Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Misi wajib menang

Posted:

Misi wajib menang

Misi wajib menang

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Ganjaran yang munasabah menanti pasukan Selangor jika berjaya mengakhiri kemarau sebarang kejuaraan musim 2011 dan Piala Malaysia selama lima tahun dalam misi yang 'wajib' ditunaikan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, ia dijanjikan dalam bentuk yang agak berlainan dari sebelumnya, memandangkan kali terakhir Gergasi Merah menjulang piala keramat itu pada 2005 dan nyaris mengulanginya tiga tahun kemudian.

Katanya, "Biarpun hanya Majlis FAS yang dipengerusikan Presiden (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim) yang akan memastikan bentuknya, saya boleh katakan ia agak berlainan dan sesuatu yang munasabah kalau mereka menang (piala itu).

"Selangor tidak mampu kehilangan satu-satunya piala yang tinggal musim ini kerana kami telah terlepas Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super. Jadi kami tekankan kepada jurulatih dan pasukan mereka wajib menang Piala Malaysia," tegasnya.

Selangor yang diterajui K. Devan sejak 2008, gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menduduki tempat ketiga di belakang Kelantan dan Terengganu selain terkandas pada separuh akhir Piala FA.

Abdul Mokhtar yang ditemui pada majlis berbuka puasa dengan pasukan Merah Kuning kelmarin menambah, kecederaan pemain tonggak atau jadual padat tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi pasukan jika mereka gagal lagi.

"(Kecuali Khairul Anuar Baharum tercedera), semua masalah sudah diatasi. Sebagai profesional dan berpengalaman, pasukan perlu mampu mengatasi tekanan dan tahu bagaimana untuk mengolah corak permainan yang bercirikan kejayaan," katanya.

Beliau mengakui rombakan tidak dapat dielakkan, sekiranya Merah Kuning terus kempunan kejuaraan musim ini.

Namun, katanya ia hanya boleh dipertimbangkan selepas prestasi sepanjang Liga M dinilai dan menjelang kedatangan musim 2012.

"Rombakan ini lumrah apatah lagi pada musim 2012, Liga M akan kembali dibuka kepada pemain import. Kami belum memikirkan pemain import yang akan diambil kerana kami masih pada peringkat rundingan," katanya.

Safee taruhan Pilihan Selangor

Posted:

Safee taruhan Pilihan Selangor

Safee taruhan Pilihan Selangor

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


Abdul Karim Munisar pada sidang akhbar perlawanan Piala Sultan Selangor di Shah Alam semalam. - UTUSAN/Izham Jaafar


SHAH ALAM - Penyerang sensasi Safee Sali mungkin beraksi untuk skuad Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura pada perlawanan Edisi Ke-10 Piala Sultan Selangor pada 1 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Pengerusi Penganjur pertandingan, Datuk Abdul Karim Munisar berkata, selain Safee beberapa pemain import dari Britain turut menjadi taruhan Pilihan Selangor dengan misi merampas kejuaraan tahun ini.

Tambahnya, pemain import tersebut hanya dibawa untuk beraksi pada perlawanan tersebut sahaja, manakala Safee hanya akan beraksi jika tidak mempunyai sebarang perlawanan bersama kelabnya, Pelita Jaya.

"Surat untuk meminta khidmat pemain itu (Safee) telah dihantar bulan lalu kepada Pelita Jaya dan mereka memberikan maklum balas yang baik berhubung hajat kami itu.

"Kami berharap Selangor mampu memperoleh kemenangan pada perlawanan kali ini selepas tewas pada tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut mensasarkan jumlah penonton sehingga 80,000 orang berbanding 60,000 tahun lalu.

"Untuk menarik minat penonton, kita akan mengadakan cabutan bertuah serta persembahan artis.

"Malah kita harap penonton dapat terhibur selain dapat mengubat kerinduan kepada bekas pemain Selangor dalam aksi mereka sebelum perlawanan utama berlangsung," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan