasrat Pahang untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian apabila kalah 1-2 kepada Perak.

Perak, yang jarang melakukan serangan mengejutkan Pahang apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil rembatan Azlan Ismail pada minit ke-60.

Namun, Pahang menyamakan kedudukan hasil sepakan bebas Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-78.

Perak memastikan tiga mata penuh apabila Paulo Rengal menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81.

Sementara itu, pasukan tercorot, Negeri Sembilan terus malang apabila kalah 0-1 kepada PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban, hasil jaringan Nazmi Faiz Mansor.

Pemilihan terburuk - Kok Chi

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

Sieh Kok Chi (kiri) yang mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat MOM menerima ucapan tahniah daripada Tunku Imran Tuanku Jaafar selepas sesi pemilihan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Datuk Sieh Kok Chi menyifatkan cabaran yang dihadapinya ketika mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, adalah yang terburuk pernah dilaluinya.

Beliau yang mengekalkan jawatannya setelah mendapat 62 undi berbanding 36 undi oleh pencabarnya T. Kumar dalam sesi pemilihan MOM semalam berkata, beliau kecewa kerana terlalu banyak perkara yang dipolitikkan pada pemilihan kali ini.

"Sejak dua tahun lalu, saya diserang dengan pelbagai tohmahan tetapi semua tuduhan itu tidak ada bukti," katanya selepas pemilihan MOM di sini semalam.

Sesi pemilihan semalam turut menyaksikan Timbalan Presiden Datuk A. Sani Karim gagal mempertahankan jawatannya apabila meraih 44 undi berbanding pencabarnya, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim dengan 53 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden yang menyaksikan pertandingan lapan penjuru, lima pemenang dipilih iaitu Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif (87 undi), Datuk Low Beng Choo (83 undi), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (58 undi), Profesor Datuk Dr. Zakaria Ahmad (54 undi) dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (54 undi).

Jawatan Bendahari Kehormat dimenangi Yong Choo Kong (53 undi) manakala lawannya Ling Eng Chan 44 undi.

Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar kekal Presiden setelah tidak dicabar.

Kok Chi mendedahkan dia diserang dari setiap sudut dengan tujuan untuk menjatuhkannya, termasuklah didakwa menyalahgunakan kuasa dan dana MOM sehingga dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM).

Namun, katanya semua tuduhan itu gagal buktikan.

"Saya tidak perlukan wang MOM untuk jadi kaya. Kedudukan kewangan saya kukuh.

"Sepanjang bersama MOM, saya tak buat apa-apa kesalahan pun. Saya mendukung persatuan sukan kebangsaan. Kalau adapun kelemahan saya, biasalah saya juga manusia," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Amukan Kelantan

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my

Pemain Terengganu, Ismail Faruqi (kiri) hampir terjatuh akibat diasak pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. - utusan/Shaifudin Mohd Nor

KUALA LUMPUR - Selangor mencerahkan peluang untuk memburu kedudukan tiga teratas Liga Super apabila menumbangkan ATM 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Namun aksi di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu lebih mencuri tumpuan apabila Kelantan mengamuk belasah pasukan tuan rumah 4-0.

K. Gurusamy muncul wira Selangor apabila memastikan tiga mata buat Selangor apabila jaringannya pada minit terakhir masa kecederaan memastikan Red Giants terikat sama 33 mata dengan ATM.

Namun perbezaan jaringan masih memihak kepada ATM untuk kekal pada tangga ketiga Liga Super.

ATM tempang apabila beraksi dengan 10 pemain setelah Marlon Alex James diperintah keluar padang pada minit ke-35 kerana menerima kad kuning kedua.

Selangor memanfaat peluang tersebut dan mendahului lima minit kemudian hasil jaringan menakjubkan Mohd. Amri Yahyah yang bijak meloloskan diri daripada kawalan pemain ATM, Irwan Fadzli Idrus, sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Farizal Harun.

ATM masih mampu bangkit menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi penalti Bruno Martelotto, setelah pemain Selangor, Adam David Griffiths mengkasari Christie Jayaseelan di dalam kotak penalti.

Di Kuala Terengganu, hasrat Terengganu untuk menebus kehampaan setelah tersingkir pada separuh akhir Piala FA bukan sahaja tidak kesampaian tetapi dimalukan dengan kekalahan 0-4 kepada Kelantan.

Disaksikan hampir 10,000 penyokong sendiri dalam aksi pertama pada sebelah malam, Terengganu dibolosi seawal minit ke-11 menerusi Mohd. Badhri Radzi yang meledak sepakan lambung.

Kelantan semakin garang pada babak kedua apabila menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-46 hasil percubaan Dickson Nwakaeme.

Nwakaeme kemudian menjadi pencetus kepada gol ketiga Kelantan apabila melakukan hantaran kemas yang mudah disempurnakan Md. Norfarhan Muhamad pada minit ke-49.

Pemain sayap, Mohd. Faiz Subri melengkapkan malam derita skuad Penyu apabila rembatan derasnya gagal diselamatkan penjaga gol, Md. Sharmiza Yusof pada minit ke-55.

Hamidin Setiausaha Agung baharu?

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

KUALA LUMPUR - Ketika Datuk Azzuddin Ahmad hanya menunggu masa untuk memulakan tugasnya bersama Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), nama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin terus disebut sebagai calon pilihan untuk mengisi kerusi panas Setiausaha Agung FAM.

Hamidin yang ditanya mengenai khabar angin tersebut di sini semalam, bagaimanapun tidak mengiyakan perkara itu.

Menurutnya, biarlah persoalan itu disebut sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

"Itu cuma khabar angin (dilantik Setiausaha Agung FAM yang baharu), saya tidak boleh pengesahannya kerana itu semua terletak dalam bidang kuasa Presiden FAM.

"Minta maaf kerana saya tidak boleh menjawab persoalan anda, hanya Tuanku sahaja yang boleh menjawab namun baginda tidak dapat hadir hari ini.

"Saya tahu ramai wartawan datang mahu mendapatkan kesahihan daripada saya namun saya tidak boleh bercakap apa-apa, " katanya selepas taklimat dan perbincangan khas perlawanan akhir Piala FA di sini semalam.

Difahamkan Azzudin bakal berpindah pejabat barunya pada 1 Julai ini dan kekosongan jawatan itu akan diisi oleh Hamidin setelah mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

Selain Hamidin, seorang lagi yang turut disebut-sebut adalah Pengarah Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Windsor Paul John.

Jika Hamidin menggantikan Azzuddin, beliau perlu melepaskan beberapa jawatannya di FAM seperti Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan selain Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang disandangnya sejak 1995.

Hamidin antara orang lama di FAM dan berpengalaman luas dalam bola sepak.

Beliau turut mendapat sokongan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Saya sedia jumpa Khairy'

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR - Siapalah saya, saya boleh berjumpa sesiapa sahaja, itulah reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membalas hasrat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu bersemuka dengannya.

"Saya sedia berjumpa dengan sesiapa sekalipun, malah saya bersedia untuk berjumpa dengannya (Khairy) tidak kira atas apa perkara sekalipun," katanya pada sidang akhbar selepas bertemu pemain hoki kebangsaan dalam satu majlis di sini, semalam.

Kelmarin Khairy menegaskan bahawa beliau tidak mahu menjadikan surat khabar sebagai medium perantara antara dirinya dengan FAM.

Malah, beliau menolak pelawaan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk menjadi orang tengah antara kementerian berkenaan dengan badan induk bola sepak negara itu.

Khairy memberitahu, beliau lebih berminat untuk bertemu dengan pihak yang boleh membuat keputusan iaitu pucuk kepemimpinan tertinggi FAM.

"Itu hak dia, untuk berjumpa dengan sesiapa pun. Jadi dia yang membuat pilihan untuk berjumpa dengan orang tertentu kita tidak menetapkannya," tegas Tengku Abdullah.

Ditanya mengenai penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mempersoalkan wang berjumlah RM30 juta setahun yang diterima FAM menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia.

Tengku Abdullah berkata, soal dana tidak melibatkan beliau kerana perkara itu adalah kerja pengurusan kewangan FAM, malah setiap tahun audit akan mengeluarkan laporan kewangan.

"RM30 juta sebenarnya memang tidak cukup, malah Presiden (FAM) Sultan Ahmad Shah, terpaksa mengeluarkan duit sendiri. Harap ada Tan Sri, Datuk yang boleh menderma, sekali lagi saya jelaskan RM30 juta sememangnya tidak mencukupi.

"Soal kononnya skuad Harimau Muda A berlatih di Slovakia yang didakwanya untuk memudahkan pegawai dan isteri masing-masing melancong secara percuma, saya tidak berani membuat spekulasi, saya tidak terlibat. Tuding-menuding jari, tuduh-menuduh bukan cara saya," tegas Tengku Abdullah lagi.

Skuad hoki diingatkan perlu kekal fokus

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

KUALA LUMPUR - Kekal fokus, adalah kunci kepada kenyataan penuh bersemangat Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika memberi nasihat serta pembakar semangat buat pemain menjelang Liga Hoki Dunia minggu depan.

Menurut beliau, pemain, jurulatih dan dirinya sendiri perlu menanamkan iltizam agar kekal fokus untuk Kejohanan Liga Hoki Dunia yang akan bermula 29 Jun ini.

"Ada tiga benda yang saya ingin tekankan pertama adalah kekal fokus, kedua juga kekal fokus dan ketiga turut sama kekal fokus. Kekal fokus pertama ialah semua pihak perlu menganggap setiap perlawanan yang akan ditempuhi ibarat perlawanan akhir," katanya pada majlis bertemu pemain hoki negara di sini, semalam.

Jelasnya, kekal fokus kedua adalah melibatkan keadaan pemain itu sendiri iaitu perlu makan dan tidur dengan cukup, tidak boleh leka bermain permainan video, tengok Piala Konfederasi 2013 dan bermain telefon hingga lewat malam.

"Tolonglah, semua pemain pastikan mendapat tidur dan rehat yang cukup. Kekal fokus yang ketiga adalah kecederaan. Setakat ini kita tidak ada masalah tentang perkara ini, sedikit sebanyak ia menjadi pembakar semangat dan memberi gerun kepada pasukan lain.

"Pastikan kita beraksi untuk negara dan penyokong. Kita perlu melayakkan diri ke Piala Dunia, semua orang mempunyai peranan masing-masing, biarkan isu yang membelenggu kita sebelum ini lenyap begitu saya," katanya.

Kata Tengku Abdullah, semua pemain baik penjaga gol, pertahanan, penyerang dan tengah harus menyedari tugas masing-masing. Mereka perlu mendengar segala arahan jurulatih untuk mencari keputusan cemerlang.

"Jika berjaya beraksi dengan baik serta melayakkan diri, ada bonus menanti anda, malah pihak penaja juga turut serta akan datang kepada kita. Inilah yang saya harapkan pasukan dapat beraksi baik di sana.

"Kalau hoki kita menurun bermakna tugas saya gagal, tetapi saya tidak boleh melakukannya seorang diri saya perlu sokongan daripada semua pihak. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin banyak membantu kita, semua pihak berdiri di belakang kita sekarang ini.

"Semua harus bersatu, jurulatih, penolong jurulatih, pengurus dan pemain, saya harap lupakan segala desas-desus sejak kebelakangan ini dan fokus kepada Liga Hoki Dunia dan Piala Asia Ogos depan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mahu bersemuka Tengku Abdullah

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD dan MASZUREEN HADZMAN
sukan@utusan.com.my

PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) tidak mahu menjadikan surat khabar sebagai medium perantara antara dirinya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak mahu berkomunikasi dengan mereka melalui akhbar. Perbincangan tersebut perlu dilakukan secara bersemuka antara dua pihak kerana kita mahu bercakap soal masa depan bola sepak negara."

Bagaimanapun, Khairy memberitahu, beliau lebih berminat untuk bertemu dengan pihak yang boleh membuat keputusan iaitu pucuk kepimpinan tertinggi FAM.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai kesediaan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin untuk bertindak selaku orang tengah antara Kementerian Belia dan Sukan serta badan induk bola sepak negara itu bagi membincangkan pembangunan bola sepak Malaysia.

Namun, Khairy menegaskan, bukan beliau enggan untuk bertemu dengan Hamidin kerana Naib Presiden FAM itu juga merupakan sahabatnya.

"Tetapi adalah lebih mudah jika saya berbincang terus dengan kepimpinan tertinggi. Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pun boleh.

"Kalau dapat bertemu dengan Tengku Abdullah barulah kita dapat bincang dengan pihak kepimpinan yang boleh buat keputusan, kita hendak bincang soal bola sepak," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Sukan Malaysia ke-16 2013 di sini, semalam.

Sebelum ini, Khairy cukup lantang menyuarakan pandangannya mengenai perjalanan bola sepak negara yang tidak pernah dapat lari daripada pelbagai kemelut.

Justeru, beliau sebagai menteri telah menyuarakan kesediaannya untuk bertemu kepemimpinan tertinggi FAM bagi mencari resolusi terbaik dalam membantu membangunkan bola sepak negara.

Pemain hoki kembali bersemangat

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Paul Revington (kanan) kembali membimbing skuad hoki Malaysia yang menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR - Kejutan hujung minggu lalu harus dilenyapkan oleh setiap pemain hoki senior kebangsaan, sebaliknya tumpu kepada latihan dan bersiap sedia menjelang Liga Hoki Dunia yang akan bermula Sabtu depan.

Kegembiraan Paul Revington yang kembali melatih skuad hoki negara, perlu menjadi pembakar semangat buat pemain agar mereka mampu kembali fokus dan bersiap-sedia 100 peratus untuk mempamerkan permainan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Menurut Revington, dia amat gembira dengan semangat dan cara pemain mengawal situasi yang berlaku sejak kebelakangan ini, walaupun ia adalah satu bentuk kejutan yang tidak disangka-sangka.

Sabtu lalu, arena hoki Malaysia dikejutkan dengan berita tentang pengendali skuad hoki kebangsaan itu, Revington meletak jawatan atas alasan yang diberikan ialah jurulatih skuad remaja, Muhamad Dharmaraj Abdullah dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan sering campur tangan dalam skuad kebangsaan.

"Mereka berjaya mengawal situasi yang berlaku hujung minggu lalu dengan baik sekali, sebenarnya perkara ini sentiasa akan berlaku dalam kehidupan kita seharian namun adakalanya ia baik untuk persatuan dan orang disekelilingnya," katanya selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional semalam.

Jelasnya, dia sendiri gembira kerana dapat kembali melatih anak buahnya, walaupun mereka agak terkejut dengan tindakannya meletak jawatan minggu lalu.

"Pemain tahu bahawa mereka mempunyai tugas yang perlu diteruskan walaupun secara semula jadinya mereka tentu terkejut tentang isu ini. Sekarang semuanya dilihat kembali pulih seperti sediakala.

"Semua yang berada dalam kitaran hoki Malaysia, mula melenyapkan segala masalah dan saling bekerjasama. Saya pula kembali kepada tugas di mana saya pegang sebelum ini. Saya amat menyukai kumpulan pemain yang saya ada dan saya mempercayai mereka," katanya.

Revington berkata, ketiadaannya sebelum ini tidak mempunyai masalah buat pemain meneruskan latihan, kerana dia mempunyai penolong yang boleh diharapkan .

"Saya mahu memberi kredit kepada staf saya yang berkaliber, walaupun terlepas beberapa sesi latihan saya akan mendapat maklumat daripada penolong saya, Arul Selvaraj dan lain-lain. Terutama tentang dua lagi pemain yang bakal mengisi kekosongan dalam skuad ini di Liga Hoki Dunia," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Berdamai, tumpu tugas

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Semuanya dilihat kembali jernih, apabila Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengadakan pertemuan khas bersama pengurusan skuad hoki kebangsaan dan pasukan remaja, semalam.

Menurut Zolkples, pertemuan kali pertama dan pertentangan mata antara Paul Revington dan Muhammad Dharma Raj Abdullah berjalan lancar.

"Apa yang penting sekarang ini mereka berdamai secara ikhlas, saya tidak harap sampai berpeluk cium tetapi, masing-masing perlu jelas sekarang tentang tugas yang perlu diuruskan," katanya pada sidang media selepas pertemuan tersebut di MSN, semalam.

Sabtu lalu, arena hoki Malaysia dikejutkan dengan berita tentang pengendali skuad hoki kebangsaan itu, Revington meletak jawatan atas alasan yang diberikan ialah Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan sering campur tangan dalam skuad kebangsaan.

"Ia sama macam dalam institusi keluarga, adik dan abang selalu bergaduh, tetapi bila bergaduh tidak perlu memberitahu hal ini kepada jiran. Kalau boleh selesaikan secara dalaman. Saya juga memberitahu Revington tidak ada siapa yang mengatakan bahawa dia tidak bagus.

"Malah, bukan mudah untuk membawanya datang ke Malaysia, saya rasa lebih senang untuk mencari jurulatih bola sepak berbanding hoki. Ada di antara mereka yang mempunyai tugas dengan negara lain, kalau ada yang kosong pula harganya bukan murah," katanya.

Kata Zolkples, Revington juga bukan akan kekal sehingga 10 atau 20 tahun menjadi jurulatih skuad senior, mungkin selepas itu giliran Dharmaraj pula.

"Isu yang berlaku dalam dua tiga hari ini tidak baik untuk sukan hoki dan sukan negara secara keseluruhannya, saya juga rasa terkejut selepas pengumuman dibuat, namun apa boleh buat perkara sudah terjadi, kita hanya perlu mengawalnya agar tidak menjadi lebih buruk.

"Saya tidak mahu ia berlanjutan tatkala skuad senior sedang membuat persiapan untuk Liga Hoki Dunia, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan persediaan pasukan. Jadi lepas perjumpaan tadi saya minta semua pihak yang terlibat melupakan apa yang berlaku," katanya.

Tambahnya, mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas masing-masing, skuad senior, Liga Hoki Dunia untuk mencari slot ke Piala Dunia manakala skuad remaja pula bakal beraksi di Piala Dunia Remaja Disember ini.

"Saya minta mereka fokus kepada tugas tanpa memikirkan perkara luar, begitu juga dengan Lim Chiow Chuan, sekarang semua bersetuju dan sedia maklum akan teguran yang telah diberikan.

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah berjaya memujuk Revington meneruskan tugasnya sehingga ke Liga Hoki Dunia berakhir. Apa-apa perkembangan tentang khidmatnya akan diputuskan selepas itu," katanya.

Esok, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka akan bertemu dengan kedua-dua individu tersebut seterusnya menamatkan isu kontroversi ini yang membelenggu sukan hoki negara.

Revington beri reaksi positif

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

PAUL Revington diserbu wartawan dan jurukamera sejurus keluar dari bilik mesyuarat selepas mengadakan pertemuan dengan Zolkples di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. - Utusan/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR - Selepas mengelak memberi reaksi mengenai peletakan jawatannya, jurulatih skuad hoki negara, Paul Revington akhirnya bersuara dan melayan pertanyaan media.

Semalam, Revington akhirnya bersuara dan nada tersebut sangat positif selepas Sabtu lalu dia secara mengejut menghantar surat peletakan jawatan berkuat-kuasa serta merta.

Melalui satu emel yang dihantar kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Revington berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan jurulatih hoki remaja, K. Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan yang didakwa sering campur tangan semasa dia mengendalikan skuad kebangsaan.

Satu pertemuan khas diadakan antara pengurusan skuad kebangsaan, remaja dan Ketua Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong di MSN, Bukit Jalil sehari selepas Revington berjumpa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Revington, dia gembira dengan perjumpaan semalam dan semuanya berjalan lancar, serta menghargai segala sokongan dan layanan yang diberikan pihak media sepanjang isu tersebut berlaku.

"Saya masih belum berjumpa dengan pemain dan mungkin akan turun semula melatih mereka esok (hari ini), bagaimanapun saya gembira dengan perbincangan yang diadakan hari ini (semalam)," katanya.

Pertemuan tersebut berlangsung selama 40 minit dengan masing-masing diberi teguran dan penjelasan oleh Zolkples yang mahu mereka berdamai secara ikhlas dan menumpukan kepada tugas masing-masing.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Kelmarin, Khairy berjaya memujuk jurulatih itu menarik balik keputusan peletakan jawatannya dan akan terus membimbing pasukan sekurang-kurangnya sehingga Liga Hoki Dunia di Johor Baharu bermula 29 Jun ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington tarik balik

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Paul Revington menarik semula keputusan meletak jawatan selepas menemui Khairy dalam pertemuan tertutup di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA - Jurulatih skuad negara Paul Revington menarik balik keputusan peletakan jawatannya dan akan terus membimbing pasukan sekurang-kurangnya sehingga pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Baharu bermula 29 Jun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu di kementeriannya di sini, semalam.

"Saya rasa lega dengan keputusan itu sebab beliau telah kendalikan pasukan kebangsaan dengan baik, pemain pun menghormati beliau. Kita tidak mahu momentum pasukan kita untuk pusingan Liga Hoki Dunia terjejas," katanya.

Pada pertemuan 20 minit itu, Khairy berkata, Revington turut bersetuju untuk mempertimbangkan keputusan terus bersama skuad kebangsaan selepas pusingan Liga Dunia itu.

"Menurut persefahaman antara kami, beliau mungkin akan terus (melatih) juga selepas Liga Dunia itu, cuma saya perlu bincang dengan pihak lain yang terlibat sebelum membuat ketetapan untuk beliau kekal," katanya.

Khairy dalam pertemuan itu juga turut memaklumkan kepada Revington bahawa beliau akan secara peribadi menangani isu itu bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau turut meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong untuk meneruskan perjumpaan dengan MHC berhubung perkara tersebut yang dijangka akan diadakan esok di MSN.

"Saya tidak mahu tidak terlalu 'micro manage' perkara ini. Saya memahami pandangan dan kerisauan beliau (Revington). Mengenai masa depan beliau, kita perlu tangani dengan individu yang lain yang ada dalam persatuan," katanya.

Revington pada Sabtu lepas mendakwa wujud campur tangan dalam mengendalikan skuad kebangsaan terutamanya daripada jurulatih skuad jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhamad Dharmaraj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan yang mendorong beliau untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih hoki kebangsaan.

Revington adalah bekas jurulatih pasukan Ireland dan pernah memenangi anugerah 'Jurulatih Terbaik Dunia 2011' oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). - BERNAMA

Pemain mahu jurulatih kembali ke padang

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Mereka begitu teruja di dalam latihan, itulah penjelasan penolong jurulatih hoki kebangsaan, Arul Selvaraj mengenai anak-anak buahnya walaupun dikejutkan dengan peletakan jawatan jurulatih Paul Revington.

Menurut Arul, situasi sekarang ini terkawal, pemain sentiasa berusaha menunjukkan kemampuan terbaik mereka di dalam latihan, malah seolah-olah seperti tidak ada sebarang masalah berlaku.

"Paul sudah berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tetapi saya masih belum sempat berjumpa dengannya, hanya menghubungi melalui telefon sahaja, saya harap dapat bertemu dengannya malam ini," katanya kepada media selepas sesi latihan di Bukit Jalil, semalam.

Jelasnya, selepas melihat laman akaun Twitter Khairy, masalah tersebut semuanya sudah selesai, namun Arul menegaskan, dia tetap perlu berbincang untuk mengetahui sendiri situasinya sekarang.

"Memang ramai pemain yang kecewa dengan situasi ini, namun saya berulang kali mengingatkan mereka bahawa mereka mempunyai tugas yang lebih penting dan tidak perlu masuk campur hal luar.

"Tugas pemain adalah berlatih sekarang ini tinggal 10 hari lagi, menjelang Liga Hoki Dunia di Johor, inilah peluang terbaik untuk mereka melayakkan diri ke Piala Dunia. Jadi tidak perlu fikir benda yang tidak memberi manfaat," katanya.

Arul berkata, setakat ini dia akan terus mengendalikan latihan pasukan kebangsaan.

"Saya menyusun semua latihan, tidak ada sebarang arahan daripada Revington, saya sudah lama bekerjasama dengannya jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan dalam sesi latihan ini," kata Arul.

Sementara itu ketua pasukan, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah mengakui bahawa masalah yang melanda sekarang tidak melibatkan pemain, jadi dia dan rakan-rakan terus fokus di dalam latihan.

"Liga Hoki Dunia juga semakin hampir, walaupun ia sedikit terganggu di dalam latihan tetapi kami tetap meneruskannya, saya juga harap Revington kembali secepat mungkin.

"Dia seorang jurulatih yang bagus, memang amat rugi buat negara jika kehilangan jurulatih seperti itu," katanya.

Semalam, Khairy berjaya memujuk Revington menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih.

Pertemuan tertutup di Kementerian Belia dan Sukan di sini, turut membentuk persefahaman bahawa jurulatih dari Afrika Selatan itu akan meneruskan khidmatnya untuk sekurang-kurangnya separuh akhir Liga Hoki Dunia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Saya tak tahu apa-apa - Dharma

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Muhammad Dharma Raj Abdullah

KUALA LUMPUR - 'Saya tidak tahu apa-apa'. Demikian tegas jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah ekoran dakwaan jurulatih kebangsaan, Paul Revington bahawa dia campur tangan dalam urusan skuad senior.

Rasa tidak berpuas hati terhadap campur tangan Dharma Raj dikatakan mendorong Revington menghantar surat peletakan jawatan melalui emel kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kelmarin.

Dharma Raj yang mengulas dakwaan tersebut, ternyata bingung dan tidak faham dengan dakwaan yang dilemparkan oleh Revington.

Menurutnya, setakat ini belum ada wakil MHC yang memberitahunya secara terus mengenai tuduhan yang dimaksudkan Revington sebaliknya hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media di televisyen kelmarin.

"Tuduhan tersebut amat mengecewakan saya. Saya akan tanya dia (Revington) apa yang dimaksudkan dengan campur tangan saya dalam skuad kebangsaan. Saya akan mengadakan perbincangan dengannya Selasa ini (esok) bersama MHC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelas Dharma Raj, dia mahu tahu apa yang dimaksudkan dengan campur tangan dalam skuad senior, kerana ia adalah isu negara.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya dia langsung tidak melakukan perkara seperti yang didakwa Revington itu.

"Jika berlaku sedikit perselisihan fahaman, itu adalah perkara biasa, sama seperti ketika Tai Beng Hai menjadi jurulatih sebelum ini, kerana kami sentiasa tidak sependapat namun masing-masing mempunyai tugas dan pasukan sendiri yang perlu dijaga.

"Namun saya tidak pernah campur tangan, saya hanya buat kerja saya. Saya hairan macam mana boleh terheret sama dalam situasi ini," kata Dharma Raj.

Dharma Raj berkata, kalau ada pemain skuad kebangsaan yang tidak mengikut cakap Revington, kenapa perlu menyalahkan orang lain, sebaiknya perlu bertanyakan terus kepada pemain itu sendiri.

"Apa hak saya untuk mencampuri urusan orang lain. Saya tidak tahu-menahu dan baru pulang dari Korea Selatan, mengapa mereka menuduh saya sedemikian.

"Ada perkara yang kita tidak sependapat tetapi bukannya bermusuhan, dia ada caranya tersendiri, saya ada cara saya juga dalam membimbing pasukan, masing-masing mempunyai kerja untuk dilakukan," katanya.

Kelmarin melalui satu emel yang dihantar Revington kepada MHC, dia berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan Dharma Raj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan, yang didakwa sering campur tangan semasa mengendalikan skuad kebangsaan.

Namun, Pengerusi Kejurulatihan MHC, Majid Manjit Abdullah berkata, seramai 16 orang ahli jawatankuasa kejurulatihan belum bersedia menerima peletakan jawatan Revington.

Perkara itu akan di rujuk kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum kata putus akan ditentukan dalam mesyuarat Eksekutif MHC pada 30 Jun ini di Johor Bahru.

Zulfahmi kesembilan di Catalunya, Hafizh ke-18

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

Zulfahmi Khairuddin menamatkan GP Catalunya semalam pada kedudukan kesembilan setelah bermula dari petak ke-16.

KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin menduduki tempat kesembilan pada Grand Prix Catalunya, semalam untuk meraih tambahan tujuh mata bagi membolehkannya menghuni ranking ketujuh dalam senarai pelumba.

Penunggang Red Bull KTM Ajo itu naik satu anak tangga dengan mengumpul 40 mata selepas enam perlumbaan musim ini.

Pada saingan semalam, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu bertarung sengit dengan pelumba yang berada dalam kelompok kedua perlumbaan.

Bermula dari petak ke-16, Zulfahmi bekerja keras untuk melonjak ke kedudukan ke-11 sebelum terperangkap dalam kelompok kedua sepanjang saingan di Litar Catalunya.

Saingan sengit daripada penunggang Ongetta-Rivacold, Alexis Masbou, rakan sepasukan, Athur Sissis, Isaac Vinales (Ongetta-Centro Seta) dan Brad Binder (Ambrogio Racing) menyukarkan Zulfahmi untuk menduduki kelompok sepuluh teratas.

Ketika perlumbaan memasuki pusingan terakhir, Zulfahmi yang pada ketika itu jatuh pada tangga ke-14, berusaha memintas pesaing-pesaingnya sebelum melengkapkan perlumbaan 22 pusingan pada kedudukan kesembilan, ketinggalan 21.240 saat di belakang rakan sepasukan, Luis Salom yang menjuarai perlumbaan.

Salom dari Sepanyol menamatkan perlumbaan dengan masa 41 minit 15.331 saat, sementara pelumba Estrella Galicia, Alex Rins kedua dan ketiga milik Maverick Vinales dari Team Calvo.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang bersaing di atas tiket wild-card Moto2 menamatkan perlumbaan di tangga ke-18.

Catatan itu memperbaiki keputusan pada GP Perancis Mei lalu apabila penunggang Petronas Raceline Malaysia itu menduduki tempat ke-22.

Sementara itu, juara bertahan, Jorge Lorenzo mengurangkan kelebihan mata Dani Pedrosa pada tangga teratas pelumba kelas Motogp hanya kepada tujuh mata selepas memenangi saingan di Catalunya.

Lorenza memenangi perlumbaan dengan catatan 43:06.479s.

Ia merupakan kemenangan ketiga Lorenzo musim ini selepas saingan di Qatar dan Itali.

Pedrosa, yang meneruskan kejayaan menaiki podium kepada lima perlumbaan, mengekang asakan rakan sepasukannya dari Honda, Marc Marquez untuk menamatkan saingan pada kedudukan kedua manakala Marquez menduduki kedudukan ketiga.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS