Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Puvaneswaran puas

Posted: 14 Jan 2011 08:31 AM PST

SELEPAS lebih 16 tahun mengabdikan diri dalam sukan karate, R Puvaneswaran akhirnya tersenyum puas apabila namanya kini tersenarai sebagai Olimpian Lelaki Tahunan 2010, ketika dia sudah memutuskan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia sukan itu sebagai atlet.

Datuk Nicol David pula mengulangi pencapaiannya 12 tahun lalu apabila pencapaian membanggakannya di Sukan Asia dan Sukan Komanwel melayakkannya bergelar Olimpian Wanita Tahunan.


Puvaneswaran mengetepikan cabaran jaguh lumba basikal, Azizulhasni Awang, Alex Liew (bowling), Koo Kien Keat (badminton) dalam majlis anugerah Malam Olimpian ke-18 di Majlis Olimpik Malaysia, malam tadi.

"Saya rasa sangat gembira dan terharu sebab tidak pernah menang anugerah ini, apatah lagi pencabar saya begitu hebat. Anugerah ini saya tujukan untuk sukan karate dan saya bangga menjadi atlet pertama memenangi anugerah ini. Saya harap ia menjadi suntikan semangat kepada atlet baru dan yang masih bergiat dalam sukan ini," kata Puvaneswaran selepas majlis itu.


Dia yang mula beraksi di pentas Sukan Asia sejak 1994 di Hiroshima sehingga Sukan Asia 2010 Guangzhou mengumpul koleksi pingat gangsa di Hiroshima, perak di Doha 2006 serta pingat emas Busan (2002) dan Guangzhou, tahun lalu.


Bagaimanapun, penyertaan di Bangkok pada 1998 membawa memori duka untuknya apabila dibatalkan pada pusingan kedua berikutan menumbuk lawan di kerongkong secara tidak sengaja.

Kini, selepas menerima anugerah tertinggi sepanjang bergelar atlet, sudah pasti langkah untuk menjadi jurulatih seperti yang diidamkan selama ini, semakin hampir menjadi kenyataan.


Nicol, pemain skuasy wanita nombor satu dunia gah dengan rekod pingat emas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lalu serta membantu kemenangan acara skuasy berpasukan wanita di Guangzhou untuk mengenepikan cabaran jaguh terjun remaja, Pandelela Rinong dan Chai Fong Ying dari sukan wushu yang turut menyerlah tahun lalu.

Anugerah sama pernah diterimanya pada 1998 atas kejayaan merangkul emas dalam acara skuasy individu wanita di Sukan Asia Bangkok.


Nicol yang tidak hadir pada majlis itu kerana berada di Melbourne, menerusi rakaman video, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak meluangkan masa bagi memastikan kejayaannya selain berbangga menerima anugerah berkenaan.


Kedua-dua mereka menerima pingat serta wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Rekod kemenangan UniKL tercalar

Posted: 14 Jan 2011 08:28 AM PST

SELEPAS cemerlang melakar empat kemenangan berturut-turut pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia, UniKL akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Maybank di Stadium Tun Razak, semalam.

Tampil dengan reputasi gah membenam dua pasukan elit iaitu Sapura dan TNB di Stadium Azlan Shah, Ipoh, minggu lalu, skuad bimbingan Darren Smith gagal meneruskan rentak cemerlang ketika bertemu Maybank yang dilihat banyak bertahan pada babak pertama.


UniKL yang memperoleh lima pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan itu gagal memanafaatkan peluang terhidang apabila empat daripadanya gagal disempurnakan dengan baik oleh pemain import, Richard John Quin Patherick.

Kedua-dua pasukan dilihat lebih agresif pada babak kedua dengan menyaksikan Maybank bangkit daripada aksi membosankan pada separuh masa pertama apabila memperoleh empat pukulan sudut penalti, tapi seperti UniKL, anak buah Wallace Tan turut mensia-siakan semua peluang itu.


Pengurus UniKL, Amir Azhar Ibrahim ketika mengulas aksi anak buah Darren berkata, meskipun sekadar seri, beliau puas hati dengan persembahan setiap pemain.


"Aksi pemain sedikit terjejas apabila terpaksa beraksi ketika cuaca panas manakala Maybank sememangnya menampilkan persembahan luar biasa hingga memaksa kami bekerja keras sepanjang permainan," katanya.

Sementara itu, TNB yang tewas mengejut kepada UniKl minggu lalu, melakar kemenangan keempat selepas membenam Nur Insafi 3-0, semalam.


Gol TNB disumbang Muhamad Amin Rahim pada minit ke-34 hasil pukulan penalti manakala Faizal Saari menambah gol kedua hasil jaringan padang pada minit ke-53 selepas menerima hantaran cantik Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor.

Muhamad Amin melengkapkan kemenangan bergaya TNB apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-70.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen