Kosmo Online - Sukan |
Posted: Malaysia bantahINDONESIA membuat keputusan menggugurkan acara lumba basikal trek pada Sukan SEA 2011. MALAYSIA akan membantah tindakan hos Sukan SEA 2011, Indonesia yang membuat keputusan menggugurkan beberapa acara utama. Demikian jelas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi semalam. Menurut Kok Chi, Malaysia akan menyertai Singapura dan Laos untuk mengemukakan bantahan tersebut yang turut tidak bersetuju dengan tindakan Indonesia menggugurkan beberapa acara tetap selain mengurangkan bilangan acara pada Sukan SEA ke-26 di republik itu penghujung tahun ini. Kok Chi berkata, banyak persatuan sukan tempatan mahukan MOM memprotes tindakan Indonesia itu yang disifatkan akan menjadikan temasya di kalangan negara ASEAN itu menjadi acara sukaneka. Bagaimanapun, keputusan sama ada akan membuat bantahan rasmi atau tidak akan diketahui pada mesyuarat Ahli Majlis MOM, Sabtu ini. "MOM sendiri telah menghantar e-mel dua hari lepas kepada penganjur Sukan SEA 2011, Indonesia berkenaan pengguguran jenis dan acara sukan yang dilihat akan menguntungkan tuan rumah. "Saya mendapat tahu, rakan sejawatan dari Singapura dan Laos turut menghantar e-mel kepada penganjur berhubung rasa tidak puas hati negara masing-masing," katanya. Beberapa persatuan tempatan yang dihubungi semalam melahirkan rasa kurang senang terhadap tindakan Indonesia itu dan mahu MOM bertindak tegas. Indonesia yang akan menganjurkan temasya di Jakarta dan Palembang dari 11 hingga 25 November depan bukan sahaja mengugurkan acara tetap termasuk biliard dan snuker serta bola sepak wanita malah mengurangkan bilangan acara dalam sukan lain seperti acara menembak, lumba basikal dan pelayaran dan hanya bercadang mengadakan 43 jenis sukan dan 542 acara pada kejohanan itu. Acara menembak, contohnya, sebelum ini menawarkan 36 acara tetapi Indonesia hanya mempertandingkan sembilan acara sementara acara berbasikal trek langsung digugurkan. Kok Chi berkata, keputusan mesyuarat ahli majlis akan dibawa oleh tiga wakil MOM ke mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Bali pada 25 Februari ini. "MOM akan diwakili oleh tiga naib presidennya, Prof. Datuk W.Y Chin, Prof. Datuk Zakaria Ahmad dan Datuk A. Sani Karim," katanya. | ||
Posted: Rentak T-Team masih sumbangOleh MUSTAPA LAKAWA YUNUS (kanan) akan pastikan T-Team bangkit dalam usaha mengubah reputasi dalam liga. APA sudah jadi dengan pasukan T-Team? Sekalipun 'menang' dalam kontroversi melibatkan pembelian tiga bekas pemain Kelantan, namun kelab dari Terengganu itu masih kempunan untuk memenangi sebarang perlawanan setakat ini. Malah, reputasi skuad kendalian Yunus Alif itu juga semakin hari semakin tercalar selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan untuk menduduki tangga kedua tercorot liga. Persoalannya, adakah percaturan yang dibuat pengurusan tertinggi T-Team musim ini benar-benar tidak menjadi atau ada punca lain di sebalik prestasi memalukan itu? "Kami tidak menghadapi sebarang masalah, tetapi mungkin faktor terlalu kerap beraksi di gelanggang lawan sehingga menyebabkan pemain keletihan menjadi punca kami gagal bermain dengan baik," jelas Yunus kepada Kosmo! semalam. Bagaimanapun, Yunus tanpa mahu berselindung tetap mengakui bahawa psikologi para pemainnya ketika ini sangat terjejas. Katanya, tewas tiga perlawanan berturut-turut dan seri 1-1 dengan Kedah pada perlawanan pertama lalu bukanlah satu rekod yang baik untuk difikirkan oleh setiap pemain. "Semua kena ingat bahawa kami belum lagi bermain di gelanggang sendiri (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu) dalam empat perlawanan ini. "Jadi, ia sedikit memberi kesan kepada kecergasan pemain apabila kami perlu bertandang ke gelanggang lawan dalam tempoh masa yang singkat," katanya lagi. Menurut Yunus lagi, apa yang difikirkannya ketika ini adalah mencari kemenangan pertama bagi menyuntik semangat baru di kalangan pemain-pemainnya. Menambahkan lagi keyakinannya adalah berita kehadiran semula penjaga gol, Syamsuri Mustafa yang dijangka kembali mengisi posisi utama selepas tidak beraksi dalam empat perlawanan awal. "Saya tidak mahu mengulas mengenai prestasi satu-satu pemain walaupun saya akui pasukan ini memiliki ramai pemain berpengalaman. "Apa yang penting adalah kami perlu mencari kemenangan pertama yang mana ia akan menjadi titik kebangkitan kepada kami," ujarnya. Sesuatu yang menarik, Yunus mahu menjadikan juara Piala Malaysia, Kelantan sebagai mangsa pertama kepada kebangkitan anak buahnya apabila dua pasukan itu bertemu pada aksi awal Piala FA esok. "Kalau ikutkan jadual, kami akan bermain di gelanggang sendiri menentang Kelantan Khamis ini dan saya harap kami mampu meraih kemenangan," jelas Yunus. Awal musim ini, T-Team mencuri perhatian peminat apabila berjaya mengikat Indra Putra, Nor Farhan dan Azizi Matt Rose. | ||
Skuad lebuh raya bermula hambar Posted: Skuad lebuh raya bermula hambarDaripada AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI
KORAT, Thailand – Skuad lebuh raya negara bermula hambar pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 semalam. Pelumba remaja, Muhammad Syahriwan Mohd. Shari sekadar menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 15 pelumba yang bersaing dalam acara ujian masa individu lelaki junior di Universiti Teknologi Suranari. Ia dianggap keputusan di luar jangkaan selepas Syahriwan berjaya menduduki tempat keenam pada ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pada perlumbaan semalam, Syahriwan mencatat masa 50 minit 32.89 saat berbanding pemenang pingat emas dari Iran, Amir Kolahdooz (46:35.00s). Pinga perak pula dimenangi pelumba Hong Kong, Chun Wing Leung yang merakamkan catatan masa 47:17.68s sementara pelumba Korea Seltan, Park Sang-hoon meraih gangsa (47:22.257s). Syahriwan berkata, kekejangan otot kaki yang dialaminya secara tiba-tiba pada jarak tiga kilometer terakhir perlumbaan menyebabkan dia gagal melakukan kayuhan terbaik. "Kedudukan keempat tercorot ini sangat mengecewakan kerana saya berharap untuk sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan keenam pada ACC tahun lalu," jelas Syahriwan. Syahriwan menambah, dia jelas sekali tidak bernasib baik apabila mengharungi perlumbaan sejauh 34.8 kilometer yang melibatkan tiga pusingan itu. "Mulai pusingan pertama lagi saya sudah mengalami kepayahan, kaki saya terasa amat berat untuk berkayuh. "Namun, saya cuba meneruskan kayuhan dan mampu berkayuh dengan baik pada pusingan kedua. "Pada awal pusingan terakhir, saya masih berkayuh dengan baik, namun pada tiga kilometer terakhir, kaki saya mulai kejang. "Walaupun terpaksa berkayuh dengan kepayahan akibat kejang, saya tetap mengerah segala kudrat sehingga ke garisan penamat," katanya. Syahriwan yang akan menyertai acara lebuh raya berkata, kekejangan kaki yang dialaminya pada perlumbaan semalam disebabkan dia kurang latihan. "Persediaan untuk ke ACC tidak begitu rapi kerana saya berehat panjang untuk peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun lalu. "Hanya pada bulan November, saya mula menjalani latihan. Dalam tempoh sesingkat itu, sukar untuk saya membuat persediaan yang rapi," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan