Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Perlu kekal fokus

Posted: 20 Jun 2011 11:09 AM PDT

"JANGAN mudah berasa bangga, kita masih ada 90 minit permainan untuk diharungi," tegas Ong Kim Swee memberi peringatan kepada anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai dengan kejayaan mengikat Lubnan, 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 di Beirut, kelmarin.

Menurut jurulatih skuad Olimpik negara itu, beliau menuntut pemain memberi tumpuan kepada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini yang bakal menjadi penentu hidup mati saingan Malaysia dalam merebut slot ke London.


"Kita masih ada satu lagi perlawanan menentang Lubnan di Kuala Lumpur dan semua pemain harus kekal fokus.

"Memang pasukan negara banyak mencipta peluang dan hampir menang tapi sekurang-kurangnya misi kita tercapai kerana tidak dibolosi," katanya.


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, Malaysia hampir mencipta kejutan namun peluang milik penyerang Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor terlepas begitu saja.


Malah penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim turut berpeluang mencipta nama di penghujung perlawanan tapi gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Lubnan, Mohamad Dakramanji.

Bagaimanapun Kim Swee tetap memuji pasukannya yang diketuai Khairul Fahmi Che Mat atas kesungguhan mengekang serangan Lubnan.


"Kami menyukarkan Lubnan bermain, pemain tengah berjaya menghalang mereka menyusun permainan. Strategi kita menjadi dan saya harap aksi lebih baik dipamerkan apabila bermain di depan penyokong sendiri," katanya yang akan tiba di tanah air bersama skuad Olimpik awal pagi ini.

Skuad Olimpik negara sebelum ini layak ke pusingan kedua selepas mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 Mac lalu.


Jika mampu menewaskan Lubnan pada pusingan kedua, mereka akan layak ke peringkat kumpulan bagi merebut slot ke Sukan Olimpik London 2012.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Irwan nekad undur

Posted: 20 Jun 2011 11:04 AM PDT

SEMUANYA bagaikan serba tidak kena buat gimnas negara, Mohd Irwan Miskob, apabila laluannya untuk melayakkan diri ke Sukan Sea, Palembang Disember ini bagaikan dihalang.

Justeru, gimnas berusia 28 tahun itu, tekad mengundur diri sementara sehingga seorang daripada 'orang atasan' Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bersara.


"Siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas. Bagi saya, pihak persekutuan dikendalikan orang yang tidak pakar dalam gimnastik. Mereka tidak mengemukakan alasan yang wajar mengapa saya tidak boleh terus berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) sedangkan saya sudah melepasi saingan kelayakan dan menulis surat rayuan kepada MSN. Usaha saya sejak setahun lalu bagaikan ada yang menghalang," katanya kesal.

Februari lalu, Irwan tampil melaporkan kepada Arena Metro dirinya bingung sama ada mahu meneruskan latihan atau sebaliknya apabila status permohonannya untuk terus berada di bawah program MSN masih kabur sejak setahun lalu.


Susulan itu, Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah menjawab, permohonan gimnas yang pernah meraih dua pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 itu tidak mendapat sokongan ahli jawatankuasa yang membabitkan pihak persekutuan dan MSN kerana usianya sudah lanjut.


Namun, sejak dari itu, Irwan masih berusaha untuk tersenarai dalam program MSN tapi masih gagal.

Kini, Irwan yang awalnya meletakkan sasaran mengulang kejayaan meraih pingat emas di Sukan Sea, Disember ini sah mengundur diri buat sementara.


"Saya tidak menyalahkan MSN dalam isu ini, semuanya berpunca dari MGF kerana mereka tidak menyokong usaha gimnas sendiri," katanya.

Susulan itu, Irwan nekad meneruskan pengajiannya di Universiti Terbuka Malaysia dalam Ijazah Pendidikan sejak bulan lalu.


"Bagi saya, tiada gunanya untuk terus berlatih apabila tidak mendapat sokongan, malah jika cedera perlu mengeluarkan duit sendiri sedangkan saya ingin menabur bakti kepada negara. Langkah meneruskan pengajian lebih baik dari terus dihimpit tanda tanya.


"Malah, jika saya teruskan latihan di gimnasium pun turut mengundang bahaya kerana ia masih tidak lengkap. Jika ada perkara buruk terjadi, pastinya semua pihak akan menuding jari kepada saya umpama 'mencari padah sendiri'," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan